Site icon MuslimahHTM News

[PERISTIWA SYAWAL] PERAYAAN AIDILFITRI PERTAMA – HARI KEMENANGAN UMAT ISLAM

Makna Aidilfitri secara bahasa (harfiyah), bermaksud ‘kembali kepada fitrah; iaitu, kembali kepada asal kejadian manusia yang suci, bersih dari dosa, seperti keadaan bayi baru lahir.

Kata ‘fitrah’ dari kata futhur beerti ‘kembali makan pagi (sarapan)’. Jadi, pada hari Aidilfitri bermakna kembali sarapan, tidak seperti bulan Ramadhan yang tiada sarapan dan wajib berpuasa. Maksud ini dikaitakan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda;

“Barangsiapa berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah Hari Raya Aidilfitri

Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah Arab telah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan.
kedua-dua perayaan ini merupakan tradisi yang berasal dari zaman Persia Kuno.

Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian, seperti tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi dan memakan makanan enak dan minuman memabukkan. Ketika itu juga setiap kaum mempunyai hari raya masing-masing.

Setelah itu, turunnya kewajipan untuk menunaikan ibadah puasa Ramadhan pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, yakni Aidilfitri dan Aidiladha.”
(Hadis Riwayat Daud dan Nasai)

Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy.

Jadi pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan, iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menakluk hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

Dari sinilah lahirnya ungkapan ‘Minal ‘Aidin wal Faizin’ yang lengkapnya ungkapan doa kaum Muslim saat itu:

‘Allahummaj ‘alna minal ‘aidin walfaizin’ : ‘Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang kembali (dari Perang Badar) dan mendapatkan kemenangan’

Diriwayatkan, Rasulullah SAW dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri yang pertama dalam keadaan luka-luka yang masih belum pulih dan letih akibat Perang Badar. Dari Jubair bin Nufair, dia berkata, bahawa jika para sahabat Rasulullah SAW pada hari raya Aidilfitri (dan Aidiladha) dan berjumpa satu sama lain, mereka saling mengucapkan:

“Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amal kami dan amal kalian).”

Menurut Ibnu Katsir, pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Rasulullah SAW pergi meninggalkan masjid menuju ke suatu kawasan lapang dan menunaikan solat Aidilfitri di situ. Sejak itulah, Baginda dan para sahabat menunaikan solat Aidilfitri di lapangan terbuka.

Jadi, Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang Allah turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam, bukan sahaja sebagai kemenangan dalam bentuk fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menakluk nafsu dalam bulan Ramadhan.

Seharusnya, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyakkan ucapan tahmid dan tasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT bersempena dengan kemuliaan hari kemenangan itu. Diterangkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, maksudnya;

“Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.”

Ini bermakna, seseorang muslim itu sangatlah digalakkan dan dituntut agar menghidupkan hari raya dengan segala amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT bagi menjamin hati agar tidak mati dan menjadi hamba yang penuh taqwa.

Rasulullah SAW dan para sahabat telah melalui sembilan kali Ramadhan dengan penuh kebersamaan. Sungguh, mereka telah melewati bulan Ramadhan dengan pelbagai macam peristiwa yang dapat dijadikan contoh pengorbanan dan penyerahan diri kepada Allah SWT. Tidak dilupakan juga perintah menyambut Aidilfitri ini juga berlaku setelah hijrahnya Nabi ke Madinah. Takbir kala itu, dilantunkan sebagai ungkapan kemenangan yang nyata, yang berhasil diraih oleh kaum Muslim dalam perjuangan mereka li i’lai kalimati-Llah (untuk menegakkan agama Allah). Kemenangan mereka dalam menegakkan kedaulatan hukum-hukum Allah di muka bumi,dan kemenangan mereka dalam menundukkan kekufuran dalam segala bentuk penampilannya.

Sumber:
Ensiklopedia Islam
Mykhilafah

Pengajaran:
Sebagai seorang Muslim yang beriman, yang telah pun melalui tempoh sebulan Ramadhan, bulan melawan hawa nafsu, bulan membulat tekad dalam beramal soleh bagi meraih ketakwaan sejati sepatutnya perlu memahami hakikat Syawal dari sudut pandang Islam. Seharusnya ketakwaan terus berlanjutan dari Ramadhan hingga ke bulan ke depannya. Ianya tidak terhenti di situ bagi individu Muslim. Seterusnya bagi masyarakat, perlu difahami makna kemenangan sebenar adalah apabila saat Islam benar-benar berjaya diterapkan dalam kehidupan kita secara kaffah. Ini belum lagi kita capai. Maka teruslah berusaha, berdakwah, beramar makruf nahi mungkar sehingga kemenangan besar ini benar-benar terrealisasi. Seperti itulah, wujud ketaatan dan ketakwaan yang sebenar yang sewajarnya kita buktikan dihadapan Allah SWT, sebagai hasil dari ibadah shaum kita di bulan Ramadhan. Dan seperti itu pulalah, wujud kemenangan nyata yang seharusnya kita raih, sebagaimana kemenangan yang pernah diraih oleh baginda Rasulullah SAW dan para shahabatnya dalam menempuh perjuangannya. Wallahu’alam.

Exit mobile version