Oleh: Syeikh al-‘Alim ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan:
Rukyatul hilal untuk awal bulan qamariah pada setiap tahun memicu perdebatan buat generasi muslim. Bagaimana reaksi kita terhadap pendapat tentang penggunaan hisab astronomi sebagai ganti rukyat untuk menetapkan awal Ramadhan? Adakah itu merupakan pendapat yang marjuh (lemah) saja atau malah tertolak, iaitu batil?
Dengan ungkapan lain, adakah ada syubhat dalil atau tidak? Jika ia merupakan pendapat yang tertolak -seperti yang saya faham- maka, apa hukum mereka yang berpuasa mengikuti pendapat ini?
Soalan lain pula, jika sudah jelas bagi orang yang berpuasa bahawa dia telah mengalahi rukyat, lalu apa yang perlu ia lakukan? Bukankah dalam perkara tersebut ada satu kesusahan?
Sebahagian dari umat Islam berdiskusi mengatakan bahawa puasa berdasarkan rukyatul hilal adalah tidak praktikal kerana kebanyakan tidak dapat melihat anak bulan. Jadi, apakah pendapat yang rajih dalam masalah ini?
Kemudian, cerapan saat ini telah menetapkan kelahiran hilal dengan sangat teliti. Jadi, kenapa kita tidak bersandar kepada cerapan tersebut agar ia lebih memudahkan kita sebagaimana kita menghitung waktu-waktu solat?
Jawapan :
Rukyatul hilal dijadikan sandaran dalam puasa Ramadhan kerana adanya dalil-dalil yang jelas tentang perkara tersebut. Antaranya :
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ
“Berpuasalah kerana melihat hilal dan berbukalah kerana melihat hilal, jika kalian tertutup (tidak melihatnya) maka genapkan hitungan Syaaban tiga puluh hari.”
Adapun yang dijadikan sandaran oleh mereka yang menggunakan hisab astronomi berupa dalil-dalil yang mereka pandang, maka semua itu tertolak dan tidak boleh dipakai atas masalah tersebut. Dalil paling masyhur yang mereka sebutkan ada dua:
Pertama, hadis Rasul SAW.,
إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا (رواه البخاري)
“Kami adalah umat yang ummiyyah, kami tidak boleh menulis dan menghitung, satu bulan itu begini dan begitu.” (HR Al-Bukhari)
Hadis ini, walaupun di dalamnya ada washfun mufhimun (sifat yang boleh memberikan pemahaman) iaitu kata ummiyyah yang boleh saja membisikkan bahawa itu merupakan ‘illat yang mewajibkan beramal menurut mafhum, iaitu andai bukan umat yang ummiyyah nescaya kita menggunakan hisab.
Hanya saja, perkara ini tidak benar seperti yang sudah diketahui di dalam usul. Sebab ia adalah mafhum yang diabaikan kerana sifat ummiyah untuk mengatakan keadaan pada umumnya. Orang arab majoritinya bersifat ummiy. Tambahan pula, mafhum tersebut telah dibatalkan oleh nas iaitu hadis di bawah,
فإن غُمَّ عليكم فأكملوا العدّة ثلاثين (البخاري)
“Jika kalian tertutup mendung, maka genapkanlah hitungan tiga puluh.” (HR Al-Bukhari)
Bersamanya tidak disebutkan batasan. Maksudnya, jika hilal tidak kelihatan kerana ditutupi oleh mendung atau hujan (sebab yang menghalang penampakan hilal), hukum syarak telah menetapkan untuk menggenapkan bulan menjadi tiga puluh hari walaupun sebenarnya hilal itu ada tetapi tidak kelihatan atas sebab mendung/hujan. Atas dasar itu, maka yang diterapkan adalah manthuq dan mafhum perlu diabaikan.
Ini adalah fakta tentang syarat beramal dengan mafhum. Dalam kebanyakan keadaan, mafhum itu diabaikan jika dinyatakan untuk menyatakan keadaan umumnya atau jika dibatalkan oleh nas, contohnya :
وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan.” [TMQ Al-Israa’ (17): 31]
Takut kemiskinan (khasyyah imlaq) merupakan sifat yang memberikan pemahaman (washfun mufhimun), iaitu khasyyah al-faqri (takut kemiskinan). Demikian juga kenyataan itu menunjukkan keadaan pada umumnya. Mereka membunuh anak-anak kerana takut miskin. Kemudian, mafhum tersebut telah dibatalkan dengan nas,
وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam.” [TMQ an-Nisa’ (4): 93]
Oleh kerana itu, mafhum ini diabaikan. Tidak boleh dikatakan bahawa yang haram hanya apabila membunuh anak-anak kerana takut kemiskinan dan tidak pula menjadi halal jika ia membunuhnya kerana kaya! Akan tetapi, pembunuhan itu tetap haram dalam dua keadaan itu, baik kerana miskin ataupun kaya. Begitu juga dengan ayat,
لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda.” [TMQ Ali Imran (3): 130]
Perkataan adh’âfan mudhâ’afatan (berlipat ganda) merupakan washfun mufhimun (sifat yang memberikan pemahaman) dan demikian juga menyatakan keadaan pada umumnya. Mereka mengambil riba berlipat ganda. Kemudian mafhum ini diabaikan dengan nas,
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” [TMQ Al-Baqarah (2): 275]
Oleh kerana itu, mafhum ini diabaikan. Tidak boleh dikatakan yang haram hanyalah riba yang banyak sedangkan yang sedikit boleh. Akan tetapi, riba walau berapa pun jumlahnya, tetaplah haram seperti mafhum (adh’afan mudha’afatan) diabaikan seperti yang kami katakan.
