Site icon MuslimahHTM News

Tingkah laku Khalifah Bukan Sumber Hukum

Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman

Soalan:

Bagaimanakah cara membezakan antara sistem Khilafah dan tingkah laku individu peribadi dalam sistem Khilafah? Adakah tingkah laku individu Khalifah boleh dijadikan penanda aras untuk menilai sistem Khilafah? Di manakah kedudukan sejarah Khilafah dan Khalifah yang ditulis oleh para ulama? Bolehkah sejarah ini dijadikan rujukan untuk menghukum sistem Khilafah?

Jawapan:

Pertama: Al-‘Allamah Syiekh Taqiyuddin an-Nabhani dan al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Qadim Zallum dalam kitabnya, Nizhâm al-Hukmi fî al-Islâm, menjelaskan bahawa Khilafah adalah negara manusia (dawlah basyariyyah), bukan negara tuhan (dawlah ilahiyyah). Yang menjadi Khalifah adalah manusia biasa, bukan manusia yang ma’shûm (terjaga dari dosa), apatah lagi malaikat.1

Inilah konsep yang selama ini dianut oleh Ahlussunah Waljamaah. Berbeza dengan Syiah. Syiah menganggap Imam (Khalifah) wajib maksum. Padahal mendakwa Imam (Khalifah) adalah maksum sama dengan mendakwa Imam (Khalifah) adalah seperti nabi dan rasul. Ini kerana sifat maksum adalah akibat dari nubuwwah dan risâlah, yang melekat pada nabi dan rasul. Oleh itu, konsep ini jelas batil, malah bercanggah dengan akidah.

Kedua: Akibat dari fakta bahawa seorang Khalifah dan negaranya, Khilafah, adalah manusia biasa, bukan manusia yang maksum, maka Khalifah, sebagai individu, boleh salah.2

Oleh kerana itu, dalam sistem Khilafah terdapat mekanisme kawalan (muhasabah) dan check and balance, sama ada yang dilakukan dari dalam mahupun luar kekuasaan.

Ada Majlis Umat, yang menjalankan fungsi muhasabah. Ada Mahkamah Mazalim yang berfungsi untuk menghapuskan kezaliman individu penguasa, bermula dari Khalifah hinggalah pegawai negara yang paling bawah.

Malah, ketika Majlis Umat dan Mahkamah Mazhalim tidak menjalankan fungsinya, Khilafah membuka ruang kepada parti politik hingga ulama dan umat untuk menjalankan fungsi muhasabah, check and balance, hatta munâbazah bi as-sayf (mengangkat senjata) untuk menghapuskan kezaliman yang ada.

Kesemuanya ini merupakan jaminan untuk memastikan tertegaknya sistem Islam secara benar, murni, dan konsisten di tengah-tengah masyarakat, serta tertegaknya keadilan dan hilangnya kezaliman.

Ini tentunya berbeza dengan sistem monarki mutlak yang menyatakan bahawa, “The King can’t do no wrong (Raja tidak mungkin melakukan kesalahan). Raja mesti betul.”

Ketiga: Oleh itu, untuk menilai sistem Khilafah tidak boleh merujuk kepada sejarah, tetapi mesti dilihat dari produk hukum yang diterapkan pada era Khilafah. Oleh itu, untuk menilai sistem ini, ia dapat dilihat daripada kitab-kitab fiqh karangan para ulama ketika itu. Ini merupakan  satu-satunya dokumen politik yang sahih untuk menjelaskan sistem Khilafah. Memang dalam kajian fiqh terdapat banyak perbezaan, tetapi kesemuanya mencerminkan kekayaan khazanah intelektual zaman itu.

Sebagai contoh, menilai Khilafah Abbasiyah tidak boleh dilihat dari pelbagai catatan sejarah pada zamannya. Lebih-lebih lagi dengan membaca sejarah berlakunya pelbagai fitnah dan malapetaka di zamannya. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Imam As-Suyuthi, dalam Târîkh al-Khulafâ’, bermula daripada fitnah 100 tahun kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan.3

Menilai sistem Khilafah mesti dilihat dari kitab fiqh pada zaman itu, misalnya, Al-Ahkâm as-Suthâniyyah, sama ada karya al-Mawardi (w. 450 H) mahupun al-Farra’ (w. 458 H); atau kitab Ar-Raudhah mahupun Al-Majmû’, karya Imam an-Nawawi (w. 676 H).

