Syi’bi atau Syi’ib Abi Thalib/شعب أبي طالب adalah salah sebuah tempat yang menjadi saksi beratnya perjalanan dakwah Rasulullah SAW juga saksi besarnya pengorbanan yang dialami oleh para pengikut Baginda serta para penyokongnya.
Tempat ini merupakan sebuah lembah yang terletak di antara dua gunung iaitu gunung Abu Qubaisy dan Khadamah di Mekah. Berbentuk seperti pelataran sempit yang dikelilingi oleh dinding batu yang terjal lagi tinggi dan tidak boleh dipanjat. Orang hanya boleh masuk dan keluar dari sebelah barat melalui celahan yang sempit setinggi kurang dari dua meter. Dan celahan itu hanya boleh dilalui oleh unta, itupun masih sukar.
Posisinya terletak di sebelah timur Ka’bah, berdekatan dengan Mas’a (tempat sa’i), lebih dekat dengan bukit Safa. Dahulunya merupakan wilayah yang dimiliki oleh Abdul Muthalib, datuk Rasulullah SAW. Kemudian dikuasai oleh Abu Thalib yang juga pemimpin Bani Hasyim.
Di sinilah Nabi SAW dan para pembesar Bani Hasyim lahir sehingga syi’ib ini dikenali sebagai Syi’ib Bani Hasyim atau Syi’ib Mawlid. Di kawasan ini juga terdapat rumah Khadijah, yang juga merupakan rumah Rasulullah SAW dan tempat kelahiran putera-puteri Baginda.
Boikot, Strategi Baru Menghadang Islam
Pada tahun ke-7 kenabian, dakwah Rasulullah SAW mengalami situasi yang amat sulit. Ketika itu, para Darun Nadwah (penguasa) Quraisy menjatuhkan satu keputusan politik yang kejam ke atas kelompok dakwah Rasulullah dan para pengikutnya iaitu dengan pemboikotan.
Sebagaimana yang diketahui, pengislaman Hamzah dan Umar al-Khattab sebelum terjadinya pemboikotan telah membawa satu semangat baru bagi pergerakan kelompok dakwah Rasulullah SAW.
Para sahabat semakin mantap dan semakin ramai yang memeluk Islam. Mereka juga kian gencar dan mendakwahkan Islam tanpa ada rasa takut. Perkara ini tergambar berdasarkan kata-kata Ibnu Mas’ud ra. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari,
مازلنا أعزة منذ أسلم عمر
“Sejak Umar bin Khathab masuk Islam, kami senantiasa memiliki ‘izzah (rasa bangga).”
Tidak hairanlah jika di masa ini, benturan pemikiran dan perjuangan politik antara Islam dan kekufuran terasa semakin keras dan terjadi secara lebih terbuka. Seiring dengan turunnya ayat-ayat Allah yang juga semakin keras menyerang kebodohan orang-orang kafir dan busuknya akidah mereka.
Tetapi, situasi ini justeru memberikan kesempatan kepada penduduk Mekah untuk berfikir dengan lebih mendalam tentang hakikat akidah dan sistem hidup rosak yang mereka sedang jalani. Mereka yang berfikiran mustanir mulai mampu melihat cahaya kebenaran dan memeluk Islam. Dengan itu, semakin bertambahlah pengikut dakwah Rasulullah SAW.
Situasi inilah yang membuatkan para pembesar Quraisy kegusaran. Semua ikhtiar untuk membendung ideologi Islam ibu ternyata sama sekali tidak berguna untuk mengukuhkan kekuasaan mereka. Contohnya, mereka telah meletakkan stigma khas, menangkap bahkan menakutkan para pengikut Rasulullah dengan melakukan seksaan fizikal yang menyebabkan sebahagian sahabat terpaksa berhijrah ke negeri Habsyah.
Hikmahnya, semua itu membuatkan Islam semakin tersebar ke luar kota Mekah. Bahkan, mengundang simpati Najasi Raja Habasyah untuk melindungi mereka dan mengusir dua utusan Quraisy yang sedang berusaha untuk memujuk sang Raja agar memulaukan mereka yang berhijrah ke sana demi meminta perlindungan.