Begitulah, mafhum perkataan “ummiyah” diabaikan seperti yang kami jelaskan iaitu bahawa jika hilal tidak kelihatan kerana mendung atau hujan, maka wajib menggenapkan hitungan bulan menjadi tiga puluh, baik kita mengetahui hisab ataupun tidak.
Untuk soalan yang kedua berkenaan waktu solat yang menjadikan hisab sebagai sandaran, jawapan terhadap perkara itu,
Siapa yang menelaah nas-nas yang dinyatakan tentang puasa, maka ia akan mendapati bahawa perkara itu berbeza dari nas-nas yang dinyatakan tentang solat. Puasa dikaitkan dengan berbuka dan rukyat :
مَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
“Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.” [TMQ Al-Baqarah (2): 185]
صُوْمُوْا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوْا لِرُؤْيَتِه
“Berpuasalah kerana melihat hilal dan berbukalah kerana melihat hilal.”
Jadi rukyat adalah (yang dinyatakan oleh) hukum. Akan tetapi nas-nas tentang solat telah dikaitkan dengan terealisasinya waktu,
أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir.” [TMQ Al-Israa’ (17): 78]
إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ فَصَلَّوْا
“Jika matahari tergelincir maka solatlah kalian.”
Jadi, solat bergantung pada terealisasinya waktu. Oleh kerananya, dengan wasilah apa pun Anda menetapkan waktu, maka anda perlu solat. Jika anda melihat matahari untuk melihat waktu tergelincirnya matahari atau anda melihat bayangan untuk melihat bayangan segala sesuatu atau semisalnya seperti yang ada dalam hadis-hadis berkenaan waktu-waktu solat, jika anda lakukan hal itu dan anda tetapkan waktu solat, maka solatnya sah.
Jika anda tidak melakukan perkara itu, tetapi anda menghitungnya secara astronomi yang membuatkan anda tahu waktu tergelincirnya matahari dengan hanya melihat jam tanpa keluar untuk melihat bayangan matahari, maka solat anda tetap juga sah.
Mengapa? Kerana Allah SWT meminta hambanya untuk solat apabila masuknya waktu dan menyerahkan kepada hambanya terkait penetapan masuknya waktu tanpa menentukan tatacara penetapan itu.
Sedangkan untuk berpuasa, Allah menyuruh hambanya berpuasa dengan merukyat. Disini, Allah telah membatasi sebab untuk hambanya. Bahkan lebih dari itu, Allah berfirman jika rukyatul hilal terhalang kerana mendung sehingga menyebabkan hilal tidak kelihatan, maka anda tidak boleh berpuasa walaupun sebenarnya hilal itu ada atau anda merasa yakin adanya hilal menurut cerapan astronomi.
Inilah pendapat kami dalam masalah ini. Cerapan astronomi tidak boleh dijadikan sebagai sandaran dalam penentuan puasa dan berbuka Ramadhan, akan tetapi yang perlu dijadikan sandaran adalah rukyatul hilal.
- Adapun berkenaan puasa mereka yang menggunakan cerapan astronomi, jika mereka berpuasa pada hari-hari yang dikira sebahagian dari Ramadhan sesuai dengan rukyat, maka puasanya sah. Sebaliknya, jika melewatkan satu hari dari Ramadhan mengikut rukyat, maka mereka akan diminta pertanggungjawaban dan wajib untuk mengqadanya.
Ini yang kami yakini dan kami jelaskan kepada masyarakat. Kami tidak memiliki kekuasaan untuk memaksa mereka atas pendapat kami. Melainkan kami jelaskan kepada mereka dengan uslub yang baik dan hikmah. Kami tidak menjadikan masalah tersebut dalam bentuk benturan pendapat, tetapi kami gariskan garis yang lurus di samping garis yang bengkok dan Allah SWT lah yang Maha Memberi Petunjuk kepada jalan yang lurus.
- Pendapat bahawa mengikuti rukyat itu akan mempersulitkan masalah pula, terkadang ada yang berpuasa pada hari terakhir Ramadhan, kemudian dia diberitakan bahawa hari itu adalah hari raya Aidilfitri. Dan ada juga keadaan di mana seseorang tidak berpuasa di awal Ramadhan sedangkan hilal sudah kelihatan kerana mereka mengikuti cerapan astronomi, tentu saja masalah ini adalah lebih rumit.
