Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Hidup adalah rentetan masa yang mempunyai tarikh akhir masing-masing iaitu kematian. Ketika tarikh akhir yang diberikan telah berakhir, maka tidak satu pun yang boleh meminta ditangguhkan. Begitupun ketika tarikh akhir itu belum tiba, maka ia tidak boleh dipercepat, meski hanya sesaat. Itulah ajal manusia.
Allah Swt. berfirman,
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لاَ يَسْتَأْخِرُوْنَ سَاعَةً وَلاَ يَسْتَقْدِمُوْنَ
“Setiap umat mempunyai ajal (tarikh akhir). Ketika tiba ajal mereka, maka mereka tidak boleh meminta ditangguhkan meski hanya sesaat. Juga tidak boleh minta dipercepat.” [TMQ Al-A’raf (7): 34]
Sesungguhnya rentetan masa yang telah dilalui, meski hanya setahun, sebulan, seminggu, sehari, sejam, seminit atau bahkan sedetik, tidak akan boleh ditarik kembali. Jika semuanya itu telah pergi, maka umur kita bertambah, tetapi ajal kita semakin dekat.
Ajal kita sudah ditetapkan oleh Allah, maka ke mana pun kita berlari, meski bersembunyi di dalam benteng yang paling kukuh sekalipun, tetap saja kematian akan menghampiri kita. Allah Swt. berfirman:
أَيْنَمَا تَكُوْنُوْا يُدْرِكُكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِيْ بُرُوْجٍ مُشَيَّدَةٍ
“Di mana pun kamu berada, kematian pasti akan menemukanmu, sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” [TMQ An-Nisa’(4): 78]
Begitulah ajal manusia, pasti tiba. Pertanyaannya, bersediakah kita menghadapinya? Sudah cukupkah bekalan amalan demi menghadap kepad-Nya? Pernahkan kita menghitung waktu yang kita gunakan, lebih banyak untuk maksiat atau untuk taat? Berapa banyak waktu yang kita berikan untuk Allah, RasulNya, dan Agamanya? Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui semua itu dan malaikat tanpa lalai telah mencatatnya, sehingga kita tidak kuasa mengelaknya (Lihat Surah Maryam ayat 93-100).
Itulah mengapa Al-Junaid bin Muhammad, membaca tasbih sebanyak 30000 kali setiap harinya. Bahkan, ketika kematian menjemputnya, beliau sedang membaca Al-Quran. Anak lelakinya bertanya, “Mengapa Ayah membaca Al-Quran, padahal Ayah sedang sibuk menjemput kematian?” Beliau menjawab, “Apakah ada di dunia ini yang lebih memerlukan amal soleh berbanding ayah?”
Dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, Ibn Rajab menuturkan bahawa Khalid bin Ma’dan membaca tasbih sebanyak 100000 kali dalam sehari. Subhanallah, begitulah orang-orang soleh menjaga masanya.
Umar bin Al-Khaththab pun mengingatkan,
حَاسِبُوْا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوْا
“Hitunglah amal perbuatan kalian sebelum kalian diminta dipertanggungjawaban (oleh Allah).”
Oleh kerana itu, rentetan masa yang kita lalui lebih berharga berbanding emas, perak, kedudukan, atau apa pun yang kita miliki. Jika kita tidak boleh melaluinya sesuai dengan syariat Allah, meski kita telah bekerja keras, maka pada akhirnya kita akan menyesal. Allah memberikan gambaran itu pada amal perbuatan orang kafir,
عَامِلَةٌ نَاصِبَةٌ تَصْلَى نَارًا حَامِيَةً
“(Orang Kafir) telah bekerja keras lagi kepayahan, tetapi memasuki neraka yang sangat panas.” [TMQ Al-Ghashiyah (88): 3-4]
Hidup yang bahagia dan bermakna adalah ketika amal soleh kita diterima oleh Allah. Pun ketika ajal yang pasti itu tiba, semua yang kita lakukan boleh kita dipertanggungjawabkan di hadapanNya. Bahkan, kita pun dirinduiNya.
Seperti itulah yang dialami Sa’ad bin Mu’adz, sahabat Nabi yang mulia. Umurnya tidak panjang, hanya sekitar 30 tahun. Tidak kurang daripada enam tahun, beliau menghabiskan masanya untuk Islam, Allah, dan RasulNya. Ketika ajal menjemputnya, Allah berikan kemuliaan yang tiada tara. Kematiannya dirindukan olehNya hingga membuat singgahsanaNya bergegar.
Abu Hurairah juga demikian. Beliau ditakdirkan Allah hanya bersama Nabi saw. tidak kurang daripada tiga tahun. Namun, dalam waktu tiga tahun itu, beliau gunakan untuk Islam. Beliau berjaya mengumpulkan tidak kurang daripada empat karung hadis. Beliau gunakan malamnya untuk belajar dan menghafal Al-Quran. Sungguh berkat umur dan masanya. Meski tidak banyak dan tidak panjang, tetapi Allah berikan kebaikan yang berlimpah.
Jika kita sedar, Allah pun memberikan kesempatan emas kepada kita. Dengan solat berjemaah dan solat rawatib contohnya, dalam sehari kita boleh mendapatkan 152 darjat dibandingkan ketika solat sendiri yang hanya mendapatkan 17 darjat. Belum lagi, jika itu semua dilakukan di masjid, maka tiap langkah kaki kita akan menggugurkan dosa kita.
Dengan solat di Masjid Nabawi, kita boleh mendapatkan 1000 darjat. Maknanya, nilai kita sehari beribadah di sana, sama dengan 24 tahun. Lalu bagaimana kalau itu kita lakukan di Masjidil Haram? Maka, darjat yang kita peroleh sama dengan 2483 tahun. Subhanallah.
Ini baru ibadah solat. Bagaimana ketika isi hidup kita dengan dakwah? Ketika kita berdakwah dan seseorang mendapatkan hidayah Allah kerana kita, maka Allah mengganjari dengan kebaikan yang tidak terhingga. Lebih baik daripada terbitnya matahari dan bulan. Allahuakbar.
Begitulah Allah memberikan kesempatan kepada kita agar umur, waktu, dan hidup kita menjadi berkat dan penuh hikmah. Ketika ajal yang pasti itu tiba, kita pun menghadapNya dengan senyuman. Begitulah jiwa orang-orang Mukmin yang soleh dan solehah,
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ اِرْجِعِيْ إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً فَادْخُلِيْ فِيْ عِبَادِيْ وَادْخُلِيْ جَنَّتِيْ!
“Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah menghadap kepada RabbMu dengan penuh kerelaan dan mendapatkan redha (dariNya). Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” [TMQ Al-Fajr (89): 27-30]
Ya Allah, berkatilah umur dan masa kami. Ya Allah, terimalah amal kami. Jadikanlah kami sebagai hamba-hambaMu yang ketika ajal kami tiba, termasuk hamba-hambaMu yang menghadap kepadaMu dengan husnulkhatimah, dengan penuh kerelaan dan mendapatkan redhaMu. Amin, amin, amin ya Mujibassailin.

