Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Pembentukan keperibadian Islam adalah sama seperti keperibadian lain, kedua-duanya dibentuk oleh aqliyah dan nafsiyah dengan landasan yang sama, iaitu cara berfikir dan dawafi’ (dorongan) yang dibina berdasarkan pemikiran ideologi (al-fikr al-mabda’i). Apabila pemikiran ideologinya sama, corak keperibadiannya pasti sama, sehingga menjadi keperibadian yang unik (mutamayyiz). Sebaliknya, jika pemikiran ideologinya lebih daripada satu, corak keperibadiannya menjadi berwarna-warni (mutallawwin), alias huru-hara (ghayr mutamayyiz).
Inilah yang menjadi ketentuan Allah, ketika Allah menentukan perubahan pada suatu kaum dibina berdasarkan perubahan “ma bi anfusihim” atau mafhum mereka. Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sehingga kaum itu sendirilah yang mengubah apa yang ada dalam fikiran mereka.” [TMQ Ar-Ra’d(13):11]
Lafaz “anfus” yang merupakan jamak dari lafaz nafs, dalam bahasa Arab adalah lafaz musytarak atau lafaz yang mempunyai banyak makna. Makna lafaz ini antara lainnya adalah nyawa (ruh), mata jahat (‘ayn lâmmah), tubuh (jasad), orang (syakhsh), darah (dam), zat (‘ayn as-syay’), keinginan (irâdah), kebesaran (‘udhmah), kemuliaan (‘izz), hukuman (‘uqûbah), dan pandangan (ra’y).
Oleh itu, lafaz “ma bi anfusihim” dalam konteks ayat tersebut lebih tepat jika diertikan sebagai “sesuatu yang ada di dalam fikiran mereka” atau “pemahaman mereka”. Inilah sunatullah yang telah ditetapkan oleh Allah pada diri manusia, bahawa perubahan mestilah sentiasa bermula daripada berubahnya pandangan mereka mengenai setiap perkara.
Dari sini, perubahan manusia secara peribadi yang berkaitan dengan keperibadiannya, sebenarnya adalah hasil usahanya sendiri. Caranya ialah dengan membentuk mafhum yang dibina berdasarkan kaedah Islam. Mafhum ini akan membentuk aqliyah dan nafsiyahnya. Masalahnya adalah apa sebenarnya mafhum itu? Bagaimana ia terbentuk?
Mafhum adalah makna pemikiran. Bukan makna kata (lafaz). Kerana semua kata (lafaz) mempunyai makna, tetapi tidak semua makna kata (lafaz) dapat membentuk pemikiran dan mafhum seseorang. Misalnya bait-bait syair berikut,
Mereka berkata, “Adakah orang itu mampu menusuk lembing kepada dua orang tentera sekaligus pada hari peperangan kemudian tidak menganggapnya dahsyat?”
Saya menjawab, “Andaikan panjang lembingnya satu batu, tentu ia akan dapat menembusi tentera yang berbaris sepanjang satu batu.”
Semua ungkapan penyair dalam bait-bait syair tersebut mempunyai makna, tetapi ungkapan yang bermakna tersebut tidak mampu membentuk sebarang pemikiran atau pemahaman. Ungkapan “Andaikan panjang lembingnya satu batu,” misalnya, tidak boleh membentuk pemikiran atau pemahaman kerana realiti “panjang lembing satu batu” itu tidak pernah ada. Begitu juga dengan ungkapan “menembus tentera yang berbaris sepanjang satu batu” yang ditembusi dengan satu lembing adalah ungkapan yang bermakna, tetapi realitinya tidak pernah wujud.
Oleh itu, walaupun ungkapan tersebut mempunyai makna tetapi tetap tidak boleh membentuk sebarang pemikiran atau pemahaman. Kerana makna setiap lafaz tersebut realitinya tidak dapat dibuktikan. Inilah yang dimaksudkan dengan mafhum sebagai makna pemikiran, bukan makna kata (lafaz).
Ini bererti bahawa ketika kata yang mempunyai makna sahaja tidak dapat membentuk mafhum, lalu bagaimana mungkin kata (lafaz) yang tidak mempunyai makna? Tentu mustahil. Inilah batasan, “Bukan makna kata (lafaz)” yang dimaksud oleh definisi mafhum di atas.
Adapun yang dimaksud dengan “makna pemikiran” adalah gambaran realiti yang ada dalam pemikiran dalam bentuk realiti yang dapat digambarkan oleh seseorang. Kerana ada pemikiran yang tidak mempunyai makna atau realitinya tidak dapat digambarkan.
Misalnya, “Tuhan adalah zat yang tiga dalam satu,” adalah pemikiran, tetapi pemikiran tersebut tidak mempunyai makna. Kerana realiti tiga zat dalam satu (Bapa, Roh Kudus dan Anak) tidak boleh digambarkan oleh sesiapa pun seperti apa rupanya, apatah lagi membuktikan hakikatnya.
Kerana zat Bapa, Roh Kudus dan Anak adalah tiga zat yang berbeza. Jadi, bagaimana caranya tiga zat yang berbeza-beza boleh menjadi satu? Inilah realiti yang sukar digambarkan.
