Penulis: Muhammad Ismail
Secara fitrahnya, dalam diri manusia terdapat kecenderungan untuk menyucikan sesuatu (taqdis). Berdasarkan fitrah itulah, manusia melakukan ibadah terhadap sesuatu. Bererti, ibadah merupakan manifestasi (hasil reaksi) semulajadi dari naluri beragama (gharizah tadayyun). Oleh kerana itu, manusia akan merasakan suatu ketenteraman dan kebahagiaan tatkala melakukan ibadah sebab ketika itu dia telah memenuhi tuntutan gharizah tadayyunnya.
Namun demikian, masalah ibadah tidak boleh diserahkan begitu saja kepada persepsi dari dalam (wijdan) untuk menentukan apa yang sepatutnya diibadahi. Hanya bergantung kepada wijdan semata akan cenderung berlaku kesalahan dan dapat mengantar ke jurang kesesatan.
Sebahagian besar sesembahan manusia yang disembah berdasarkan dorongan wijdan saja adalah suatu hal yang sebenarnya wajib dilenyapkan dan sebahagian besar yang disucikan oleh manusia berdasarkan wijdan saja adalah suatu hal yang perlu direndahkan. Apabila wijdan dibiarkan menentukan sendiri apa yang selayaknya disembah oleh manusia, maka hal ini dapat membawa kepada kesesatan dalam beribadah iaitu selain kepada Sang Pencipta; atau dapat menjerumuskannya pada perbuatan khurafat, dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Al-Khaliq, tetapi malahan menjauhkan dari Al-Khaliq.
Hal seperti itu boleh saja terjadi, sebab wijdan adalah suatu perasaan yang terbentuk dari naluriah semata (ihsaas gharizy); atau suatu perasaan yang muncul dari dalam manusia yang tampak akibat adanya suatu kenyataan yang diindera atau dirasakan berinteraksi dengan manusia, atau boleh juga muncul dari suatu proses pemikiran yang dapat membangkitkan perasaan itu apabila manusia kembali hanya percaya pada perasaannya untuk sampai pada kesimpulan di atas tanpa disertai dengan proses berfikir, maka kemungkinan besar akan terjerumus dalam kesesatan atau kesalahan.
Contohnya, pada suatu malam, anda melihat sebuah bayang-bayang hitam sehingga menyangka itu adalah musuh. Maka anda akan digerakkan oleh naluri mempertahankan diri (gharizatul baqa’) sebagai tindakbalas rasa takut.
Kemudian perasaan anda mengambil reaksi terbaik iaitu dengan cara berlari. Tindakan seperti ini tentu saja merupakan suatu kesalahan, sebab anda telah berlari kerana takut terhadap sesuatu yang mungkin sebenarnya tidak wujud. Anda juga lari dari sesuatu yang sepatutnya dilawan sehingga reaksi anda, yakni munculnya rasa takut (dengan berlari) adalah tindakan yang salah.
Akan tetapi, jika anda menggunakan akal dan memikirkan perasaan yang mencengkeram diri anda sehingga anda memutuskan sikap reaksi yang sepatutnya, maka akan jelaslah bagi anda, tindakan apa yang seharusnya dilakukan. Barangkali akan jelas kemudian, bahawa bayangan itu hanyalah sebuah tiang elektrik, pokok, atau haiwan sehingga lenyaplah rasa takut dalam diri anda, dan anda dapat terus berlalu pergi dengan tenang.
Mungkin juga akan jelas bagi anda bahawa bayangan itu adalah seekor binatang buas sehingga tidak mungkin anda berlari di hadapannya. Anda harus berusaha mencari perlindungan; dengan memanjat pokok misalnya, atau berlindung di dalam rumah, maka anda pun akan selamat.
Oleh kerana itu, manusia tidak diperbolehkan (begitu saja) memenuhi tuntutan gharizah, kecuali disertai dengan penggunaan akal. Dengan kata lain, tidak boleh ia melakukan suatu tindakan yang semata-mata berasal dari dorongan wijdan saja, tetapi sebaliknya perlu menggabungkan akal dengan wijdan.
Berdasarkan hal ini maka taqdis (mensucikan sesuatu), perlu dibangun berdasarkan proses berfikir yang disertai perasaan wijdan. Sebab taqdis adalah hasil manifestasi dari gharizah tadayyun. Bentuk manifestasi ini tidak boleh ada tanpa melalui proses berfikir, kerana dapat menjerumuskan manusia ke jurang kesesatan dan kesalahan.
Manusia wajib memenuhi gharizah tadayyun, tetapi setelah melalui proses berfikir, iaitu setelah menggunakan akalnya. Oleh kerana itu, ibadah tidak boleh dikerjakan, kecuali sesuai dengan hasil penunjukan akal sehingga ibadah itu benar-benar ditujukan kepada Zat yang secara fitrah patut disembah, Dialah Al-Khaliq yang mengatur segala sesuatu, yang (Zat-Nya) senantiasa diperlukan manusia.
Akal manusia memastikan bahawa ibadah hanya dilakukan kepada Al-Khaliq, kerana Dialah yang mempunyai sifat azali (tak berawal dan berakhir) dan wajibul wujud (wajib keberadaannya). Manusia tidak boleh melakukan ibadah kepada selain Al-Khaliq.
Dialah yang telah menciptakan manusia, alam semesta, dan kehidupan ini, serta memiliki sifat-sifat sempurna secara mutlak. Jika seseorang telah meyakini keberadaan-Nya, maka seseorang itu akan mewajibkan dirinya untuk menyembah dan melakukan ibadah kepada-Nya semata.
Adanya pengakuan bahawa Dia adalah Al-Khaliq, baik secara fitrah ataupun akli, mewajibkan seseorang yang mengakuinya untuk beribadah kepada-Nya. Ibadah adalah suatu bentuk manifestasi perasaannya terhadap keberadaan Al-Khaliq. Ibadah merupakan bentuk manifestasi rasa syukur tertinggi yang wajib dilakukan oleh makhluk kepada Zat yang telah memberinya nikmat penciptaan dan pengadaan.
Fitrah manusia dan akal manusia mewajibkan adanya ibadah. Sedangkan, akal memastikan bahawa yang berhak disembah, disyukuri, dan dipuji adalah Al-Khaliq, bukan selain-Nya (makhluk). Oleh kerana itu, kita menyaksikan bahawa manusia yang pasrah (menyerahkan diri) hanya kepada wijdan saja sebagai bentuk manisfestasi taqdisnya tanpa menggunakan akalnya, mereka terjerumus dalam kesesatan sehingga menyembah banyak sesembahan, di samping pengakuannya terhadap wujud Al-Khaliq yang wajibul wujud dan bersifat tunggal (Esa).
Akan tetapi, ketika membangkitkan manifestasi gharizah tadayyun, mereka menyucikan yang lain. Mereka melakukan ibadah kepada Al-Khaliq, tetapi juga sekaligus kepada makhluk-makhluk-Nya baik dengan anggapan sebagai Tuhan yang layak disembah atau menyangka bahawa Al-Khaliq menitis pada suatu benda ataupun menganggap Al-Khaliq akan redha apabila dilakukan taqarrub kepada-Nya melalui penyembahan kepada benda-benda tersebut.
Bersambung ke bahagian 2
Sumber: Al-Fikru Al-Islamiyu (Bunga Rampai Pemikiran Islam). Muhammad Ismail.

