Site icon MuslimahHTM News

Hukum Muslimah Menunaikan Ibadah Haji Tanpa Mahram

Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq Al Jawi

Soalan:

Ustaz, bolehkah seorang perempuan menunaikan ibadah haji atau umrah tanpa disertai mahram?

 Jawapan:

Tidak ada perbezaan pendapat di antara ulama bahawa jika hajinya bersifat sunnah, yakni berhaji untuk kedua kalinya dan seterusnya, tidak boleh hukumnya seorang perempuan pergi menunaikan ibadah haji tanpa mahram. (Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, XVII/35).

Adapun jika hajinya bersifat wajib, yakni baru pertama kalinya untuk menunaikan ibadah haji, terdapat khilafiyah di antara ulama menjadi 2 pendapat;

Pertama, tidak boleh berhaji tanpa mahram, kerana adanya mahram adalah syarat wajib bagi perempuan yang hendak berhaji. Ini pendapat ulama mazhab Hanafi dan Hambali.

Kedua, perempuan boleh berangkat haji walaupun tanpa mahram, kerana adanya mahram bukan syarat wajib. Maka pendapat ini membolehkan perempuan pergi menunaikan ibadahhaji bersama rombongan perempuan yang terpercaya (niswah tsiqaat, rifqah mamuunah). Ini pendapat ulama mazhab Syafie dan Maliki. (Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, XVII/35-36; Ali bin Nashir Al Syal’an, An Nawazil fi Al Hajj, hlm. 88-90; Abdurrahman Al Harfi, Al Jami’ fi Ahkam Al Hajj, hlm. 362).

Pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah pendapat yang tidak membolehkan, kerana telah terdapat nash hadis yang sharih (jelas) dalam masalah ini. Dari Ibnu ‘Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda,”Janganlah sekali-kali seorang lelaki ber-khalwat (bersendirian) dengan seorang perempuan, kecuali perempuan itu disertai mahramnya. Dan janganlah seorang perempuan melakukan perjalanan kecuali perempuan itu disertai mahramnya.” Lalu seorang lelaki berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteri saya hendak berangkat haji, sedangkan saya telah diwajibkan untuk mengikuti perang ini dan ini.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Pergilah dan berhajilah bersama isterimu!” (HR Bukhari no. 1763 & 4935; Muslim no. 424 & 1341).

Hadis ini dengan jelas (sharih) menunjukkan bahawa keberadaan mahram (atau suami) adalah syarat wajib bagi perempuan. Sebab jika bukan syarat wajib, tentu Nabi SAW tidak akan memerintahkan lelaki itu untuk menemani isterinya berhaji dan meninggalkan kewajipan berperang (TMQ Al-Baqarah [2] : 216).

Sedangkan kaedah fikih menetapkan : al waajibu laa yutraku illa li waajibin (suatu kewajipan tidak boleh ditinggalkan kecuali untuk melaksanakan kewajipan lain). Maka ketika Nabi SAW memerintahkan lelaki itu untuk meninggalkan kewajipan berperang, bererti hukum adanya mahram atau suami adalah wajib, bukan sunnah atau mubah. (Ali bin Nashir Al Syal’an, An Nawazil fi Al Hajj, hlm. 95; Jalaluddin As Suyuthi, Al Asybah wa Al Nazhair, hlm. 148).

Adapun pendapat yang membolehkan perempuan berhaji tanpa mahram, dalilnya antara lain adalah hadis dari Adi bin Hatim RA, bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepadanya,”Jika hidupmu panjang, maka sungguh kamu akan melihat seorang perempuan melakukan perjalanan dari Al Hiirah [wilayah Arab bekas kerajaan Persia] hingga dia dapat melakukan tawaf mengelilingi Kaabah dalam keadaan tidak takut kepada seorang pun.” (HR Bukhari no. 3400). Hadis ini menunjukkan bahawa boleh hukumnya seorang perempuan melakukan safar sendirian (tanpa mahram/suami) untuk melaksanakan haji yang sifatnya wajib. (Ibnu Hajar Al Asqalani, Fathul Bari, VI/549).

Namun pemahaman ini bertentangan dengan pemahaman dari hadis Ibnu Abbas RA di atas yang mengharamkan perempuan naik haji tanpa mahram/suami.

Maka pemahaman yang rajih (lebih kuat) adalah pendapat yang mengharamkan, sesuai kaedah tarjih dalam ushul fikih : al khabar al daal ‘ala at tahriim raajih ‘ala al khabar al daal ‘ala al ibaahah (hadis yang menunjukkan keharaman lebih kuat daripada hadis yang menunjukkan kebolehan). (Taqiyuddin An Nabhani, Al Syakhshiyyah Al Islamiyyah, III/492). Wallahu a’lam.

Exit mobile version