Site icon MuslimahHTM News

Bolehkah wanita bekerja dalam sistem Khilafah?

Soalan: Bolehkah wanita bekerja dalam sistem Khilafah?

Jawapan: Hukumnya mubah atau dibenarkan. Islam tidak melarang wanita bekerja di luar rumah, asalkan mereka memahami syarat-syarat syariah di kehidupan umum dan sudah memiliki pemahaman Islam yang cukup dalam bermuamalah, agar tidak terjerat dengan apa-apa bentuk eksploitasi. Sebagaimana kaum lelaki, maka kaum perempuan juga dibenarkan berdagang atau berniaga di ruang umum, termasuk juga melibatkan diri dalam kerjaya atau bidang ilmu tertentu, asalkan tetap terikat dengan hukum syarak serta tetap mengutamakan kewajipan utamanya selari dengan panduan al-Quran dan hadis.

Sistem yang berteraskan Islam akan memberikan warna yang khas pada masyarakatnya di semua peringkat, dan warna ini akan terlihat dari bagaimana Islam mewujudkan pemikiran tanggungjawab kepada kaum wanita sebagai ibu dari anak-anak dengan memberikan kepada mereka pemahaman bahawa di situlah letaknya kemuliaan terbesar kaum wanita, sehingga mereka tidak akan dengan mudahnya meninggalkan keluarga dan anak-anak mereka dan terbuai dek arus materialisme untuk mencari wang dan kerjaya.

Begitu juga, kita dapat melihat nilai dan hukum-hukum Islam mampu membuatkan dunia perniagaan berjalan dalam jalur prinsip halal dan haram tanpa mengambil keuntungan dari eksploitasi penderitaan orang lain terutama pekerja perempuan. Negara juga akan menumpukan kepada usaha membangunkan sistem yang mengutamakan memenuhi keperluan asas rakyatnya, mewujudkan kesejahteraan dan membina kegemilangan masyarakat bertamadun berlandaskan Aqidah dan Syariah Islamiah.

Kaum wanita di dalam Islam juga mesti dipandang sebagai kehormatan yang wajib dijaga, diperlakukan selayaknya sebagai manusia yang bermartabat dan BUKAN hanya dipandang sebagai pekerja murah atau bawahan. Seandainya wanita bekerja, itu atas kehendaknya sendiri atas dasar kerelaan hati dan panggilan amal soleh ataupun professional. Bukan kerana keterpaksaan, kemiskinan mahupun penindasan pihak lain.

Justeru, Islam menggariskan bahawa wanita harus selalu dijamin nafkahnya oleh ahli keluarga lelaki mereka, dan jika mereka tidak memiliki ahli keluarga lelaki, maka negara yang akan menjamin keperluan asasnya, seperti firman Allah SWT: “Kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani selain menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan ahli waris pun berkewajipan demikian…” [TMQ al-Baqarah [2]:233].

https://www.facebook.com/MuslimahTimurJauh/photos/a.486789258061463/7139993759407613/?_rdc=1&_rdr

 

Exit mobile version