Begitu juga, menilai Khilafah Uthmaniyyah mesti merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang ditulis pada zamannya, seperti Multaqa al-Abhur, karya Imam Ibrahim bin Muhammad bin Ibrahim al-Halabi (w. 956 H), dan Syarh-nya, Majma’ al-Anhur, karya Al-Faqih ‘Abdurrahman bin Muhammad bin Sulaiman al-Kalibuli, yang dikenali dengan nama Syeikh Zadah, atau Damad Afandi (w. 1078 H). Bukan merujuk kepada kitab sejarah. Apatah lagi sejarah yang ditulis oleh Orientalis kafir.

Sebagai contoh, Khilafah merupakan Negara Islam yang berbentuk negara kesatuan, bukan persekutuan, bukan commonwealth, bukan monarki, bukan teokrasi, bukan demokrasi, bukan autokrasi, bukan autoritarian dan diktator. Khilafah ialah Negara Islam kerana akidah Islam merupakan asasnya. Semua hukum yang diterapkan sepanjang sejarah Islam juga merupakan  hukum Islam. Bukan hukum yang lain.

Bentuk Negara Islam ialah negara kesatuan adalah menjadi pendapat jumhur ulama. Dalam kitab ar-Raudhah, Imam an-Nawawi berkata:

اَلْمَسْأَلَة الثَّانِيَة : لاَ يَجُوْزُ نَصْبُ إِمَامَيْنِ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ وَإِنْ تَبَاعَدَ إِقْلِيْمَاهُمَا، وَقَالَ الأُسْتَاذُ أَبُوْ اِسْحَقْ : يَجُوْزُ نَصْبُ إِمَامَيْنِ فِي إِقْلِيْمَيْنِ، لِأَنَّهُ قَدْ يُحْتَاجُ إِلَيْهِ، وَهَذَا إِخْتِيَارُ الْإِمَامُ، وَالصَّحِيْحُ الَّذِيْ عَلَيْهِ الْجْمْهُوْرُ هُوَ الأَوَّلُ . فَإِنْ عُقِدَتْ اَلْبَيْعَةُ لِرَجُلَيْنِ مَعًا فَالْبَيْعَتَانِ بَاطِلَتَانِ

Masalah kedua: Tidak boleh melantik dua orang Imam (Khalifah) serentak walaupun dua wilayah itu berjauhan. Ustaz Abu Ishaq menyatakan,4 boleh melantik dua orang Imam (Khalifah) dalam dua wilayah kerana mungkin ia memang diperlukan. Inilah pilihan Imam (al-Haramain Abu al-Ma’ali al-Juwaini).5 Yang benar adalah apa yang disepakati oleh Jumhur, iaitu pendapat yang pertama. Jika baiat diberikan kepada dua orang dalam satu masa, maka kedua-dua baiat itu batal.”6

Akibat dari tidak boleh ada dua orang Imam (Khalifah) dalam wilayah Khilafah, walaupun mereka berjauhan, adalah kesatuan Khilafah. Wilayahnya adalah satu. Hukum yang diterapkan juga satu, iaitu hukum Islam. Sesiapa yang melakukan kesalahan boleh dihukum di mana-mana wilayah dengan hukum Islam, yang mengikat di seluruh wilayah.

Begitu juga dengan sistem pemerintahannya. Sistem pemerintahan Khilafah berbeza dengan sistem monarki, parlimen, termasuk demokrasi, teokrasi, atau autokrasi, autoritarian dan sebagainya.

