Oleh: KH. M. Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Bagaimana menyikapi pendapat bahawa penetapan Aidilfitri hari ini (Ahad 1 Mei 2022) keliru dengan alasan hilal belum mungkin dirukyat, kerana menurut perhitungan ahli astronomi, hilal belum mungkin dirukyat dan pasti keliru perukyatnya, memandangkan ijtima’ baru terjadi 03.28 WIB pada hari Ahad 1 Mei 2022?
Jawapan:
Sesungguhnya kita menetapkan datangnya Aidilfitri itu berdasarkan perbuatan kita iaitu rukyatul hilal (pengamatan bulan sabit) untuk hilal Syawal, bukan berdasarkan fakta hilalnya itu sendiri di langit.
Sekali lagi kami ulangi, yang menjadi dasar penetapan Aidilfitri itu adalah perbuatan kita (af’aal al ‘ibad) untuk merukyat hilal, bukan fakta hilalnya itu sendiri secara objektif di langit.
Perhatikan sabda Rasulullah SAW:
صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته
“Berpuasalah kamu kerana melihat dia [hilal] dan berbukalah kamu kerana melihat dia (hilal).” (HR Bukhari no 1776; Muslim no 1809; At-Tirmidzi no 624; An-Nasa`i no 2087).
Jika misalnya kita tidak dapat melihat hilal Syawal kerana tertutup awan, maka kita menyempurnakan puasa sampai 30 hari, meski pun hilal itu secara fakta (saintifik) sebenarnya memang sudah benar-benar wujud (ada) di balik awan yang menutupi pandangan kita.
Syeikh Atha Abu Rasyta dalam kaitan ini menyatakan bahawa:
من هذا يتبين أننا لا نصوم ونفطر لحقيقة الشهر بل لرؤية الهلال فإذا رأيناه صمنا وإن لَم نره: لا نَصُمْ حتى وإن كان الشهر قد بدأ فعلاً بالحساب.
“Dari sini jelaslah bahawa kita tidak berpuasa dan juga tidak berhari raya kerana hakikat bulan (syahr) itu sendiri, melainkan kerana rukyatul hilalnya. Maka jika kita melihat hilal, kita berpuasa. Jika tidak melihat hilal, kita tidak berpuasa hatta meskipun bulan (syahr) benar-benar telah mulai berdasarkan hisab (perhitungan ahli astronomi).”
(Atha Abu Rasyta, Al-Hisab Al-Falaki fi Ash-Shaum, 2 Syawal 1423 (25 November 2003), http://www.hizb-ut-tahrir.info).
Justeru itu, walaupun secara saintifiknya, hilal Syawal sudah benar-benar ada di langit, tetapi kerana perbuatan kita merukyat hilal tidak membuahkan hasil (yakni kita tidak melihat hilal), maka kita putuskan keesokan harinya masih puasa (istikmal).
Apakah keputusan istikmal itu “keliru”? Secara saintifiknya ya, keliru. Tetapi secara syariah, tidak ada masalah dan tetap sah, kerana kita sudah menempuh prosedur wajib yang ditetapkan syariah, iaitu rukyatul hilal.
Demikian juga, sesungguhnya tidak ada masalah jika Sabtu, 30 April 2022 semalam pada waktu matahari terbenam ada sebahagian kaum muslimin yang melakukan rukyatul hilal, katakanlah di Yaman dan Afghanistan, dan mendakwa berhasil melihat hilal, padahal secara saintifiknya mustahil hilal boleh dirukyat di Yaman atau Afghanistan saat maghrib kerana ijtima’-nya saja belum terjadi (baru ijtima’ pukul 03.28 WIB hari Ahad 1 Mei 2022).
Apakah keputusan Aidilfitri yang jatuh hari Ahad 1 Mei 2022 itu “keliru”?
