Site icon MuslimahHTM News

Ramadhan Mubarak di Bawah Naungan Khilafah

Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman

101 tahun sudah umat Islam di seluruh dunia tidak merasakan bagaimana berpuasa dan berhari raya di bawah naungan Khilafah. Ramadhan penuh keberkatan di bawah naungan Khilafah yang biasanya dilalui dengan penuh makna, kini terasa hampa. Suasana Ramadhan tidak lagi terasa, bahkan seperti tidak ada bezanya dengan bulan-bulan biasa.

Perlu kita ingati, ketika ibadah puasa pertama kali diwajibkan, saat itu Nabi SAW dan para Sahabat berada di Madinah, tepatnya pada bulan Syaaban tahun k-2 Hijrah. Dalam kitab Sahih Ibn Huzaimah, pada malam pertama, Nabi SAW menyampaikan khutbah yang berisi keberkatan dan kemuliaan bulan suci Ramadan. Tepat 17 Ramadan 2 H, ketika baru pertama kali kaum muslimin melaksanakan ibadah puasa, Perang Badar Kubra pun berlangsung.

Pendek kata, hanya beberapa hari setelah berpuasa Ramadhan, mereka perlu melaksanakan peperangan yang sulit, iaitu Perang Badar Kubra. Nabi SAW sangat mengetahui bahawa momentum Ramadhan ini adalah momentum ketaatan. Momentum yang sangat penting dalam mewujudkan pertolongan Allah dan kemenangan.

Bulan Perjuangan

Sunnah Nabi menjadikan Ramadhan sebagai bulan perjuangan, tergambar secara epik oleh para Sahabat. Bukan sekali ini saja Nabi SAW menjadikan momentum Ramadhan sebagai momentum perjuangan, tetapi begitu juga dengan Ramadhan-ramadhan berikutnya. Ramadhan pada tahun ke-5 H, Nabi SAW melakukan persiapan perang Khandaq melawan pasukan sekutu antara Quraisy dan Ghathafan. Pada 20 Ramadan tahun ke-8 H, Baginda SAW dan para Sahabat berjaya menjadikan momentum Ramadan sebagai momentum pembebasan kota Mekah.

Pada Ramadhan tahun ke-9 H, Rasulullah dan para Sahabat juga melakukan Perang Tabuk. Pada bulan itu juga, utusan Bani Tsaqif di Thaif datang menghadap Rasulullah dan menyatakan keislaman mereka. Pada Ramadan tahun ke-10 H, Rasul SAW mengutus Ali bin Abi Thalib membawa surat dan menyampaikan dakwah ke Yaman khususnya pada Bani Hamdan dan dalam masa satu hari saja, penduduk Bani Hamdan menyatakan keislaman mereka. Begitulah Ramadan yang dicontohkan oleh Nabi SAW dan para Sahabat.

Sunnah Nabi itu juga diikuti oleh generasi berikutnya. Pada Ramadhan tahun ke-15 H, kaum muslimin, dipimpin oleh Sa’ad bin Abi Waqash meraih kemenangan di Perang Qadisiyah melawan pasukan jenderal Parsi, Rustum, dan ia menjadi pintu pembebasan ibu kota Parsi al-Madain dan seluruh Parsi. Pada 14 Ramadan tahun ke 31 H, kaum muslimin dipimpin oleh al-Mutsanna meraih kemenangan di Perang al-Buwaib (saat ini dipanggil kota Kufah).

Pada Ramadhan tahun ke-92 H, Thariq bin Ziyad bersama pasukan kaum muslimin berjaya membebaskan Andalusia (Sepanyol). Kemudian, pada Ramadhan 223 H, Khalifah al-Mu’tasim Billah menjawab jerita meminta pertolongan dari seorang muslimah yang dinodai kehormatannya oleh pasukan Romawi dan Amuriyah. Saat itu, benteng pertahanan terkuat Romawi Bizantium di Asia kecil itu berjaya ditawan dan dibebaskan.

Pada 25 Ramadan tahun ke 658 H, kaum muslimin dipimpin oleh Saifuddin Qutus berjaya mengalahkan Tatat dalam perang ‘Ayn Jalut. Ramadan tahun 791 H, kaum muslimin berjaya membebaskan Bosnia Herzegovina. Begitulah bulan Ramadhan pada zaman Khilafah Islam, benar-benar dimaknai sebagai bulan perjuangan. Sungguh, di zaman Khilafah, Ramadhan jauh dari pemandangan hiburan, gurau senda apatahlagi maksiat.

