Site icon MuslimahHTM News

[Fikrul Islam] Fardhu Ain dan Amar Makruf bagi Setiap Muslim

Penulis: Ahmad Mahmud

Hukum-hukum syariat bagi seorang mukalaf telah menetapkan bahawa setiap muslim yang baik dan berakal diwajibkan untuk ber-tafaqquh fi ad-din (mendalami ilmu agama) dalam beberapa perkara yang diperlukan dalam kehidupan. Sebab, dia telah diperintahkan untuk melaksanakan segala perbuatannya berdasarkan perintah dan larangan Allah.

Untuk itu, tidak ada jalan lain kecuali dengan mempelajari hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan aktivitinya. Maka tafaqquh fi ad-din yang berkaitan dengan hukum-hukum yang diperlukan oleh seorang muslim dalam kehidupannya ialah fardhu ain, bukan fardhu kifayah, selain hal itu hukumnya ialah mustahab (sunat) baginya.

Jika seorang muslim hendak menunaikan solat misalnya, dia wajib mengetahui kaifiyah (tata cara) solat. Jika hartanya telah mencapai nisab (had minimum yang diwajibkan zakat) dan telah berlalu satu haul (satu tahun) sehingga dia diwajibkan untuk membayar zakat, maka wajib baginya memahami apa yang mesti dia tunaikan dan mengetahui jumlah harta yang dia miliki.

Jika hartanya berupa emas atau perak, dia wajib tahu bagaimana mengeluarkan zakatnya dan kepada siapa dia perlu membayarnya. Dalam hal ini, dia tidak perlu mengetahui hukum-hukum berkaitan zakat buah-buahan dan binatang ternakan. Jika dia juga mengetahuinya, ia akan menambah kebaikan dan pahala baginya.

Begitu juga, jika seorang muslim ingin memperjuangkan tertegaknya Daulah Islamiah, dia wajib mempelajari apa sahaja yang mesti dilakukan untuk tertegaknya Daulah Islamiah. Demikianlah seterusnya. Maksudnya, setiap fardhu itu sesungguhnya berkaitan dengan tanggungan dan ilmu tentangnya.

Atas dasar ini, seorang muslim, jika dia telah memenuhi semua perkara di atas, akan merasa tenang dengan keimanan yang dimilikinya dan keterikatannya dengan hukum-hukum syariat. Lebih dari itu, jika niatnya ikhlas hanya kerana Tuhannya semata-mata dan dia juga diberi petunjuk untuk melaksanakan amalan yang paling benar, nescaya dia akan mendapati bahawa Tuhan Yang Maha Pengasih akan menerima amalannya dan—dengan rahmat-Nya—menyelamatkannya pada hari perhitungan.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Islam telah menjelaskan semua perkara yang makruf mahupun perkara yang mungkar. Setiap muslim pastinya wajib melakukan semua perkara yang makruf dan meninggalkan semua perkara mungkar, yang berkaitan dengan tanggungjawabnya di hadapan Allah SWT.

Dalam hal ini, timbul persoalan: Adakah wajib bagi seorang muslim menyuruh orang lain melaksanakan semua perkara yang makruf yang memang diperintahkan atau hanya menyuruh sebahagian besar sahaja atau sebahagian kecil sahaja? Adakah dia juga wajib mencegah segala kemungkaran yang memang mesti dijauhi atau hanya mencegah sebahagian besar atau sebahagian kecil sahaja?

Sebelum membincangkan isu ini dengan lebih lanjut, fakta yang ingin direalisasikan oleh syariat perlu difahami terlebih dahulu. Seperti yang diketahui, syariat Islam menghendaki tertegaknya masyarakat Islam; masyarakat yang kefahamannya sedikit pun tidak terpesong daripada fahaman yang sesuai dengan syariat dan amalan-amalannya tidak bergeser sedikit pun daripada apa yang telah ditetapkan oleh syariat.

Setiap kemungkaran yang diingkari oleh syariat wajib dicegah dan dikenakan hukuman. Dengan kata lain, setiap perintah Allah SWT wajib direalisasikan, sama ada yang berkaitan dengan aqidah mahupun syariat, dan setiap kemungkaran yang telah atau akan terjadi wajib dijatuhkan hukuman dan dicegah.

Dalam hal ini, Allah telah memerintahkan agar tugas ini ditegakkan dan pada masa yang sama dijadikan tugas yang agung dan mulia serta boleh mendatangkan pahala yang besar bagi pelaksanaannya. Imam Al-Ghazali rahimahullah pernah berkata dalam bukunya, Ihya’ Ulum Ad-din, demikian,

“Amma ba’du, sesungguhnya amar makruf nahi mungkar adalah bahagian agama yang paling agung dan merupakan tugas yang untuknya Allah mengutus semua nabi. Jika amar makruf nahi mungkar ini “dipeti-aiskan”, sedangkan ilmu dan pengalamannya diremehkan, maka tidak akan ada kenabian; agama akan rosak; masa kekekosongan dari kenabian tidak dapat dielakkan; kesesatan akan segera tersebar luas; kebodohan akan menjadi perkara biasa; kerosakan akan berleluasa, kesalahan akan semakin meluas; negeri-negeri akan hancur musnah; dan manusia akan binasa.”

Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam

Exit mobile version