Jawapan tentang pendapat itu adalah, perkara ini sebenarnya adalah mudah. Seorang muslim perlu berpuasa dan berbuka sesuai dengan pengetahuannya tentang rukyat setelah dia mencarinya. Jika dia berpuasa atau berbuka berdasarkan tidak adanya hilal (menurut pendapatnya), kemudian datang orang memberitahu berita yang sahih berkenan rukyat hilal, maka dia perlu mengikutinya. Perkara ini telah ditetapkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, diriwayatkan dari sekelompok orang Ansar,
غُمَّ عَلَيْنَا هِلاَلُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَاماً، فَجَاءَ رَكِبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهَدُوْا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلاَلَ بِاْلأَمْسِ، فَأَمَرَهُمْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَفْطِرُوْا ثُمَّ يَخْرُجُوْا لِعَيْدِهِمْ مِنْ الْغَدِّ
“Hilal syawal tertutup mendung bagi kami sehingga kami berpuasa, lalu di akhir hari datang pengendara kuda dan mereka bersaksi di hadapan Nabi SAW. bahawa mereka melihat hilal kelmarin, maka Rasulullah SAW memerintahkan mereka berbuka kemudian mereka keluar untuk melaksanakan salat Aidilfitri mereka esok harinya.” (HR Ahmad)
Pada masa dahulu, secara faktanya, berita mengenai penampakan hilal sukar disampaikan dari satu tempat ke tempat lain seperti yang terjadi kepada Rasulullah SAW. Berita tentang penampakan hilal dari delegasi yang datang ke Madinah sampai kepada Rasulullah SAW saat sudah siang di mana Rasulullah dan kaum muslimin di Madinah sedang berpuasa kerana mereka tidak melihat hilal.
Ketika delegasi itu memberitahu Rasul SAW tentang rukyat hilal, Baginda pun memerintahkan kaum muslimin untuk berbuka.
Rasulullah SAW berpuasa menggenapkan hitungan kerana tidak berjaya melihat hilal di Madinah. Ketika datang berita kepada Baginda bahawa hilal telah kelihatan di tempat lain, Baginda memerintahkan umat Islam untuk berbuka kerana hari itu adalah hari pertama Syawal.
Ini adalah hal yang mudah. Setiap daerah mencari berita rukyat. Jika hilal tidak kelihatan dan tidak sampai berita yang sahih bahawa hilal terlihat di tempat lain, maka hendaknya kita berpuasa atau berbuka. Jika sampai berita mengenai rukyat hilal, maka berita itu perlu dijadikan sandaran sebab hadis tersebut merupakan seruan untuk semua orang “shumu li ru’yatihi….” Berpuasalah kerana melihat hilal….
- Berkenaan kenyataan anda, “bahawa mereka mengatakan (tidak praktikal)” Dimanakah yang tidak praktikal? Jika pendudk Australia mencari hilal Syawal dan mereka tidak melihatnya, dan tidak sampai berita kepada mereka bahawa hilal terlihat di tempat lain, maka hendaknya mereka menggenapkan puasa Ramadhan.
Jika sampai kepada mereka berita tentang penampakan hilal pada hari itu, maka mereka perlu berbuka kerana hari itu merupakan hari pertama Syawal sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah. Lagipula, zaman ini, berita boleh sampai dengan mudah dan cepat kerana teknologi. Kerana itu, tidak praktikal adalah alasan yang tidak boleh diterima bagi seorang muslim yang ingin mencari kebenaran dalam ibadahnya.
- Adapun berkenaan cerapan astronomi boleh menentukan lahirnya hilal, maka hal itu adalah benar. Tetapi, untuk mengatakan bahawa cerapan astronomi itu boleh menentukan kemungkinan rukyatnya, maka itu tidak benar. Kerana, para astronomer berbeza pendapat dalam menentukan kadar waktu terjadinya kelahiran hilal sehingga terlihat setelah tenggelamnya matahari.
Walaupun demikian, kita tidak berpuasa dan berbuka mengikut kelahiran anak bulan, akan tetapi, kita mengikuti rukyatnya. Begitulah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW,
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِين
“Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah kalian kerana melihat hilal, jika kalian tertutup mendung maka genapkan hitungan Syaaban tiga puluh.”
Kadang kala hilal Ramadhan itu sudah ada, tetapi ditutupi oleh mendung sehingga tidak terlihat, maka hitungan Syaaban digenapkan, sesuai nas hadis. Jadi, waktu berpuasa itu ditetapkan dengan rukyat seperti yang ada di dalam dalil-dalil. Seandainya waktu berpuasa seperti halnya waktu solat iaitu tidak disyaratkan dengan rukyat, nescaya penetapan waktu menggunakan hisab adalah benar. Akan tetapi, dalil-dalil puasa datang bersandar pada rukyat, sedangkan dalil-dalil solat datang dengan pencapaian waktu tanpa mensyaratkan rukyat,
إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ فَصَلَّوْا…
“Jika matahari tergelincir, maka solatlah kalian.…”
Seperti yang telah kami jelaskan sebelumnya.