Bulan Ketaatan

Selain diisi dengan puasa, membaca Al-Quran, solat berjemaah dan sedekah, Ramadhan di bawah naungan Khilafah juga dijauhkan dari berbagai kegiatan maksiat. Bermula dari sekecil-kecil dosa seperti dengki, berbohong, ghibah sehinggalah ke dosa-dosa besar seperti menebar fitnah, minum arak, berzina, membunuh dan lain-lain. Semuanya nyaris tidak ada. Kaum muslimin sangat leka dan khusyuk dalam ketaatan kepada Allah. Orang bukan Islam yang hidup di tengah-tengah mereka juga turut merasakan suasana Ramadhan yang luar biasa.

Masjid-masjid penuh dengan jemaah yang datang untuk menunaikan solat jemaah. Mereka berangkat ke masjid sebelum azan dan iqamah dikumandangkan. Mereka juga berlumba-lumba untuk mendapatkan saf yang terbaik iaitu saf paling depan. Para pedagang, pegawai pemerintah atau apa pun pekerjaannya, semuanya leka dalam suasana khidmat memenuhi panggilan Rabb-nya.

Di masjid-masjid jamik, diadakan kajian (halaqah) ilmu. Berbagai macam halaqah diadakan oleh para ulama. Halaqah ini kaya dengan pengkajian terhadap tsaqafah Islam bermula dari bahasa seperti Nahwu, Sharaf, Balaghah sehingga ke tafsir, qira’ah, hadis, fiqih, usul fiqh, mawa’idh dan banyak lagi. Semangat umat Islam untuk belajar juga sangat tinggi. Mereka mengkajinya dengan tekun dan serius kerana tsaqafah-tsaqafah inilah yang akan mereka terapkan dalam kehidupan.

Bahkan, halaqah-halaqah ini juga dihadiri oleh para Khalifah dan juga pegawai-pegawainya. Mereka duduk bersama mendengarkan para masyayikh di majlis-majlis mereka dengan penuh hormat dan takdim tanpa melihat status atau kedudukan mereka. Di majlis itu, mereka bercampur-baur dengan kaum muslim yang lain sehingga jika mereka melakukan kesalahan, di majlis itulah para masyayikh itu akan menegur mereka sepertimana yang dilakukan oleh Imam Malik kepada Harun ar-Rasyid dan puteranya.

Di jalanan juga tidak kelihatan suasana pergaduhan, kebisingan apatahlagi kekerasan. Para pengemis juga tidak kelihatan kerana negara telah menjamin keperluan makan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan keagamaan mereka. Tidak hanya itu, kaum muslim yang ada lebihan rezeki juga, menyalurkan rezeki itu tanpa diminta. Bahkan, di kebanyakan situasi, mereka sendiri mencari orang untuk bersedekah.

Infak, zakat fitrah dan zakat mal juga melimpah-ruah. Bukan hanya di bulan Ramadhan, tetapi juga di bulan-bulan lainnya. Kerana banyaknya infak dan zakat, pada satu tahap, Khalifah sukar menemukan orang yang layak menerima zakat. Dalam keadaan seperti ini, Khilafah boleh saja menyalurkan dana zakatnya untuk membebaskan hamba atau membina industri ketenteraan dari pos fisabilillah.

Bulan Persatuan dan Kesatuan

Suasana Ramadhan yang begitu khusyuk memberi kesan pada perilaku kaum muslim secara umum. Mereka leka dengan suasana ukhwah yang luar biasa. Non-muslim juga merasakan hal yang sama walaupun mereka tidak berpuasa kerana kasih sayang kaum muslim juga dicurahkan kepada mereka. Susana seperti ini menjadi pemicu persatuan dan kesatuan umat baik muslim dengan muslim lainnya ataupun muslim dengan non-muslim.

Manifestasi persatuan dan kesatuan itu juga sejak awal lagi sudah kelihatan pada isbat dan pengumuman jatuhnya 1 Ramadhan, 1 Syawal dan 9 Zulhijjah. Kerana pembuktian hilal itu dilakukan secara serentak di seluruh dunia dan diumumkan ke seluruh dunia. Umat Islam juga boleh mengakses informasi ini dengan cepat saat itu juga.

Khalifah yang menjadi pemimpin umat Islam juga saat itu muncul di layar kaca yang dipancarkan ke seluruh dunia untuk mengucapkan selamat kepada kaum muslim atas kedatangan bulan suci Ramadhan, sebagaimana yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada pada Sahabat di malam 1 Ramadhan tahun ke-2 H. Pesanan-pesanan rohani, moral dan politik disampaikan oleh Khalifah kepada umat Islam di seluruh dunia.

Saluran televisyen, radio dan lain-lain juga tidak ketinggalan untuk mengisi waktu kaum muslim dengan zikir, tilawah Al-Quran, hadis Nabi, kajian keislaman dan perkara-perkara yang bermanfaat bagi mereka. Begitulah suasana Ramadhan di bawah naungan Khilafah. Suasananya begitu luar biasa.

Exit mobile version