Sistem Khilafah adalah unik. Apa buktinya? Buktinya dapat dilihat pada kaedah pelantikannya, iaitu baiat. Secara praktiknya, pelaksanaan baiat ini memang boleh menggunakan pelbagai cara. Ada yang dilakukan secara musyawarah, seperti pembaiatan Abu Bakar as-Siddiq di Saqifah Bani Sa’idah. Ada yang menggunakan wasiat atau cadangan, yang kemudian dikenali sebagai Wilâyah al-‘Ahd (putera mahkota), yang baru diisytiharkan sah sebagai Khalifah selepas dibaiat. Ada yang menggunakan kekuatan tentera, seperti dalam kes pelantikan Mu’awiyah, yang kemudiannya diisytiharkan sah, selepas Sayyidina Hasan menyerahkan baiat kepada Muawiyah, dan umat Islam pun menerimanya.

Jadi, intinya ialah baiat. Oleh itu, baiat ini dinyatakan oleh Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani sebagai kaedah standard dalam melantik seorang Khalifah. Tanpa baiat, seseorang tidak boleh mendakwa atau didakwa sebagai Khalifah umat Islam. Sebab baiat dalam pelantikan Khalifah ialah akad sukarela, antara Khalifah dan umat Islam.7 Kedua-dua belah pihak tidak boleh dipaksa.

Ini sekaligus mentarjih tiga model pelantikan Khalifah yang dikemukakan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya, Ar-Raudah,8 dengan klasifikasi. Baiat sebagai tharîqah (kaedah standard), manakala istikhlâf dan al-qahr wa al-ghalabah sebagai uslûb (teknikal tidak standard).

Begitu juga dengan syarat Khalifah, sebagaimana yang dikemukakan oleh para fuqaha’. Dalam konteks ini, Al-‘Allamah Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani mengklasifikasikan syarat Khalifah kepada dua: syarat in’iqâd (sah dan tidak sah pelantikan) dan syarat afdhaliyyah (keutamaan, yang tidak mempengaruhi sah atau tidaknya).

Syarat in’iqâd ini termasuk: mestilah seorang muslim, lelaki, baligh, berakal, merdeka, adil (tidak fasik) dan mampu. Tujuh syarat inilah yang dinyatakan oleh dalil yang kuat dan tegas. Adapun yang lain, jika dalilnya sahih pun, hanya layak disebut syarat afdhaliyyah, contohnya, hendaklah mujtahid, Quraisy dan seorang yang berani.9

Ketentuan standard dalam kajian fuqaha ini boleh disebut sebagai sistem Khilafah yang berlaku. Adapun tingkah laku yang dilakukan oleh Khalifah, termasuk beberapa kes kesalahan dan penyelewengan dalam menerapkan sistem Khilafah, lebih tepat disebut isâ’ah fi tathbîq (kesalahan pelaksanaan). Disebabkan faktor ketidakmaksuman manusia, human error. Oleh sebab itu, kesalahan dalam melaksanakan baiat, seperti mewariskan kekuasaan kepada anak, kerabat atau keluarga, sejak zaman Bani Umayyah, Abbasiyah hingga Uthmaniyah, boleh dimasukkan dalam konteks isâ’ah fi tathbîq.

Begitu juga al-Qahru wa al-Ghalabah, yang dilakukan oleh Muawiyah kepada Sayidina Ali, mahupun Abbas as-Saffah kepada Dinasti Bani Umayyah, juga termasuk isâ’ah fi tathbîq ini. Bukan kerana kesilapan sistem, tetapi kesilapan manusia dalam melaksanakan sistem.

Begitu juga dengan kemunculan kesultanan atau dinasti di beberapa wilayah Khilafah pada era Abbasiyah, akibat lemahnya kepimpinan Khalifah, dan kesalahan dasar dalam pengelolaan harta dan ketenteraan, sehingga menyebabkan beberapa wilayah itu kelihatan seperti menjadi negara-negara merdeka, atau persekutuan. Ini juga boleh disebut isâ’ah fi tathbîq. Oleh itu, dalam catatan Imam as-Suyuthi, dalam Târîkh al-Khulafâ’, beberapa kesultanan dan wilayah tidak pernah diiktiraf sebagai Khalifah dan Khilafah.10

