Site icon MuslimahHTM News

Taubat Seorang Perompak

Oleh: Arief B. Iskandar

Fudhail Bin Iyadh rahimahullah hidup sezaman dengan Imam Malik, Sufyan bin Uyainah dan Abdullah bin al-Mubarak.

Fadhl bin Musa berkata, Fudhail bin Iyadh dahulunya adalah seorang penyamun (perompak) yang cukup ditakuti. Dia biasa merompak orang-orang di sekitar daerah antara Abu Warda dan Sirjis.

Suatu waktu, dia pernah terpikat dengan seorang wanita. Lalu, dia memanjat tembok untuk melaksanakan hasratnya terhadap wanita tersebut. Tiba-tiba dia terdengar seseorang membaca ayat, “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?” [TMQ Al-Hadiid (57): 16]

Ketika mendengar ayat itu, seluruh tubuhnya bergetar. Kemudian dia bergumam, “Tuhanku, tentu telah tiba saatku (untuk bertaubat).”

Kemudian, malam itu juga dia bergegas pulang. Tetapi, saat dia sedang berlindung dan bersembunyi di balik runtuhan bangunan, tiba-tiba lalulah sekelompok orang. Seseorang dari mereka berkata, “Kita jalan terus.” Yang lain juga menyambung, “Ya, kita jalan terus sehingga pagi kerana bisanya Fudhail menghadang kita di jalan ini.”

Mendengar kata-kata itu, Fudhail bergumam sendirian, “Aku melakukan berbagai kejahatan pada malam hari sehingga sebahagian dari kaum Muslim takut kepadaku. Ya Allah, sungguh aku bertaubat kepada-Mu.” (Lihat: Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala,  8/423).

Sejak hari itu, Fudhail bin Iyadh betul-betul bertaubat. Dia berhijrah sepenuhnya bukan separuh-separuh. Dari seorang perompak jalanan kepada orang yang alim, soleh, ahli ibadah, warak dan zuhud. Dia juga banyak menghabiskan waktunya di Kufah sambil berguru dengan beberapa ulama terkemuka.

Kemudian, dia berhijrah dan menetap di Mekah. Pada akhirnya, Fudhail bin Iyadh menjadi salah seorang ulama terkemuka, ahli fikih dan ahli hadis. Fudhail bin Iyadh juga merupakan seorang yang cerdas, kuat hafalannya dan warak. Tiga sifat ini merupakan modal utama untuk menjadi seorang ahli hadis.

Fudhail bin Iyadh juga terkenal kerana ketekunan dan kekhusyukkannya dalam beribadah sehingga digelah ‘Abid al-Haramayn (Ahli Ibadah Mekah dan Madinah).

Jika malam menjelma, Fudhail bin Iyadh biasanya duduk di sejadahnya untuk menunaikan solat qiamullail. Dia tetap meneruskan solat walaupun rasa mengantuk yang tidak tertahan. Saat rasa mengantuknya datang, dia berbaring sebentar untuk berehat, kemudian dia kembali menunaikan solat setelah badannya segar dan begitulah seterusnya sehingga masuknya waktu subuh.

Terkait solat malam ini, Fudhail pernah berkata, “Jika kamu merasa begitu berat untuk menunaikan qiyamullail dan berpuasa di siang hari, ketahuilah sesungguhnya dirimu telah dibelenggu dengan dosa dan maksiat yang telah kamu lakukan.”

Fudhail bin Iyadh juga terkenal kerana kewarakan dan kezuhudannya. Dia mencukupkan nafkah untuk diri dan keluarganya dari hasil mengurus air di Mekah walaupun tidak seberapa. Walaupun hidup cukup-cukup makan, dia tetap menolak segala bentuk pemberian dan hadiah dari Khalifah ataupun para pegawainya. Dia juga pernah menolak pemberian wang sebesar 1000 dinar dari Khalifah Harun ar-Rasyid.

Fudhail bin Iyadh banyak memberikan nasihat yang bijak dan bernas. Tentang ikhlas contohnya, Fudhail bin Iyadh berkata, “Meninggalkan amal soleh kerana manusia adalah riak. Beramal soleh kerana manusia adalah syirik. Ikhlas adalah kebebasan dari keduanya.”

Terkait bagaimana wujud sabar dalam menghadapi musibah, Fudhail berkata, “Dengan tidak menceritakan musibah yang dialami.”

Adapun terkait iman yang sempurna, Fudhail berkata, “Seorang hamba tidak akan menggapai hakikat iman kecuali setelah menganggap musibah sebagai nikmat dan nikmat sebagai musibah.”

Dan itu hanya sedikit dari nasihat beliau.

Sebagai seorang ulama besar ahli hadis dan ahli fikih, Fudhail bin Iyadh tentu saja memiliki ramai murid. Di antara muridnya juga ramai yang menjadi ulama besar. Antaranya adalah Imam Syafie, Ibnu al-Mubarak, Al-Ja’fi, Ishaq bin Mansur As-Sauli, al-Humaidy, Yahya bin al Qaththan, Abdrurrahman bin Mahdi, Qutaybah bin Said, Marwan bin Muhammad,  Abdurrazaq,  juga  Bisyr al-Hafy.

Begitulah teladan hijrah Fudhail bin Iyadh rahimahullah. Sebuah keteladanan yang luar biasa bagi sesiapa saja, khususnya mereka yang hendak berhijrah sepenuhnya.

Hikmah Ramadhan:

Ibnu al-Qayyim rahimahullaah berkata:

خير أيام العبد على الإطلاق، وأفضلها، يوم توبته إلى الله

“Hari terbaik dan paling utama bagi seorang hamba secara mutlak adalah hari saat ia bertaubat kepada Allah.” (Ibnu al-Qayyim,  Zaad al-Ma’ada, 3/512)

Exit mobile version