KEYAKINAN TERHADAP JANJI ALLAH SERTA KESUNGGUHAN ADALAH KUNCI MENUJU KEMENANGAN
Ketika Nabi Muhammad saw begitu teguh menyebarkan Islam, dan Madinah semakin menampakkan kekuatan demi kekuatan, dan berjaya menguasai suku-suku bangsa Arab, saat ini jugalah kesumat dendam orang-orang Yahudi membakar. Puak Yahudi yakin bahawa tercerai-berainya kekuatan adalah satu-satunya cara untuk menghakis kekuatan Daulah Islam. Kemudian orang-orang Yahudi sepakat mengajak puak kafir Quraisy dan semua puak penentang Muhammad agar bersatu memerangi Muhammad saw. sehingga berjaya mengumpulkan 10,000 kekuatan.
Berita ini sudah pasti membuat umat Islam merasa risau. Kerana bererti seluruh bangsa Arab sudah bersatu untuk melawan negara Islam. Bahkan mereka membentuk pasukan Ahzab yang begitu besar. Rasulullah saw. pun segera menyiapkan diri dan pasukannya hingga terkumpul sejumlah 3,000 orang. Salman Al Farisi telah memberi saranan bahawa wilayah-wilayah yang menjadi pintu masuk ke kota akan dibentengi dengan sebuah parit besar. Sementara pertahanan di dalam kota diperkuat dengan dibuat benteng-benteng. Atas perintah Rasul Saw. seluruh warga kota pun mula bekerjasama dalam penggalian parit. Dalam Kitab Ad-Daulah al-Islamiyah, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani menyebutkan bahawa kerja panggalian parit berjaya disiapkan dalam masa 6 hari. Baginda Rasulullah Saw. sendiri turut serta dalam penggalian ini. Beliau turut menggali dan mengangkat tanah seraya terus memberi semangat kepada yang lainnya. Boleh dibayangkan betapa beratnya menggali parit sepanjang 5.544 meter, lebar 4.62 meter, dan kedalaman 3.234 cm itu. Ditambah dengan kedudukannya di atas kaki bukit Sil’a yang berbatu dan dibuat dalam cuaca yang sangat dingin.
Mengenang Kedahsyatan Perang Parit dan Makar Kuffar
Menjelang perang, tembok-tembok rumah yang menghadap langsung ke arah musuh dijaga ketat. Sementara rumah-rumah hunian yang berada di belakang parit dikosongkan. Adapun kaum wanita dan anak-anak dibawa dan dikumpulkan dalam rumah-rumah yang dijaga. Lalu di samping parit dari arah Madinah diletakkan batu-batu yang siap dilemparkan sebagai senjata. Pada hari dimulainya peristiwa Perang, di bulan Syawal tahun ke-5 Hijriah, Rasul saw. pun keluar bersama pasukannya. Lalu beliau berdiri membelakangi Jabal Sila’ dan menempatkan pasukannya di bibir parit. Di sanalah beliau mendirikan khemah-khemah dengan warna merah berikut pos-pos penjaganya. Adapun pihak Quraisy dan sekutunya, mereka berharap dapat bertemu dengan pasukan Muhammad di daerah Uhud. Ternyata, mereka mendapati tempat itu kosong. Mereka pun meneruskan perjalanan menuju Madinah dan terkejut ketika kota itu telah dihalangi parit besar. Mereka pun berfikir bahawa tidak mungkin dapat menembusi parit selebar dan sedalam itu. Maka mereka pun membuat markas di sekitar Ruma dan Dhanab Naqama. Selama beberapa hari tak ada yang dilakukan oleh kedua pasukan selain saling melempar panah. Sementara bagi pasukan Ahzab seolah tak ada harapan untuk memenangi peperangan. Terlebih waktu itu sedang dalam musim sejuk yang luar biasa, disertai badai dan ancaman hujan. Maka hati dan fikiran mereka pun mulai dihinggapi rasa putus asa, hingga nampak tanda-tanda mereka akan berundur. Keadaan inilah yang dibaca oleh Huyyay bin Akhtab, pemimpin pasukan Yahudi Nadhir yang sebelum itu berjaya menghimpun mereka. Sudah pasti dia tak ingin usahanya sia-sia. Maka dia pun menjanjikan kepada mereka bahawa Bani Quraidzah akan memberikan dukungan kepada mereka yang ada di dalam kota Madinah. Hingga mereka akhirnya mahu bertahan menunggu keadaan. Saat itulah dia cuba mendatangi dan memujuk Ka’ab bin Asad pimpinan Bani Quraizah untuk membatalkan perjanjian dengan pihak Rasulullah. Pujukan ini pun berjaya, hingga mereka kembali