Oleh: Najmah Saiidah
Ramadhan telah menghampiri kita. Sudah seharusnya seluruh keluarga muslim menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan gembira, kerana bulan penuh rahmat dan ampunan telah tiba. Walaupun pada saat ini pandemik masih menerpa kita, sudah sepatutnya kita menyambutnya dengan suka cita dan penuh dengan keimanan yang tinggi, penuh dengan harapan agar wabak ini segera berlalu serta selalu berusaha lebih baik dalam melalui Ramadhan tahun ini. Sudah sepatutnya juga pada bulan penuh berkah ini, kita tingkatkan taqarrub kita kepada Allah Swt. Kita tingkatkan keyakinan dan keimanan kita agar mampu menjalani bulan Ramadhan di tengah pandemik ini dengan baik dan mendapatkan darjat takwa. Aamiin…
Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkahi, Allah telah mewajibkan padamu berpuasa di bulan itu. Dalam bulan itu dibukalah pintu-pintu langit, dan ditutuplah pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Siapa yang tidak memperoleh kebajikan di malam itu, maka ia tidak memperoleh kebajikan apa pun.” (HR Nasa‘i dan Ahmad)
Ulama menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan kita hendaklah bergembira dengan datangnya Ramadhan. Syeikh Shalih Al-Fauzan menjelaskan, “Hadis ini adalah kabar gembira bagi hamba Allah yang soleh dengan datangnya Ramadhan. Kerana Nabi saw. memberi khabar kepada para sahabatnya ra. mengenai datangnya Ramadhan. Ini bukan sekadar khabar semata, tetapi maknanya adalah bergembira dengan datangnya momen yang agung.“
Ibnu Rajab Al-Hambali dalam kitabnya Ahaditsush Shiyam hal. 13 menjelaskan, “Bagaimana tidak gembira? seorang mukmin diberi khabar gembira dengan terbukanya pintu-pintu syurga. Tertutupnya pintu-pintu neraka. Bagaimana mungkin seorang yang berakal tidak bergembira jika diberi khabar tentang sebuah waktu yang di dalamnya para syaitan dibelenggu. Dari sisi manakah ada suatu waktu menyamai waktu ini (Ramadhan). (Ahaditsus Shiyam hal. 13)
Dari penjelasan hadis ini sangat jelas menunjukkan bahawa kaum muslimin sewajarnya bersyukur dan bergembira dengan hadirnya bulan Ramadhan, bulan di mana berlimpah pahala yang akan Allah berikan kepada hamba-Nya. Pintu-pintu syurga dibuka, sebaliknya pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.
Dalam hadis Rasulullah yang lainnya dijelaskan bahawa pahala yang Allah berikan dilipat-gandakan, pahala melakukan aktiviti sunnah bernilai pahala melaksanakan kewajipan. Masyaa Allah… Sudah sepatutnya umat Islam bergembira dengan hadirnya bulan suci Ramadhan.
Ramadhan Bersama Keluarga
Allah swt. telah memilih bulan Ramadhan dengan keutamaan dan kekhususan berbanding bulan-bulan yang lainnya. Perlu kita fahami dengan sepenuh iman dan ketakwaan kita kepada Allah, bahawa ini semua adalah sebagai bentuk nikmat dan kurniaan Allah kepada para hamba-Nya agar senantiasa bersemangat mendekatkan diri kepada Allah dan meninggalkan perbuatan yang dimurkai-Nya. Di saat pandemik ini, tentu kita boleh lebih mendekatkan diri kepada Allah sekaligus semakin menguatkan tali kekeluargaan dengan anggota keluarga. Kita boleh lebih mengintensifkan solat berjemaah di setiap waktu solat fardhu, memperbanyak solat sunat, termasuk solat tahajud menjelang sahur, ditambah lagi dengan tarawih bersama. Tadarus yang biasa kita lakukan di masjid, boleh kita lakukan di rumah bersama suami dan anak-anak kita. Di samping itu kita juga boleh lebih bersemangat lagi mengerjakan pekerjaan rumah bersama-sama, saling bantu membantu menyiapkan hidangan berbuka dan sebagainya. Dapat dibayangkan, dengan kebersamaan kita dalam keluarga akan menumbuhkan sikap saling sayang dan saling menghormati yang lebih kuat di antara anggota keluarga kita.
Hanya saja bukan aktiviti ibadah mahdhah saja yang perlu kita perbanyakkan di bulan Ramadhan ini, tetapi semua amal kebaikan. Sama ada ia adalah menuntut ilmu, memenuhi akad atau muamalah lainnya, menghiasi diri kita dengan akhlak terpuji, demikian juga halnya aktiviti dakwah dan menyeru diterapkan syariat Islam. Sepanjang Ramadhan kita mempunyai kesempatan berdakwah yang luas, kerana siapa pun di bulan itu keadaan ruhiyahnya sedang baik sehingga bersedia menerima nasihat. Jadi, jangan sia-siakan kesempatan ini, walaupun tidak dapat bertemu secara langsung, tapi kita juga boleh melaksanakannya secara online misalnya, atau mengirim pesanan melalui aplikasi percakapan, atau membuat tulisan kemudian mengirimnya ke media online. Banyak yang boleh kita lakukan, di samping melaksanakan ibadah mahdhah spanjang masa pandemik ini.
Rasulullah saw. bersabda, “Barangsiapa menunjuki kebaikan, baginya pahala sebagaimana orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun”.
Selain itu, kita sebagai perempuan terutamanya, sebagai ibu memiliki peranan yang sangat penting. Bahkan boleh dikatakan ibu adalah ‘bintang dalam keluarga’ di bulan Ramadhan. Ladang pahala yang sangat luas bagi seorang ibu, kerana itu kita boleh maksimakan peranan ini ketika bulan Ramadhan tiba.
