Muslimah tidak dibolehkan untuk berpuasa ketika haid dan nifas. Namun, itu tidak menghalang diri seseorang muslimah untuk mendapatkan pahala di bulan Ramadhan. Pahala puasa masih boleh diperolehi ketika selesai mengqadha’ puasa. Pahala membaca Al-Quran boleh diperolehinya dengan mendengar dan menyemak bacaan Al-Quran orang lain atau rakaman audio yang didengarinya. Hanya sahaja dia tidak dapat pahala solat kerana tidak dapat menunaikan solat.
Namun, keikhlasannya menerima ketentuan Allah SWT ada pahalanya tersendiri. Dia boleh menggantikan waktu-waktu solatnya dengan berzikir, berdoa dan membaca selawat. Dia juga boleh mengisi Ramadhan dengan amalan yang lebih besar. Menyediakan makanan berbuka bagi keluarganya, bagi jiran tetangganya atau orang lain yang memerlukan akan memberikan ganjaran pahala puasa berlipat kali ganda kepadanya sebanyak pahala orang yang dia berikan makanan berbuka.
Dia juga boleh membanyakkan bersedekah, memperbanyakkan ilmu agama seperti mengkaji tafsir, Hadis Nabi, mendalami fiqh dan tsaqafah-tsaqafah Islam yang lain. Selagi dia berniat untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, pasti akan dituliskan pahala untuknya. Amalan-amalan inilah yang juga boleh dia lakukan ketika memburu Lailatul Qadar, sementara dia dalam keadaan haid atau nifas.
Sumber: Arini Retnaningsih, “Shaum Ramadhan Perempuan”.

