Saudariku, kita telah memasuki 10 hari terakhir Ramadhan. Kita patut merenungi, adakah kita telah mempersembahkan amalan terbaik dan berkualiti pada Allah?
Adakah sudah terlatih dan tertanam dengan kuat sifat sabar, ikhlas, dan tawakal menjadi bahagian dari keperibadian diri? Atau masih menyimpan sifat dendam, hasad, buruk sangka, dan memusuhi ajaran Islam serta saudara seakidah?
Ramadhan sebentar lagi akan pergi meninggalkan kita. Banyak keutamaan yang semestinya kita raih pada 10 hari terakhir Ramadhan. Tidak ada waktu yang Allah cintai selain pada 10 hari terakhir Ramadhan. Jika telah memasuki 10 hari terakhir Ramadhan, Rasul saw. mengetatkan kain sarungnya, membangunkan keluarganya lebih pagi, dan memperpanjang malamnya.
Sebaiknya, 10 hari terakhir Ramadhan tidak banyak kita gunakan untuk aktiviti duniawi, melainkan untuk iktikaf, solat malam, memperbanyak doa, membaca Al-Quran, dan memperbanyak sedekah. Pastikan kita menikmati dan merasakan iktikaf. Allah sunnahkan untuk memutuskan mata rantai hati dan jiwa kita dari dunia pada 10 hari terakhir Ramadhan.
Jika seorang muslim mencari malam Lailatulqadar, carilah pada malam ganjil 10 hari terakhir, yakni 21, 23, 25, 27, dan 29. Kalau lemah dan tidak mampu mencari pada 10 hari terakhir, carilah pada malam ganjil tujuh hari terakhir, iaitu 25, 27, dan 29.
Rasulullah saw. bersabda, “Barang siapa berdiri (solat) pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim)
“(Malam) Lailatulqadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas, dan tidak juga sejuk, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan.” (Ibnu Khuzaimah, Bazzar, sanadnya Hasan)
Sayyidah Aisyah ra. berkata, “Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bilakah malam Lailatulqadar (terjadi), apa yang harus aku ucapkan?’ Beliau menjawab, ‘Ucapkanlah, Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Lalu, apa hukumnya iktikaf bagi muslimah? Pendapat jumhur menyatakan bahawa iktikaf disunnahkan, termasuk bagi muslimah. Iktikaf mengandungi hikmah.
Imam Ibnu al-Qayyim rahimahullah menjelaskan hikmah iktikaf dalam kitabnya, Zaadul Ma’ad sebagai berikut
”Kebaikan dan konsistensi hati dalam berjalan menuju Allah tergantung kepada terkumpulnya kekuatan hati kepada Allah dan menyalurkannya dengan menghadapkan hati secara total kepada-Nya kerana hati yang keruh tidak akan baik kecuali dengan menghadapkan hati kepada Allah Taala secara menyeluruh.
Sedangkan makan dan minum secara berlebihan, terlalu sering bergaul, banyak bicara dan tidur, merupakan faktor-faktor yang mampu memperkeruh hati, dan semua hal itu boleh memutus perjalanan hati menuju kepada-Nya. Boleh melemahkan, menghalangi, dan menghentikannya.
Rahmat Allah kepada hamba-Nya menuntut pensyariatan puasa untuk mereka yang mampu mengikis dari makan dan minum yang berlebihan, serta mengosongkan hati dari campuran syahwat yang menghalangi jalan kepada-Nya. Allah mensyariatkannya sesuai dengan kadar kemaslahatan yang dapat bermanfaat bagi hamba di dunia dan akhirat, tetapi tidak merugikan dan memutus kemaslahatan dunia dan akhiratnya.
Sementara, Allah mensyariatkan iktikaf bagi mereka yang bertujuan agar hati dan kekuatannya fokus untuk beribadah kepada-Nya, berkhalwat dengan-Nya, memutus diri dari kesibukan dengan makhluk dan hanya sibuk menghadap kepada-Nya.
Kesedihan dan kekeruhan hati akan terhapus dengan mengingat-Nya dan memikirkan cara untuk meraih rida-Nya dan amalan apa yang mampu mendekatkan diri kepada-Nya.
Berkhalwat dengan-Nya menjadi ganti dari kelembutannya terhadap makhluk yang menyebabkan ia berbuat demikian adalah kerana (mengharapkan) kelembutan-Nya pada hari yang mengerikan di alam kubur, ketika tidak ada lagi yang mampu berbuat lembut kepadanya dan tidak ada lagi yang mampu menolong dirinya selain Allah. Inilah maksud dari iktikaf yang agung itu.”
Semoga kita mendapatkan keutamaan pada 10 akhir Ramadhan. Semoga rukuk, sujud, tilawah, sedekah, Tarawih, dan iktikaf kita membuka pintu langit dan memperberat mizan yang dicatat Malaikat Raqib. آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ.
Artikel:https://www.facebook.com/812692572241893/posts/2142003105977493/