Keempat: Sejarah Khilafah dan Khalifah merupakan sebahagian daripada maklumat politik, yang pernah berlaku pada masa lalu. Terdapat bahagian dasar yang boleh digunakan sebagai rujukan dan garis panduan, tetapi ada yang tidak. Contohnya, dasar Khulafaurasyidin, dengan Khilafah Rasyidahnya. Ini merupakan maklumat politik yang sangat penting kerana terdapat ijmak sahabat yang merupakan sumber hukum. Selain itu, terdapat juga mazhab sahabat yang sebahagian fuqaha menjadikannya sebagai sumber hukum.

Sebagai contoh, apa yang ditulis oleh Abu Ubaid dalam kitabnya, Al-Amwâl, mahupun Abu Yusuf dalam kitabnya, Al-Kharâj. Kedua-duanya merupakan rujukan penting terutama berkaitan dasar tadbir urus ekonomi. Termasuk status tanah, baik kharâj mahupun ‘usyûr, serta lainnya. Kedua-dua kitab ini merupakan kitab fiqh, walaupun lebih kepada tadbir urus negara dalam bidang makroekonomi.

Sementara sejarah yang lain cukup untuk dijadikan sebagai maklumat biasa. Kedudukannya tidak boleh dijadikan rujukan hukum. Apatah lagi dalil yang digunakan untuk membuat dasar. Oleh itu, beberapa paparan sejarah yang berlaku pada masa lalu, sama ada yang ditulis oleh At-Thabari, Ibnu Kathir, Ibnu Khaldun, atau As-Suyuthi, seperti kes Walid bin Yazid bin ‘Abd al-Malik, apatah lagi yang berkaitan dengan kontroversinya, tidak penting. Ia juga tidak menggambarkan gambaran sistem Khilafah ketika itu.

Selain itu para sejarawan muslim yang disebutkan di atas, apabila memaparkan fakta-fakta itu, bukanlah bermaksud untuk menikam Khalifah atau Khilafah, apatah lagi sistem Islam yang diterapkan pada zaman itu. Sama sekali tidak ada maksud untuk itu, selain untuk memaparkan fakta. Itupun masih di tahap qîla wa qâla dan kontroversi. Dalam kes Walid, cukuplah apa yang ditulis oleh Ibnu Khaldun (w. 808 H):

وَلَقَدْ شَاءَتْ اَلْقَالَةُ فِيْهِ كَثِيْرًا، وَكَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ نَفَوْا ذَلِكَ عَنْهُ، وَقَالُوْا إِنَّهَا شَنَاعَاتُ الْأَعْدَاءِ ألصَّقُوْهَا بِهِ

“Banyak kata-kata buruk yang ditujukan kepadanya (al-Walid). Banyak juga orang yang menafikan semua itu terhadap dirinya. Mereka berkata, semuanya itu ialah rekaan musuh yang sengaja dilekatkan kepadanya.”11 

Di sinilah pentingnya integriti dan kejujuran termasuk kredibiliti keislaman seseorang. Orang liberal, yang disebut muslim, pelajar kafir orientalis tiada kredibiliti, kejujuran apatah lagi integriti. Oleh itu, mereka tidak layak dijadikan rujukan yang berautoriti dalam mengambil tsaqafah Islam. Sebabnya, mereka tidak mempunyai gambaran dan keyakinan kepada kebenaran Islam sebagaimana yang dipikul oleh nabi dan ulama pewaris nabi.

Cara yang mereka lakukan adalah sama seperti guru-guru mereka, menggunakan nas, termasuk kitab-kitab karya ulama umat Islam untuk menikam Islam yang diredhai oleh Allah dan Rasul, untuk membina Islam yang diredhai oleh negara kafir penjajah. Fitnah mereka inilah yang lebih ditakuti oleh Nabi SAW menimpa umatnya daripada fitnah Dajal. Wallahua’lam.

Sumber:https://tsaqofah.id/perilaku-khalifah-bukan-sumber-hukum/

Exit mobile version