Secara saintifiknya ya, mungkin keliru. Tetapi secara syariah, tidak ada masalah dan tetap sah, kerana kita sudah menempuh prosedur wajib yang ditetapkan syariah, iaitu rukyatul hilal. Selain itu, perukyat yang mendakwa melihat hilal dipastikan sudah memberikan kesaksian (syahadah) telah melihat hilal yang dikuatkan dengan sumpah atas nama Allah di hadapan hakim syarie. Maka kesaksian dan sumpahnya dapat diterima, selagi tidak terdapat alasan-alasan syarie untuk menolak kesaksian atau sumpah dia.
Jadi, satu hal penting yang sangat perlu difahami adalah, bahawa ketika prosedur syarie yang sifatnya wajib sudah ditempuh, lalu diputuskan fatwa atas dasar prosedur itu, maka fatwa itu sudah sah menurut syarak walaupun fatwa itu sendiri sesungguhnya tidaklah sesuai dengan fakta yang ada.
Sebagai contoh, ada seorang saksi melihat lelaki dan perempuan berzina, dan keduanya memang benar berzina, tapi saksinya hanya dia sendiri, tak ada orang lain. Jika dia mengadukan perkara ini ke hakim syariah, kesaksian dia pasti ditolak, kerana nisab jumlah saksi untuk perzinaan itu adalah empat orang lelaki.
Satu orang saksi tidak cukup.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِيْنَ يَرْمُوْنَ الْمُحْصَنٰتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوْا بِاَرْبَعَةِ شُهَدَاۤءَ فَاجْلِدُوْهُمْ ثَمٰنِيْنَ جَلْدَةً وَّلَا تَقْبَلُوْا لَهُمْ شَهَادَةً اَبَدًاۚ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْفٰسِقُوْنَ ۙ
“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka lapan puluh kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” [TMQ An Nur (24): 4].
Jadi, ketika hakim syariah menolak kesaksian tunggal itu, apakah bererti FAKTA perzinaan itu tidak ada? Tidak, bukan? Mungkin boleh dikatakan bahawa penolakan hakim itu tidak “ilmiah”, atau, ringkasnya keliru. Tetapi meski demikian, penolakan hakim itu memang sah secara hukum Islam, kerana dia berpegang dengan prosedur pembuktian yang diwajibkan syarak, iaitu adanya empat orang saksi.
Contoh lain, jika seseorang merakam perzinaan, apakah video hasil rakaman itu dapat dijadikan bukti perzinaan di hadapan hakim syariah?
Jawapannya, rakaman video tidak sah dijadikan bukti dalam kes perzinaan.
Hal itu kerana, dalam kes perzinaan, hanya ada 3 (tiga) jenis pembuktian (al-bayyinat), tidak ada yang lain.
Ketiga jenis pembuktian tersebut adalah ;
Pertama, pengakuan (al-iqrar), iaitu pengakuan dari pelaku zina dengan pengakuan yang jelas (tanpa kesamaran) sekurangnya sekali, tanpa penarikan pengakuan. Untuk kemantapan (tatsabbut) pengakuan dapat sampai empat kali;
Kedua, kesaksian (asy-syahadah), iaitu kesaksian dari 4 (empat) orang lelaki muslim yang adil dan merdeka, dalam satu majlis yang mempersaksikan perzinaan dengan jelas.
Ketiga, hamilnya seorang wanita yang tidak bersuami, tanpa pengingkaran darinya. (Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal. 17-19; Ahmad Ad-Da’ur, Ahkamul Bayyinat, hal. 19; Abdul Qadir ‘Audah, At-Tasyri’ al-Jina`i al-Islami, hal. 395-440).
Setelah menerangkan tiga jenis pembuktian zina tersebut, Syeikh Abdurrahman al-Maliki menegaskan tidak ada pembuktian yang lain untuk kes zina selain yang tiga itu, misalnya kesaksian seorang doktor pakar puan bahawa seorang perempuan sudah tidak perawan lagi. (Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal.19).
Justeru itu, jika hakim syariah menolak bukti video itu, apakah bererti FAKTA perzinaan itu tidak ada? Tidak, bukan?