Pada saat itulah kaum kafir Quraisy bersepakat membuat keputusan politik berupa pemboikotan penuh. Tidak hanya untuk pengikut Rasulullah SAW sahaja, tetapi juga seluruh Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib yang menyokong dakwah Nabi, kecuali Abu Lahan yang membelot kepada kaum kafir Quraisy.
Menggantung Shahifah di Dinding Ka’bah
Untuk meneguhkan pengesahan keputusan itu, dibuatlah sebuah deklarasi perjanjian (shahifah) oleh Manshur bin Ikrimah bin Amir bin Hasyim. Riwayat lain menyebutkan, penulisnya adalah Baghid bin Amir. Kemudian shahifah itupun digantung di dinding Ka’bah agar boleh dibaca oleh siapa pun yang datang ke kota Mekah dan menjadi peringatan agar semua pihak mentaatinya.
Di dalam kitab Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam 1 halaman 2004 karya Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam Al Muafiri ada disebutkan bahawa isi shahifah itu adalah:
Mereka dilarang untuk berkahwin dengan wanita-wanita dari Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib.
Mereka dilarang mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan orang-orang Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib.
Mereka dilarang menjual sesuatu apa pun kepada Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib.
Mereka dilarang membeli sesuatu apa pun dari Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib.
Pemboikotan atau pengasingan yang dilakukan oleh kaum kafir Mekah ini boleh dikatakan sebagai situasi paling memilukan dalam sejarah penyebaran Islam generasi awal. Mereka berharap agar usaha ini boleh menyebabkan Bani Hasyim dan Bani Muthalib melepaskan perlindungan mereka kepada kaum Muslim.
Bahkan, mereka juga berharap usaha ini dapat membuatkan kaum muslim meninggalkan keislaman mereka sehingga Muhammad SAW akan ditinggalkan bersendirian dengan harapan baginda akan meninggalkan dakwahnya atau dakwahnya tidak lagi membahayakan mereka.
Situasi berat ini diceritakan oleh Ibn Hisyam dalam sirahnya, “Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib menjalani pemboikotan orang-orang Quraisy selama dua atau tiga tahun sehingga mereka mengalami kesengsaraan yang luar biasa kerana tidak ada makanan atau minuman yang sampai kepada mereka kecuali secara diam-diam dan mana-mana orang Quraisy tidak boleh berhubungan dengan mereka kecuali secara rahsia.”
Digambarkan, beberapa orang terpaksa makan daun dan kulit pohon. Mulut mereka sampai terluka dan anak-anak mereka merintih kelaparan. Beberapa sahabat bertahan dengan serbuk kulit binatang yang sudang sangat kering yang direndam dengan air kemudian ditumbuk.
Kebencian dan keseriusan orang kafir dalam melaksanakan pemboikotan ini tampak jelas dari apa yang dilakukan oleh Abu Lahab untuk mencegah mereka yang menjadi target pemboikotan untuk mendapat akses terhadap pasukan logistik dari luar.
Ketika datang rombongan kafilah dagang ke kota Mekah, dia akan berseru kepada pada pedagang, “Wahai para pedagang! Naikkan hargamu kepada sahabat-sahabat Muhammad agar mereka tidak dapat membeli apa pun! Kalian semua sudah mengetahui kekayaanku dan kalian sudah tahu bahawa aku akan menepati janjiku. Dan aku akan mengganti kalian semua sehingga tidak akan ada kerugian atas kalian.”
Akhirnya para pedagang itu pun menaikkan harganya berlipat-ganda sehingga para sahabat tidak dapat membeli barang-barang yang diperlukan, dan pulang ke rumah mereka dengan tangan kosong disambut oleh tangisan anak-anak mereka yang kelaparan.
Hikmah Besar di Balik Ujian Besar
Namun, apa yang dialami oleh Rasulullah dan kaum muslim ternyata tidak sedikitpun menyurutkan langkah dakwah. Peristiwa ini justeru semakin mengukuhkan hubungan mereka dengan tali agama Allah.
