Penulis: Khalifah Muhammad
Ramadhan menjadi saksi terjadinya peperangan dan pertempuran bersejarah. Umat Islam menjadikan Ramadhan sebagai bulan kemenangan dan penaklukan. Bulan jihad dan pertempuran.
Umat Islam telah melewati beberapa dekad ketidakupayaan sejak kaum muslim kehilangan Khilafah. Negeri-negeri mereka terpisah-pisah. Kafir penjajah menguasai kehidupan dan juga pola fikirnya, serta mengalihkan mereka daripada masalah utamanya. Redha Allah tidak lagi dijadikan tolok ukur, umat muslim terpecah-belah, dan sistem Islam tidak diterapkan. Dunia menjadi misi terbesarnya dan target perjuangannya.
Lihatlah keadaan umat Islam ketika Ramadhan. Mereka mengetahui keistimewaan dan kebesaran Ramadhan di sisi Allah SWT tetapi mereka menjadikan bulan yang agung ini menjadi bulan untuk tidur, serta bulan untuk makan dan minum.
Lihatlah keadaan umat Islam ketika hidup di bawah pemerintahan Islam. Mereka hidup dengan aman dan tenteram. Mereka menjalani kehidupan dunia demi meraih kehidupan akhirat. Ramadhan menjadi bulan yang sentiasa mereka tunggu hari demi hari untuk menuai pahala besar. Mereka tidak hanya puasa, tetapi melakukan ibadah-ibadah lainnya.
Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seorang hamba pada hari Kiamat. Puasa berkata: ‘Ya Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada makan dan minum pada siang hari maka jadikanlah aku sebagai pemberi syafaat baginya.’ Al-Quran berkata: ‘Aku telah menghalanginya tidur di malam hari, maka jadikanlah aku sebagai pemberi syafaat baginya.’ Akhirnya keduanya dapat menjadi pemberi syafaat.” (HR Ahmad)
Di antara para sahabat, ada yang mengkhatamkan Al-Quran dalam semalam, ada yang separuh, dan ada yang sepertiga. Sehingga, hampir tidak ada satu pun daripada mereka meninggalkan waktu demi makanan.
Adapun di siang harinya, mereka gunakan untuk berjuang di jalan Allah dan mengemban dakwah Islam. Dikala itu, selama beberapa abad ketika Ramadhan, hampir tidak pernah kosong daripada pengiriman pasukan, peperangan, atau pertempuran melawan orang-orang musyrik. Mereka memahami besarnya pahala pertempuran di jalan Allah, sehingga mereka bersemangat menyebarkan Islam dan mengemban petunjuk bagi umat manusia.
Pada suatu hari, Umar bin al-Khaththab ra. bertanya pada sahabat-sahabatnya, “Siapakah manusia yang paling besar pahalanya?” Mereka mulai menyebutkan orang yang puasa, solat, dan mereka mengatakan anu dan anu setelah Amirul Mukminin. Umar berkata, “Mahukah kalian aku beritahu manusia yang paling besar pahalanya daripada orang-orang yang kalian sebut dan juga daripada Amirul Mukminin?” Mereka berkata, “Ya, tentu.” Umar berkata, “Pemuda Syam yang mengambil kendali dari kudanya, yang berjaga-jaga di perbatasan negeri kaum muslim. Beliau tidak tahu apakah binatang buas menerkamnya, haiwan beracun menggigitnya, atau para musuh menyerangnya. Inilah yang terbesar pahalanya daripada orang-orang yang kalian sebutkan, dan juga daripada Amirul Mukminin.” (Hayātu al-Sahābat, 1/320)
Ramadhan menjadi saksi terjadinya peperangan dan pertempuran bersejarah. Sebut sahaja Perang Badar, penaklukan Makkah, penaklukan Sepanyol, pertempuran Hittin, pertempuran Buwaib, penaklukan Nubah dan Amoriyah, serta banyak lagi yang lainnya. Umat Islam menjadikan Ramadhan sebagai bulan kemenangan dan penaklukan. Bulan jihad dan pertempuran. Namun, semua itu ada dan boleh terjadi kerana umat Islam memiliki satu negara yang menerapkan Islam dan memiliki Khalifah sebagai pemimpin yang menyerukan kemuliaan Islam.
Namun, lihatlah keadaan umat Islam hari ini. Tidak ada kemuliaan di sisi mereka, yang terlihat hanyalah perselisihan dan perpecahan, kelemahan dan kehinaan, serta kerendahan. Mereka terlihat pasrah dan tunduk pada segelintir penguasa al-ruwaibidhah (penguasa yang bodoh). Kafir penjajah menguasai semua urusan awam dan peribadi, sedangkan umat dengan senang hati menjadikan mereka sebagai tempat bergantung. Oleh kerana itu, anda tidak melihat di sana kecuali pembunuhan dan kerosakan, penghancuran tanaman dan ternak, serta penjarahan atas kekayaan dan sumber daya alam.
Tidak hanya itu, sistem kufur diterapkan di dalam kehidupan mereka. Pemikiran umat diserang dengan konsep kapitalisme dan sekularisme. Rumah-rumah mereka diserang dengan layar-layar kecil yang menghipnotis umat. Mereka terbuai dengan tontonan-tontonan yang isinya memutarbelitkan citra Islam. Gaya hidup Barat menjadi identiti baru umat Islam. Kekayaan dan jawatan menjadi tujuan hidupnya. Dengan keadaan ini, tidak hairan jika Ramadhan hanya sekadar menjadi bulan makan dan minum, sementara siangnya menjadi waktu bermalasan dan tidur, serta beberapa aktiviti keduniaan semata.
Sungguh telah tiba masanya bagi umat Islam untuk mengembalikan Ramadhan pada kewibawaan dan sukacitanya. Umat harus menyusun semula skala keutamaan, menjadikan redha Allah SWT sebagai tujuan tertinggi dan tolok ukur aktiviti mereka. Hal ini hanya boleh terjadi dengan mengembalikan syariat Allah dalam kehidupan dengan mendirikan Daulah Khilafah ‘ala minhājin nubuwah, yang merupakan janji Allah SWTdan khabar gembira daripada RasulNya SAW.
Hanya Khilafah yang mampu membersihkan kekuasaan kufur dari negeri-negeri Islam dan mengembalikan kemurnian Islam. Khilafah yang akan membawa mereka lebih dekat dengan Allah SWT, mengembalikan aktiviti dakwah dan jihad, serta membuat Ramadhan menjadi bulan ketaatan, bulan kemenangan dan penaklukan, serta bulan ibadah (taqarrub).