Ramadhan, Maksimakan Peranan Ibu
Bulan Ramadhan adalah sebuah kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita untuk memperbanyak amal kebaikan, semua amal kebaikan apa pun bernilai pahala. Oleh itu tidak boleh kita abaikan. Keluarga muslim hendaklah berfungsi sebagai benteng umat yang kukuh, yang siap melahirkan generasi terbaik dan individu-individu yang bertakwa, dengan visi hidup yang jelas sebagai hamba Allah yang mengemban misi kekhalifahan di muka bumi dengan penggemblengan sepanjang bulan Ramadhan. Di sinilah sesungguhnya peranan perempuan sebagai ummun wa rabbatul bayt (ibu dan pengatur rumah suaminya) menjadi sangat penting.
Islam, sebagai din yang lengkap dan sempurna telah menempatkan sosok Ibu pada kedudukan yang sangat tinggi dan tidak kalah penting dari peranan kaum bapa. Bahkan fungsi ibu bukan hanya bersifat biologi, melainkan juga bersifat strategi dan politis. Oleh kerananya Islam juga menuntut agar para perempuan benar-benar menjalankan fungsi keibuan ini dengan sebaik-baiknya dan optimum. Banyak nas yang boleh kita renungkan mengenai hal ini, antara lain:
Tatkala Asma’ ra bertanya kepada Rasulullah saw., “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mengutamakan lelaki dari perempuan, maka kami mengimanimu dan mengikutimu. Dan kami para perempuan serba terbatas dan kurang (dalam amaliyah). Tugas kami hanyalah menjaga rumah dan melayani lelaki. Kami mengandung anak-anak mereka, sedangkan kaum lelaki memiliki keutamaan dengan berjemaah, menyaksikan mayat dan berjihad. Apabila mereka keluar untuk berjihad, kami menjaga mereka dan memelihara anak mereka. Apakah kami dapat menyamai mereka dalam pahala, wahai Rasulullah?” Lalu Rasul saw. bersabda, “Pernahkah kalian mendengar dari perempuan pertanyaan yang lebih baik dari pertanyaan ini? Kalau semua itu kalian lakukan dengan sebaik-baiknya, nescaya kalian akan mendapatkan pahala yang diperolehi oleh suami-suami kalian.”
Kemudian diterima dari Aisyah ra, dia berkata, “Seorang perempuan menemuiku. Dia membawa dua anak perempuan. Aku memberikan tiga butir kurma kepadanya. Lalu perempuan itu memberikan dua butir kurma kepada anaknya, dan bermaksud untuk memakan sisanya. Akan tetapi kedua anaknya berusaha merebutnya, sehingga kurma tadi jatuh dari tangannya. Akhirnya perempuan itu tidak makan satu butir pun. Aku terpesona dengan perilaku perempuan itu, dan menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah saw. Beliau bersabda,“Barangsiapa yang mendapat ujian atau menderita kerana mengurus anak-anaknya, kemudian ia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anaknya akan menjadi penghalang baginya dari seksa neraka.” (HR. Bukhari-Muslim dan Tirmidzi)
Di samping itu seorang ibu pun mampu mendapatkan pahala yang lebih banyak lagi, dengan menyediakan makanan yang halal dan toyyib untuk keluarganya ketika sahur dan berbuka, sehingga insyaa Allah keluarganya tetap sihat dan mampu menjalankan ibadah puasa. Oleh sebab semua amal kebaikan apa pun bernilai pahala, malah memberi seteguk air kepada orang berpuasa, pahalanya juga sama seperti orang berpuasa.
Nabi Muhammad saw. bersabda, “Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga.” (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah, Ahmad)
Bukan sekadar itu, bahkan orang yang memberi makan ketika berbuka puasa juga dijanjikan untuk masuk ke syurga. Nabi saw. pernah berkata kepada seorang sahabat,
“Sesungguhnya di syurga terdapat kamar-kamar yang mana bahagian luarnya terlihat dari bahagian dalam dan bahagian dalamnya terlihat dari bahagian luarnya.” Nabi Muhammad saw. pun ditanya, “Bagi siapakah kamar-kamar itu diperuntukkan wahai Rasululullah?” Kemudian Rasulullah menjawab, “Untuk orang yang berkata benar, yang memberi makan, dan yang senantiasa berpuasa dan solat pada malam hari di waktu manusia sedang tidur.” (HR. Tirmidzi).
“Wahai manusia! Barang siapa di antaramu memberi makan kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan dia diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.“ Sahabat-sahabat lain bertanya, “Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.” Rasulullah meneruskan, “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walau pun hanya dengan seteguk air.” “Barang siapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga.” (HR. Ibnu Huzaimah)
Demikianlah, Ramadhan adalah momentum di mana individu, keluarga, dan masyarakat berada dalam nuansa yang dekat dengan Islam. Di mana sumber tuntunan hidup muslim dan rahsia kejayaan hidup mereka iaitu Al-Quran dan hadis Nabi saw. menjadi sumber bacaan yang diutamakan; media massa menyebarkan acara bernuansa kebaikan secara besar-besaran; di mana interaksi antara individu dalam keluarga sedang tersuasana untuk saling mendekat dan menguatkan. Kita berusaha semaksimanya untuk menjalani Ramadhan dengan penuh semangat dan optimis, mengoptimumkan seluruh kemampuan kita agar dapat melaksanakan semua peranan yang telah ditetapkan Allah untuk kita, terutama sebagai ibu. Semoga Allah memberi kelapangan dan kemudahan kepada kita sehingga kita dan keluarga mampu menunaikan kewajipan dengan sebaik-baiknya. Aamiin. Wallahu a’lam bishshawwab.
Sumber: MNews