Bahkan, berbagai hikmah dakwah justeru terjadi di era ini. Antaranya adalah, tersebarnya pergerakan dakwah Islam dan usaha pemboikotan penguasa Quraisy ke berbagai kabilah di luar kota Mekah sehingga nama Rasulullah dan Islam semakin tersebar luas dan menjadi perbincangan para musafir.
Ini adalah kerana, walaupun kaum muslim dalam keadaan yang sukar bahkan ditimpa kelaparan luar biasa, dakwah Baginda tidak pernah surut. Baginda juga memanfaatkan situasi atau ‘urf yang diyakini penduduk Mekah berupa penghargaan mereka terhadap bulan-bulan haram yang tidak boleh ada aksi kekerasan sehingga di bulan-bulan haram itulah Baginda memaksimumkan dakwah dengan cara mendatangi Ka’bah dan mengajak orang-orang untuk menerima dakwah Islam.
Inilah yang akhirnya menimbulkan simpati bangsa Arab baik di dalam kota mahupun di luar kota Mekah sehingga pemikiran mereka semakin terbelah, antara yang sepakat dengan perjanjian dan yang tidak sepakat.
Di antara mereka ada yang membantu secara diam-diam. Hakim bin Hisyam contohnya, kerap membawa gandum untuk diberikan kepada ibu saudaranya, Khadijah ra. Tetapi, ada waktu dia dihalang oleh Abu Jahal dan dipujuk agar dia tidak melakukan apa yang sedang diusahakannya. Untung saja, ada Abu al-Bukhturiy yang membantu dan membiarkan dia lepas untuk membawa gandum tersebut kepada ibu saudaranya.
Begitu juga yang dilakukan oleh Hisyam bin Amr, salah seorang yang dimuliakan oleh kaumnya. Pada makan hari, Hisyam akan membawa unta yang dipenuhi makanan dan pakaian ke lembah tempat Rasulullah SAW dan pengikutnya berkumpul. Talinya kemudian dilepaskan agar unta tersebut dapat masuk ke tempat Bani Hasyim dan Bani Muthalib.
Bahkan, setelah tiga tahun berlalu, Hisyam inilah yang mencadangkan pembatalan perjanjian dengan cara mengumpulkan sokongan dari empat rakannya yang bernama Zubair bin Abu Umayyah, Al Muth’im bin Adi, Al Bakhtari bin Hisyam, Zama’ah bin Al-Aswas bin Muthalib.
Selepas rundingan yang sengit, kelima-lima orang ini pergi ke Ka’bah dengan tujuan untuk mengoyakkan surat perjanjian (shahifah) itu. Tetapi, usaha mereka sempat mendapat penentangan yang keras dari Abu Lahab. Kemudian, saat mereka betul-betul ingin mengoyakkannya, nota perjanjian itu telah habis dimakan anai-anai kecuali tulisan “Bismika Allahumma”. Dengan demikian, secara automatik berakhirlah fasa pemboikotan itu.
Tetapi, ia tidak bermakna tentangan terhadap dakwah semakin berkurang kerana setelah itu, kelompok dakwah Rasulullah SAW mengalami ujian yang lebih berat dengan perginya pelindung dakwah Baginda, ibunda Khadijah dan bapa saudara Rasulullah, Abu Thalib. Inilah tahun kesedihan bagi Nabi SAW dan para pengikutnya yang dikenali sebagai Aamul Huzni di dalam sirah.
Setelah itu, sekurang-kurangnya diperlukan waktu tiga tahun lagi perjuangan berat Rasulullah SAW dan para Sahabat untuk sampai pada kemenangan.
Hari ini, kawasan Syi’ib Abi Thalib hanya kelihatan seperti pelataran Masjidil Haram dengan beberapa buah bangunan. Salah satunya, tapak bangunan yang menjadi ciri-ciri tempat kelahiran sekaligus rumah Baginda Nabi SAW yang merupakan bangunan dua tingkat telah dijadikan sebagai maktab atau perpustakaan. Allahumma Solli ‘Alaa Muhammad.
(Disarikan dari berbagai sumber)

