Oleh: KH Hafidz Abdurrahman, M.A.
Dituturkan dalam hadis:
عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: «قُولِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي». سنن الترمذي (3513)، السلسلة الصحيحة (3337).
Dari Aisyah ra, berkata, “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana petunjukmu, jika aku mendapatkan salah satu malam lailatul qadar, apa yang aku perlu ucapkan?’ Baginda saw. menjawab, ‘Ucapkanlah: Allahumma innaka afuwwun tuhibbu al-afwa fa’fu anni (Ya Allah, Engkau adalah Maha Pemaaf. Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah hamba).’” (HR At-Tirmidzi, 3513, Silsilah Hadis Sahih, 3337)
Doa Nabi saw. ini mengandungi sebab dikabulkannya doa yang paling agung iaitu, tawasul kepada Allah Azza wa Jalla, setelah itu baru diikuti dengan permintaan (doa). Tawasul dalam konteks doa Nabi ini dimulai dengan Nama-Nya, Al-Afwu, Yang Maha Suka Memaafkan. Setelah itu, baru disampaikan permohonan:
«فاعفُ عني»،
“Maka, maafkanlah hamba.”
Ini di antara doa yang paling banyak berisi tawasul kepada Allah Azza wa Jalla, dan permohonan kepada-Nya dengan menggunakan Nama-Nya. Sebagaimana yang difirmankan-Nya,
وَلِلَّهِ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا.
“Allah mempunyai nama-nama yang indah, maka berdoalah kepada-Nya dengan Nama-nama itu.” [TMQ Al-A’raf (7): 180]
Al-Afwu mempunyai dua makna:
Pertama, Allah-lah Zat yang Maha Memaafkan keburukan, dengan cara menghapuskannya, meninggalkannya, dan tidak menyeksa kita kerananya.
Kedua, Allah Maha Menutupi dosa orang yang berdosa, dan mengampuninya. Oleh kerana itu, tidak ada seorang pun yang dapat mengetahuinya. Ini di antara bentuk kemurahan-Nya, kerana Dia menyelamatkan kita dari kesalahan, menghapuskannya, dan Dia tidak mengaibkan (mendedahkan) Anda dengan dosa-dosa itu. Sebaliknya, Dia menutupinya.
Ini adalah bentuk pengulangan anugerah dan nikmat kepada manusia. Kemudian kita memuji-Nya,
«تحب العفو» “Engkau Maha Menyukai ampunan.”
Ini adalah doa dan tawasul kepada Allah. Zat yang Maha Mengampuni ini menyukai ampunan, maka Dia memberikan balasan dengan pahala yang luar biasa.
Setelah itu, baru kita ucapkan,
«فاعفُ عني» “Ampunilah keburukan amal perbuatanku.”
Keburukan di sini meliputi dua jenis:
Pertama, meninggalkan kewajipan. Meninggalkan kewajipan itu merupakan keburukan yang memerlukan kepada ampunan. Begitu juga kelalaian di dalamnya.
Kedua, perbuatan yang termasuk dalam keburukan adalah menodai kesucian, baik kesucian darah, harta dan kehormatan. Semuanya itu merupakan keburukan, yang Anda ingin Allah hapuskan.
Sebagaimana yang terzahir dalam doa kita,
«اللهم إنك تحب العفو فاعفُ عني».
“Ya Allah, Engkau Zat Yang Maha Menyukai maaf, maka maafkanlah hamba.”
Ketika Allah memaafkan manusia, menggugurkan dosanya, maka Dia akan memperbaiki seluruh urusannya, baik di dunia dan akhirat. Mengampuninya dari azab kerana dosa-dosanya dan segala konsekuensinya, seperti penyakit dan mengalami penganiayaan orang. Semua itu termasuk dalam ampunan, termasuk keselamatan di akhirat. Kadang-kadang manusia melakukan taqarrub dan ketaatan di bulan yang mulia ini, tetapi dia melakukan kelalaian, melampaui batas, atau kurang ikhlas. Sesuatu yang mendorongnya untuk memohon kepada Tuhannya agar diberi ampunan. Kerana itu, Nabi saw. mengajarkan doa ini kepada Aisyah untuk dipanjatkan pada malam lailatul qadar.
Seterusnya dia mendapatkan ampunan Allah setelah dia memberikan ketaatan pada bulan Ramadhan, dan malam lailatul qadar secara khusus. Jiwa manusia sering tertipu, sehingga menyangka bahawa dia telah memberikan hak Allah, seperti puasa, qiyamullail, dan zikir. Namun, ketika Anda membayangkan doa ini pada malam lailatul qadar, doa hamba yang penuh aib dan kelalaian kepada Allah Swt., kemudian dia tawasul dengan Nama-Nya agar layak mendapatkan ampunan dan kasih sayang. Inilah keadaan yang Dia inginkan dari kita. Hamba yang tertawan dosa kemudian meratap di pintu taubat, ampunan dan kasih sayang-Nya. Bukan hamba yang merasa sempurna, tak rasa memerlukan apa pun daripada-Nya. Atau hamba yang merasa yakin amalnya diterima oleh Allah. Sebaliknya, hamba yang fakir, hina dina, dan suka tawasul kepada Rabb-nya agar Dia ampuni, dan terima amalnya dengan segala kekurangan dan kelalaiannya.
Al-Hafidz Ibn Jauzi berkata, “Titah-Nya agar kita meminta ampunan pada malam lailatul qadar setelah bersungguh-sungguh berjuang di malam itu dan sepuluh hari terakhir. (Kerana) orang yang arif sahaja akan sedar, setelah dia bekerja keras lalu dia melihat ternyata mendapati amalnya, ucapan, dan hal ehwalnya belum layak, maka dia pun kembali meminta ampunan, sebagaimana seorang pendosa yang melakukan kelalaian.”
Oleh itu, memohon ampunan dengan doa seperti ini merupakan kebaikan dunia dan akhirat. Maka, hadirkankah makna ini saat Anda berdoa dengan doa ini. Dengan harapan, Zat yang Maha Agung dan Pengampun itu berkenan mengampuni dosa kita. Menutupi aib kita dan kekurangan dalam ketaatan kita, serta meninggikan darjat kita. Perhatikanlah, bagaimana Nabi menangis sepanjang malam ketika mengisi malam-malam sepuluh hari terakhirnya, baik saat di rumah mahupun saat peperangan. Bayangkan, Nabi yang maksum masih memohon ampun kepada Allah hingga menangis begitu rupa hingga air matanya banjir. Begitulah seharusnya kita.
Maka, ulama salaf begitu peduli dengan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ini. Demi menyambutnya, mereka pun mandi pada setiap malam sebagaimana yang dilakukan Imam an-Nakha’i. Begitu juga Ayyub as-Sakhtiyani mandi pada malam 23 dan 24, lalu memakai baju baru dan pewangi. Anas bin Malik juga diriwayatkan melakukan hal yang sama pada malam 24. Mandi, memakai kain dan serban. Tsabit al-Banani dan Humaid at-Thawil juga memakai pakaian terbaiknya, memakai pewangi. Tsabit mengatakan, sahabat Nabi, Tamim ad-Dari mempunyai jubah yang dibeli dengan harga 1,000 Dinar, yang dipakai hanya saat malam yang diharapkan lailatul qadar datang saat itu. Begitulah mereka menyambut lailatul qadar dan mengisinya dengan munajat, memohon ampunan kepada Allah Swt.. Ya Rabb, anugerahkanlah hamba keampunan. Anugerahkanlah hamba lailatul qadar. Aamiin.