Oleh itu, pemikiran “Tuhan adalah zat tiga dalam satu” tersebut tidak dapat membentuk sebarang mafhum. Kerana realitinya memang tidak wujud. Oleh sebab itu, pemikiran seperti ini tidak boleh disebut sebagai akidah rasional (akidah aqliyah).
Oleh kerana mafhum hakikatnya merupakan “makna pemikiran”, maka cara membentuk mafhum adalah dengan membina pemikiran dengan menunjukkan realitinya secara serentak, sehingga pemikiran dan realiti dapat dibuktikan oleh orang yang menerimanya. Hal ini jelas terlihat dalam firman Allah SWT,
“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).” [TMQ Yunus (10) : 24]
Cara Allah membina mafhum melalui ayat ini adalah dengan menghadirkan “makna pemikiran” mengenai Allah sebagai Pencipta kehidupan. Kerana Zat dan bagaimana cara Allah menciptakannya tidak dapat diindera oleh manusia, banyak orang kemudian menolaknya.
Allah sengaja menghadirkan realiti lain yang sama, tetapi dapat diindera supaya realiti Allah sebagai “Pencipta kehidupan” yang tidak dapat diindera dapat difahami oleh manusia. Realiti lain yang sama dengan realiti tersebut adalah realiti “air (hujan) yang Kami turunkan dari langit” di mana realiti “air (hujan) yang Kami turunkan dari langit” adalah realiti yang dapat ditangkap oleh indera manusia di samping kebenarannya memang dapat diyakini. Cara Allah menghadirkan realiti lain untuk menjelaskan realiti yang Dia maksudkan adalah dengan menyampaikan pemikiran disertai dengan gambaran (perumpamaan) dalam bentuk realiti yang lain supaya pemikiran tersebut dapat membentuk mafhum.
Ketika Allah menyampaikan pemikiran tentang “Allah adalah Pencipta kehidupan” dengan menghadirkan realitinya yang diibaratkan dengan, “Allah Maha Pencipta air (hujan) yang Dia turunkan dari langit,” maka di akhir ayat tersebut Allah menyatakan, “Demikian Kami menerangkan kepada orang-orang yang berfikir.” Orang yang mahu memikirkan semuanya dengan cara menghubungkan antara realiti pemikiran mengenai “penciptaan kehidupan” dengan realiti “penciptaan hujan” pasti meyakini akan kewujudan Pencipta yang mewujudkan semuanya tadi dari tidak ada menjadi ada.
Akal adalah fitrah yang diberikan oleh Allah kepada manusia tanpa membezakan Ahmad, Muhammad, ataupun Zaid. Semua manusia mempunyai fitrah yang sama tetapi ada yang sempurna dan ada yang tidak.
Dalam hal ini, kita tidak perlu membincangkan akal manusia yang tidak sempurna. Kerana mereka adalah orang yang dikecualikan oleh Allah SWT dalam menerima taklif syarie . Apa yang perlu kita kaji ialah akal yang sempurna yang boleh dimanfaatkan oleh orang tersebut.
Cuma perlu difahami, walaupun akal itu merupakan fitrah manusia, yang nyata tidak semua orang boleh memeluk akidah Islam. Kerana masalah yang terakhir ini merupakan usaha manusia, sementara yang pertama adalah fitrah manusia tanpa perlu usaha. Sedangkan untuk menjadi orang Islam dan kafir perlu melalui usaha.
Demikian juga pembentukan kaedah berfikir yang mengawal akal manusia dengan kaedah Islam (akidah Islam) perlu melalui usaha.
Naluri dan keperluan jasmani yang mendorong manusia untuk melakukan aktiviti tertentu juga merupakan fitrah manusia yang tidak perlu diusahakan oleh manusia. Tetapi menjadikan kaedah Islam (akidah Islam dan hukum syarak) sebagai landasan untuk memenuhi dorongan naluri dan keperluan jasmani tersebut sehingga terbentuk muyul Islam adalah hasil usaha manusia dan bukan merupakan fitrah. Oleh itu, keadaan tersebut memerlukan usaha manusia agar mereka mempunyai kecenderungan kepada perkara yang halal dan enggan melakukan perkara yang diharamkan.
Dengan demikian, jelas bahawa kemampuan berfikir dan dorongan (dawâfi’) manusia merupakan fitrah, tetapi menjadikan akidah Islam sebagai landasan berfikir dan muyul bukanlah fitrah tetapi usaha manusia.
Oleh itu, siapa saja yang ingin membentuk dirinya sendiri mahupun membentuk orang lain agar memiliki keperibadian Islam, sudah sewajarnya dimulai dengan mewujudkan landasan Islam tersebut. Caranya ialah dengan menanamkan akidah Islam secara rasional bukan dengan cara lain sehingga akidahnya menjadi akidah aqliyah. Dengan menanamkan keyakinan rasional bahawa Allah SWT Maha Ada, Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan mengimani seluruh akidah yang dibawa oleh al-Quran, seperti adanya Malaikat, Kitab lain selain al-Quran, Hari Kiamat dan lain-lain. [MNews/Rgl]
Sumber: Hafidz Abdurrahman. Islam Politik & Spiritual.

