Dakwah adalah kewajiban yang dibebankan kepada setiap individu muslim. Berkaca pada kisah para sahabat dan shahabiyah Rasulullah SAW, perjuangan dakwah mereka patut dijadikan inspirasi dakwah hari ini. Antaranya Ummu Syuraik RA, potret pejuang yang tidak kenal erti takut dan lelah dalam mendakwahkan Islam.
Beliau memikul amanah dakwah dengan sepenuh hati dan keluar dari rutin kehidupannya untuk menyebarkan dakwah, mengajak manusia menyembah Allah SWT. Berkat kegigihannya, Allah membukakan hati setiap manusia menerima Islam melalui lisan dan kesungguhannya.
Nama asal beliau ialah Ghazyah binti Jabir bin Hakim ad-Dausiyyah. Beliau berasal dari kaum Quraisy, dari bani Amir bin Lu’ai, berasal dari kabilah Ghathafan, yang saat itu menjadi salah satu kabilah paling disegani oleh bangsa Arab.
Hati Ummu Syuraik RA tersentuh dengan Islam ketika tinggal di Mekah. Sejak itu, beliau mengabdikan seluruh hidupnya untuk Islam. Walaupun hambatan dakwah datang dari kaum Quraisy, beliau tidak pernah berasa bosan dan penat dalam menyampaikan Islam. Secara diam-diam, beliau berdakwah kepada kaum wanita Quraisy. Dakwahnya membuahkan hasil. Ramai wanita Quraisy yang tertarik dengan dakwahnya lalu memeluk Islam.
Ibnu Abbas RA menuturkan, “Hati Ummu Syuraik tersentuh dengan Islam sejak masih tinggal di Mekah maka ia pun memeluknya. Setelah itu, beliau mula bertemu dengan wanita-wanita Quraisy secara diam-diam untuk mengajak mereka memeluk Islam. Namun, aktivitinya dapat dihidu oleh para pemimpin Mekah sehingga mereka menangkapnya dan berkata, ‘Seandainya kami tidak mempertimbangkan kaum kerabatmu maka kami tidak akan teragak-agak memalukanmu. Kami akan mengembalikanmu kepada mereka.’”
Ummu Syuraik menceritakan pengalamannya menghadapi ujian dakwah tersebut. “Mereka menaikkanku ke atas unta yang tidak dilengkapi dengan pelana atau lainnya. Lalu membawaku selama tiga hari tiga malam tanpa mbekasiku makan atau minum. Jika mereka berehat, mereka membiarkanku kepanasan. Mereka juga tidak mbekasiku makan atau minum. Pada suatu masa, ketika mereka berehat, tiba-tiba aku merasakan sesuatu yang sejuk menitis di tubuhku, dan menitis lagi, setelah kuraba ternyata itu adalah titisan air dari sebuah bekas. Maka, aku segera minum sedikit, lalu bekas tersebut terangkat dan kembali lagi, aku mengambilnya lagi dan minum sedikit. Lalu, bekas itu terangkat dan kembali lagi. Kejadian itu terus berulang beberapa kali, dan aku meminumnya sedikit demi sedikit sampai puas. Kemudian, aku membasuh seluruh tubuh dan pakaianku. Ketika orang-orang yang membawaku terbangun, mereka terkejut kerana melihat bekas tumpahan air ada di mana-mana dan mendapati diriku lebih segar dari sebelumnya. Mereka menudingku, ‘Engkau telah membuka ikatan, lalu mengambil bekas air kami dan meminumnya.’ Aku menjawab, ‘Demi Allah, aku tidak melakukannya. Melainkan yang terjadi adalah begini dan begini.’ Mereka berkata, ‘Jika pengakuanmu benar, maka agamamu lebih baik dari agama kami.’ Untuk membuktikan pengakuanku, mereka memeriksa bekas air itu, ternyata semuanya sama seperti sediakala. Maka pada ketika itu jugalah, orang-orang musyrik yang membawaku itu masuk Islam.’”
Begitulah cara Allah memuliakannya. Ummu Syuraik RA telah menunjukkan teladan yang sangat baik dalam menjalankan dakwah Islam. Keteguhannya dalam memegang keimanan dan keyakinan layak dicontohi. Tidak pernah sedikit pun beliau bersikap lemah untuk melepaskan akidahnya agar bolehmenyelamatkan dirinya dari kebinasaan dan kematian.
Hal itulah yang mesti menjadi keutamaan hidup bagi para pengemban dakwah. Kegigihan berjuang untuk Islam dan keteguhan memegang bara iman. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya jika Allah memberi petunjuk melalui kamu, maka itu lebih baik bagi kamu daripada mendapat unta merah.” (HR Muttafaq ‘alaih). Wallahualam.