Mungkin boleh dikatakan bahawa penolakan hakim itu keliru alias tidak ilmiah. Tetapi meski demikian, penolakan hakim itu memang sah secara hukum Islam, kerana dia berpegang dengan tiga jenis prosedur pembuktian yang diwajibkan syarak untuk kes perzinaan.
Bahkan ekstremnya, andaikata hakim itu sendiri meyakini seratus peratus bahawa seorang perempuan telah berzina, dia tidak boleh menjatuhkan vonis jika tidak disokong oleh salah satu dari tiga jenis pembuktian tersebut.
Dalam masalah ini terdapat hadis sahih bahawa Rasulullah SAW pernah suatu saat yakin bahawa seorang perempuan telah berzina. Tapi Rasulullah SAW tidak menjatuhkan hukuman bagi perempuan itu, kerana tidak cukup bukti.
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda,”Andai saja aku boleh merejam seseorang tanpa bukti, pasti sudah kurejam si Fulanah, kerana telah nampak gelagat zina dari cara bicaranya, gerak tubuhnya, dan orang yang pernah menggaulinya.” (HR Ibnu Majah, no 2559). (Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, hal. 1471, hadis sahih). (Abdurrahman al-Maliki, Nizham al-‘Uqubat, hal.19; Ahmad Ad-Da’ur, Ahkamul Bayyinat, hal. 26).
Walhasil, seperti yang sudah kami katakan di atas, kami ulangi lagi bahawa ketika prosedur syarie yang sifatnya wajib sudah ditempuh, lalu diputuskan fatwa atas dasar prosedur itu, maka fatwa itu sudah sah secara syariah, walaupun boleh jadi fatwa itu sendiri memang tidak sesuai dengan fakta yang benar-benar ada.
Ketika mufti mengeluarkan fatwanya, atau ketika hakim syariah (qadhi) menetapkan putusannya (vonis), selama mereka sudah menempuh proses pendalaman fakta dan pembuktian yang diwajibkan syariah, seperti meminta keterangan saksi, dsb, maka sudah sah fatwa atau vonis mereka, meski pada hakikatnya fatwa atau vonis itu tidak sesuai dengan fakta. Ertinya, kemungkinan kekeliruan itu tetap ada.
Sabda Rasulullah SAW :
إِنَّمَا أَنَا بشَرٌ، وَإِنَّكُمْ تَخْتَصِمُونَ إِلَيَّ، وَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ؛ فأَقْضِي لَهُ بِنحْوِ مَا أَسْمَعُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بحَقِّ أَخِيهِ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ مُتَّفَقٌ عَلَيهِ
“Saya hanyalah manusia biasa, dan kalian mengadukan sengketa kepadaku, boleh jadi sebahagian diantara kalian lebih pandai berbicara daripada yang lainnya sehingga aku putuskan seperti yang kudengar. Maka barang siapa yang kuputuskan (menang) dengan mengambil hak saudaranya, janganlah ia mengambilnya, sebab itu seakan-akan aku memberikan potongan api neraka untuknya.” (Muttafaq alaihi).
Kesimpulannya, penetapan Aidilfitri 1443 yang jatuh hari Ahad 1 Mei 2022 boleh jadi dikategorikan keliru menurut sains. Akan tetapi penetapan tersebut sudah sah secara hukum Islam, selama penetapannya sudah melalui prosedur syarie yang diwajibkan syarak, iaitu perbuatan kita melakukan rukyatul hilal (yang mungkin saja tidak sesuai dengan fakta objektif hilal yang sebenarnya di langit), serta berpegang dengan syarat-syarat kesaksian perukyat secara syarie di hadapan hakim syariah.
Allah SWT berfirman :
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ اِنْ نَّسِيْنَآ اَوْ اَخْطَأْنَا ۚ
“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan.” [TMQ Al Baqarah (2): 286].
Wallahu a’lam
Jogyakarta, 1 Syawwal 1443 / 1 Mei 2022 07.45 WIB
M. Shiddiq Al Jawi

