Site icon MuslimahHTM News

Hindun binti Utbah ra., Hati yang Luluh di Jalan Allah

Penulis: Ummu Naira

Bagaimana orang yang dahulunya sangat membenci Islam, berubah 180 darjah menjadi pembela Islam di barisan hadapan? Kun fayakun! Itulah yang tercatat sebagai kisah hidup Hindun binti Utbah ra.

Begitulah kuasa Allah SWT yang membolak-balikkan hati manusia. Hindun binti Utbah memendam permusuhan yang sangat hebat kepada kaum muslim terutamanya kepada Rasulullah SAW. Bahkan dia rela mengorbankan harta dan semua yang dimilikinya untuk menghalang dakwah tauhid Baginda Nabi.

Hindun binti Utbah bin Rabi’ah bin Abdul Syams al-Absyamiyyah a-Qurasyiyyah, seorang wanita Arab yang sangat terkenal baik sebelum kedatangan Islam mahupun sesudahnya. Beliau merupakan ibunda kepada Khalifah Bani Umayyah, Mu’awiyyah bin Abu Sufyan ra. Seorang wanita yang berani, memiliki keyakinan diri yang tinggi, tekadnya kuat, cerdas dan berkeperibadian tinggi.

Hindun pernah berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Al-Fakih bin Al-Mughirah al-Makhzumi, seorang pemuda Quraisy yang terhormat. Namun, kerana suaminya memiliki perangai yang tidak baik, mereka bercerai. Dari pernikahan ini, Hindun mendapat seorang anak lelaki bernama Aban.

Setelah itu, Hindun berkahwin dengan Abu Sufyan bin Harb dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mu’awiyah dan Utbah. Ketika ini, Islam mengalami kejayaan di jazirah Arab. Sayangnya, Hindun dan suaminya tidak mahu menerima kebenaran Islam dan menolak masuk Islam.

Bahkan, dia dan suaminya membuat makar-makar jahat untuk menghancurkan Islam sehingga ke akarnya.

Puncak permusuhan ini terjadi setelah perang Badar di mana pasukan Quraisy kalah teruk. Allah SWT telah memberikan pertolongan kepada kaum muslimin dengan menurunkan para malaikat yang turut bertempur untuk membantu mereka.

Dalam perang ini, Utbah, Syaibah dan Al-Walid bin Utbah yang merupakan ayah, bapa saudara dan saudara kandungnya, tewas di tangan Hamzah, bapa saudara Rasulullah. Selepas peristiwa itu, tidak ada yang difikirkan oleh Hindun selain membalas dendam.

Akhirnya saat pembalasan dendam itu pun datang. Pasukan Quraisy yang seramai 3000 orang dengan panglima tertinggi Abu Sufyan bin Harb bertolak ke Uhud. Seorang hamba bernama Wahsyi dipersiapkan secara khusus untuk membunuh Hamzah.

Wahsyi seorang yang pakar dalam melempar tombak. Sebagai ganjaran, Wahsyi akan dimerdekakan dari statusnya sebagai hamba jika dia berjaya membunuh Hamzah. Selain itu, dia juga akan diberi perhiasan-perhiasan yang mahal.

Ketika Perang Uhud meletus, wanita-wanita Quraisy di bawah pimpinan Hindu binti Utbah menyelinap di antara barisan tentera sambil memukul rebana bertujuan untuk membangkitkan semangat pasukan dan mengorbankan api perang. Mereka berteriak sambil mengalunkan puisi-puisi yang membakar hati.

Di pihak kaum muslimin pula, Singa Allah (gelaran Hamzah ra.) berapi-api di arena pertempuran. Sesaat, kaum muslimin kelihatan bakal menang. Namun sayangnya, para pemanah di atas bukit meninggalkan posisi mereka dan turun ke arena pertempuran untuk mengumpulkan harta rampasan yang telah ditinggalkan oleh pasukan musuh yang kalah.

Ketika pasukan kaum muslimin sedang lengah, tiba-tiba muncul pasukan berkuda Quraisy dari belakang dan menghabiskan kaum muslimin sehingga keadaan menjadi huru-hara. Hamzah meningkatkan kekuatan dan serangannya terhadap orang-orang musyrik. Namun tanpa disangka, Wahsyi sedang memperhatikan gerak-geri Hamzah.

Wahsyi berlindung di belakang sebatang pohon atau batu untuk menunggu jarak Hamzah yang semakin dekat dengannya. Ketika mendapat peluang, Wahsyi melemparkan tombaknya ke arah Hamzah. Tombak itu mengenai Perut Hamzah sehingga tembus ke belakang badan. Akhirnya, Hamzah telah gugur di medan Uhud. Lebih menyayat hati, para wanita Quraisy -termasuk Hindun- telah merosakkan tubuh pasukan kaum muslimin yang telah syahid dengan cara yang sangat biadab.

Setelah itu, Hindun naik ke puncak batu yang besar lalu berteriak sekeras-kerasnya, “Kami telah membalas kekalahan pada Perang Badar. Kecamuk perang kedua lebih dahsyat dari pernah pertama. Aku tidak kuasa untuk menahan kepedihan atas kematian Utbah. Aku kehilangan saudara, bapa saudara dan juga putera pertama. Pupus sudah kesumat yang bergelora di dalam dada. Wahsyi telah melempiaskan rasa sakit di dalam hati ini.”

Hindun tetap mempertahankan kemusyrikannya selama lebih dari 20 tahun sehingga akhirnya Allah SWT membuka pintu hatinya untuk menerima Islam saat peristiwa pembebasan Kota Mekah.

Aisyah ra. menuturkan, Hindun datang kepada Nabi SAW seraya berkata, “Wahai Rasulullah, demi Allah, selama ini, tidak ada golongan di dunia ini yang paling aku harapkan agar Allah membinasakannya selain dari golonganmu. Tetapi, hari ini, tidak ada golongan di dunia ini yang paling aku harapkan agar Allah memuliakannya selain dari golonganmu.” Rasulullah SAW membalas, “Begitu juga aku. Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya.” (HR Muslim)

Keperibadian Hindun binti Utbah ra. sangat jarang dimiliki oleh wanita lain. Ketika hidayah datang kepadanya, beliau terus dapat melupuskan noda-noda jahiliyahnya. Hatinya luluh. Beliau tampil sebagai seorang sahabat yang sangat istimewa. Allah SWT membersihkan jiwanya dari kedengkian dan kebencian serta menyingkap fikirannya dari tabir jahiliyah.

Sesaat setelah memeluk Islam, beliau terus mengambil palu dan menghancurkan berhala yang ada di dalam rumahnya sehingga hancur berkeping-keping seraya berkata, “Selama ini, kami terpedaya olehmu.”

Hindun binti Utbah ra. menjadi seorang ahli ibadah, rajin solat malam dan berpuasa. Beliau sangat konsisten dengan status barunya (muslimah) sehingga tibalah saat yang membawa kegelapan bagi seluruh bumi ini, iaitu saat kewafatan Rasulullah.

Hindun merasa sangat terpukul kerana dia merasa terlalu lama dirinya memusuhi Rasulullah dan baru saja menerima Islam sesaat yang lalu. Tetapi, Hindun tetap dapat mempertahankan keislamannya dengan baik.

Setelah kewafatan Rasulullah, beliau tetap menjadi ahli ibadah dan menjaga janji setia yang pernah diucapkan olehnya di hadapan Rasulullah saat baiat di atas bukit Safa. Semoga Allah meredhainya. Aamiin. Wallahualam.

Exit mobile version