Suatu ketika, guru al-Faqir melantunkan bait syair Imam Syafie,
وَعَينُ الرِضا عَن كُلِّ عَيبٍ كَليلَةٌ وَلَكِنَّ عَينَ السُخطِ تُبدي المَساوِيا
Mata yang redha akan terpejam terhadap semua aib (cacat). Akan tetapi, mata yang dipenuhi kebencian, akan selalu mencari kesalahan.
Syair yang terkandung dalam Diwan As-Syafie ini meskipun sudah puluhan tahun beliau ucapkan, walaupun guru al-Faqir mahupun penyairnya telah tiada, tetapi untaian kalimah indah ini selalu mengingatkan al-Faqir ketika mengharungi kehidupan.
Perilaku seseorang sangat ditentukan oleh persepsinya. Ketika persepsinya tentang seseorang, sesuatu, atau perbuatan itu baik, maka dia akan menutup mata terhadap aib apa pun yang ada padanya. Sebaliknya, kalau persepsinya tentang seseorang, sesuatu, atau perbuatan itu buruk, maka dia akan terus mencari-cari kesalahannya. Kebaikan apa pun yang dimilikinya tidak akan membuatnya cinta.
Oleh kerana itu, Nabi mengingatkan, berhati-hatilah kalian terhadap prasangka. Kerana prasangka adalah bisikan yang paling dusta.
Namun, meskipun kita tidak boleh berprasangka buruk, tetapi Islam mengajarkan kita agar berhati-hati dan tetap menjaga diri agar tidak terperosok pada kesalahan. Termasuk salah pergaulan dan salah memilih teman, apatah lagi pasangan hidup.
Sampai Nabi menyatakan dengan tegas, “Orang Mukmin tidak akan dipatuk ular pada lubang yang sama dua kali.” Maksudnya, kita tidak boleh melakukan kesalahan yang sama, apatah lagi dengan teman yang sama.
Hanya saja, bagi orang yang sedang jatuh cinta, dia boleh saja hilang kesedaran sebab cintanya buta dan lahir daripada nafsu. Dia bahkan sanggup melakukan apa pun, termasuk maksiat. Yang demikian adalah nafsu, bukan cinta.
Cinta yang waras adalah cinta yang tulus dan ikhlas, bukan cinta buta yang bahkan tidak boleh membezakan haram dan halal, layak dan tidak layak. Al-Mawardi memberi nasihat, “Kendalikan nafsumu dengan kesedaranmu” itu kuncinya, supaya tidak terperosok dan menyesal.
Apatah lagi soal pilihan hidup. Urusannya dunia akhirat. Modal cantik, tampan, harta, dan kedudukan, tidaklah cukup, kerana semua itu hanya bayangan. Akan hilang.

