Penulis: Arini Retnaningsih
Rasulullah SAW bersabda,
اِسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا
“Aku wasiatkan kamu berbuat baik kepada wanita.” [HR Muslim]
Islam adalah agama yang mengangkat darjat wanita dan meletakkan mereka pada kedudukan yang mulia. Ketika kaum jahiliyah pra-Islam suka membunuh bayi perempuan hidup-hidup, Islam menjadikan mempunyai anak perempuan adalah satu keuntungan, iaitu sebagai perisai api neraka bagi ibu bapa mereka.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
مَنِ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ البَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang diuji dengan kehadiran anak perempuan, maka anak itu akan menjadi perisai baginya di neraka.” [HR Ahmad 24055, Bukhari 1418, Tirmidzi 1915, dan lain-lain]
Ketika kaum jahiliah terbiasa menjadikan wanita sebagai harta warisan, Islam menolaknya, bahkan memerintahkan untuk memberikan mereka harta warisan dan mahar bila ingin mengahwini mereka. Allah SWT berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا
“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa.” [TMQ An-Nisa’: 19]
لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَفْرُوضًا
“Bagi orang lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa, dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu bapa, dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak mengikut bahagian yang telah ditetapkan.” [TMQ An-Nisa’ (4): 7]
وَءَاتُوا النِّسَآءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً
“Berikanlah mahar kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.” [TMQ An-Nisa’: 4]
Sangat berbeza dengan pendapat kaum feminis bahawa Islam menyudutkan wanita atau meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih rendah daripada lelaki. Pendapat ini adalah disebabkan kedangkalan pemikiran mereka dalam memahami ayat,
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita…” [TMQ An-Nisa: 34]
Memang benar Islam menjadikan lelaki mempunyai kelebihan berbanding wanita, tetapi kelebihan ini adalah diberikan mengikut fitrah mereka yang berbeza. Seandainya Islam menuntut wanita untuk memainkan peranan yang sama seperti lelaki, bagaimana wanita akan dapat menyempurnakan fungsi keibuan mereka?
Malah apa yang diwar-warkan oleh feminisme bahawa wanita mesti boleh memainkan pelbagai peranan akan menjadi beban berat bagi wanita. Setelah penat bekerja di pejabat, apabila pulang ke rumah wanita masih perlu menjalankan tugas mengurus anak-anak yang tidak mungkin diserahkan sepenuhnya kepada suami. Kalau isteri yang dituntut bekerja dan suami yang mengurus rumah, bukankah itu bermakna dia juga menyudutkan lelaki? Maknanya, kesetaraan yang mereka diperjuangkan berakhir dengan sia-sia.
Islam mengembalikan fitrah wanita. Dia tinggal di rumah, serta jauh dari persaingan kerja dan dieksploitasi tenaga dan fikirannya untuk mengurus dan mendidik anak-anaknya. Dialah yang menyediakan keperluan suami, menyejukkan, dan mententeramkan suami yang seharian bergelut dalam getir perjuangan mencari nafkah. Ada sakinah, mawaddah, wa rahmah yang terbentuk di dalamnya, sesuai dengan apa yang Allah jadikan sebagai tujuan berkeluarga
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚإِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” [TMQ Ar-Ruum: 21]
Meletakkan wanita di bawah pimpinan lelaki tidak menjadikan lelaki berhak memperlakukan isterinya semahunya. Oleh itu, Islam memerintahkan lelaki supaya berbuat baik kepada isterinya. Bahkan, Rasulullah secara khusus berwasiat mengenainya sebagaimana maksud hadis yang menjadi topik perbincangan kita. Hadis lengkap dari sahabat Abu Hurairah tersebut adalah seperti berikut:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَلاَ يُؤْذِيْ جَارَهُ، وَاسْتَوْصُوْا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْئٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوْا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا.
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menganggu jiran tetangganya dan berbuat baiklah kepada wanita. Sebab mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan tulang rusuk yang paling bengkok ialah bahagian atasnya. Jika engkau meluruskannya, maka engkau mematahkannya; dan jika engkau membiarkannya, ia akan kekal bengkok. Oleh itu, berbuat baiklah kepada wanita.”
Rasulullah SAW menunjukkan tauladan yang sangat luar biasa dalam berbuat baik kepada isteri-isterinya. Diriwayatkan bahawa beliau SAW sering menambal baju, membaiki terompahnya sendiri, dan membantu isterinya dalam pekerjaan rumah tangga. Aisyah binti Abu Bakar RA pernah ditanya oleh salah seorang sahabat, “Apa yang Nabi lakukan ketika berada di rumah bersama isterinya?” “Dahulu Nabi biasa membantu pekerjaan rumah keluarganya,” tutur Aisyah. [HR Bukhari]
Rasulullah SAW juga terbiasa berbincang-bincang dengan isterinya sebelum tidur. Beliau mengajak mereka bergurau, mendengarkan keluhan isterinya, dan menasihati mereka dengan lembut. Bahkan, Rasulullah tidak pernah memarahi isteri-isterinya. Lihatlah bagaimana Beliau ketika marah kepada Aisyah, Beliau berkata, “Tutuplah matamu!” Kemudian Aisyah menutup matanya dengan perasaan cemas, bimbang dimarahi oleh Rasulullah. Nabi berkata, “Mendekatlah!” Ketika Aisyah mendekat, Rasulullah kemudian memeluk Aisyah sambil berkata, “Humairahku, kemarahanku telah hilang selepas memelukmu.”
Banyaknya nas yang menyuruh berbuat baik kepada wanita menunjukkan bahawa hal tersebut adalah suatu tuntutan bagi kaum lelaki. Bahkan Rasulullah SAW menggelar lelaki yang paling baik terhadap isterinya sebagai orang terbaik. Beliau bersabda,
أَكْمَل الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهمْ خُلُقًا، وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِهِمْ
“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan sebaik-sebaik kamu iala yang paling baik terhadap isterinya.” [HR At-Tirmidzi, 3/466; Ahmad, 2/250 dan Ibnu Hibban, 9/483]
Dengan demikian tidak ada alasan bagi aktivis feminis menolak Islam. Sebaliknya, mereka mesti mengambil peraturan-peraturan Islam untuk mendapatkan kebahagiaan yang hakiki dan persamaan yang sejati, iaitu persamaan pahala di sisi Allah sebagai hamba-Nya, sebagaimana yang telah dijamin oleh Allah dalam firman-Nya,
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَاكَانُوا يَعْمَلُونَ
“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” [TMQ An-Nahl: 97].
Sumber: https://suaramubalighah.com/2020/03/31/islam-memerintahkan-berlaku-baik-pada-wanita/