membahayakan kaum muslim. Menusuk dari belakang. Mereka mulai memutuskan bantuan termasuk bahan makanan. Mereka bahkan siap membuka pintu Madinah untuk pasukan Ahzab hingga mental mereka bangkit kembali. Sementara di saat yang sama, ketakutan mulai menghantui pasukan kaum muslim. Di saat itulah, pasukan Ahzab mulai masuk ke dalam parit hingga pertembungan fizik yang tidak dapat dielakkan. Sementara pasukan Yahudi Bani Quraizah memusnahkan pertahanan kaum muslim dari dalam kota Madinah hingga keadaan terasa begitu mencengkam. Namun Rasulullah begitu yakin akan pertolongan Allah. Dan pertolongan itu datang melalui Nu’aim Bin Mas’ud, seorang yang baru masuk Islam dimana keislamannya tidak diketahui baik oleh kaum Quraisy, Bani Quraizah mahupun Bani Gathafan. Maka Nu’aim mendatangi satu persatu kaum itu dan berjaya menghasut mereka satu sama lain hingga muncul saling curiga di antara mereka. Abu Sofyan misalnya, ternyata mendapati Bani Quraizah menolak untuk berperang di hari Sabtu. Begitu pun Bani Ghatafan merasa bahawa pulang lebih baik bagi mereka. Hal ini diperkuat dengan datangnya pertolongan Allah kepada kaum Muslimin. Angin taufan bercampur petir disertai hujan yang sangat lebat terjadi di tengah malam itu. Menyebabkan khemah-khemah mereka musnah. Ketakutan pun merasuki jiwa mereka. Hingga memaksa mereka pulang setelah 27 hari bertahan di pinggiran kota Madinah tanpa mendapatkan apa-apa. Adapun Bani Quraidzah saatnya mereka mendapat hukuman yang layak dari negara Islam. Rasulullah Saw. memerintahkan Saidina Ali dan pasukannya membunuh mereka yang turut berkhianat dan merampas kekayaannya. Maka setelah itu Madinah pun bersih dari musuh baik yang ada di luar mahupun di dalam.
Kejayaan perang Khandaq ini tercatat dalam Al-Quran. Allah Swt. berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (TMQ Al-Ahzab: 9).
Sumber: https://www.muslimahnews.com/?s=khandaq
Pengajaran:
- Keyakinan dan keimanan Nabi Muhammad saw dan para mujahid Islam kepada Allah – Rasulullah saw juga menjadi teladan insan paling bersemangat dan yakin akan janji Allah berupa kemenangan, sekalipun jumlah musuh jauh lebih besar. Inilah semangat luar biasa untuk meraih kemuliaan dan kemenangan. Kekuatan ruhiyah inilah yang berkontribusi besar dalam memperoleh kemenangan. Dengan keyakinan yang penuh terhadap janji berupa kemenangan dan kesungguhan inilah yang mendatangkan nasrullah.
- Kesatuan dan kerjasama sesama pasukan tanpa sebarang masalah mengukuhkan barisan mereka. Walaupun sedikit, kekuatan akidah menyatukan dan menguatkan mereka.
- Kecerdasan berfikir Salman al-Farisi yang mengusulkan idea menggali parit di keliling kota disambut baik Rasulullah saw. Ini membuktikan bahawa dalam sebuah pasukan, setiap individu memainkan peranan bagi mencapai kejayaan bersama. Ketua yang baik (Nabi Muhammad saw) menunjukkan sikap terbuka dalam menerima masukan dari ahli pasukan. Keadaan ini menunjukkan peri penting setiap peranan dalam pasukan dimana lontaran idea dan strategi sangat diperlukan dalam peperangan khususnya.
- Kebijakan Rasulullah saw memerintahkan Nu’aim untuk memecahbelahkan kesatuan pihak musuh juga adalah satu strategi yang bijak.
- Penggalian parit tidaklah mudah, kerana strukturnya yang berbatuan. Akan tetapi, Rasulullah saw tetap terdepan dalam melakukan pekerjaan. Bahkan, ketika menggali, ada batu besar yang tidak mampu dipecahkan, akhirnya berjaya dipecahkan oleh Rasulullah saw.
- Mengambil semangat Perang Ahzab ini ke dalam diri kita agar menjadi individu yang cerdas, teguh, kuat dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai muslim yang mana banyak cabaran dalam kita nak melakukan ketaatan kepada Allah swt. Tetap terus istiqamah menjadi muslim Ramadhani di bulan Syawal dan bulan-bulan ke depannya. InshaAllah.

