Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Ustaz, apa hukumnya jika wang hasil korupsi, rasuah, duit projek, dan seumpamanya, digunakan untuk ibadah haji, adakah orang yang berhaji itu berdosa? Bagaimana hukum/status hajinya, sah atau tidak?
Jawapan:
Korupsi didefinisikan sebagai penggelapan atau penyelewengan wang negara atau perusahaan tempat seseorang bekerja untuk mengaut keuntungan peribadi atau orang lain. (Sudarsono, Kamus Hukum, hlm. 231). Definisi lain menyebutkan korupsi adalah penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh seorang pegawai demi keuntungan peribadi, keluarga, teman, atau kelompoknya. (Erika Revida, Korupsi di Indonesia: Masalah dan Solusinya, USU Digital Library, 2003, hlm. 1).
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pula mendefinisikan rasuah sebagai pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap) (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).
Tidak ada istilah khusus untuk korupsi dalam fikih Islam. Modus korupsi berupa penggelapan atau penyelewengan wang negara dapat dikategorikan perbuatan khianat, dan pelakunya disebut khaa`in. (Abdurrahman Al Maliki, Nizhamul Uqubat, hlm. 31). Modus lainnya, yakni suap menyuap, dikategorikan sebagai risywah, yakni pemberian harta kepada penguasa untuk mencapai suatu kepentingan tertentu yang semestinya tidak perlu ada pembayaran. Modus lainnya yang disebut habuan projek, termasuk kategori hadiah atau hibah yang tidak sah. Semua modus korupsi tersebut adalah harta yang hukumnya haram dalam Islam, kerana diperoleh melalui jalan yang menyalahi syariah (ghairu al masyru’). (Abdul Qadim Zallum, Al Amwal fi Daulah Al Khilafah, hlm. 117-119).
Adapun hukum haji yang menggunakan harta haram, seperti harta dari korupsi, rasuah dan sebagainya, dalam masa yang sama orang yang berhaji mengetahuinya, terdapat khilafiyah di kalangan ulama menjadi dua pendapat. (Abbas Ahmad Muhammad Al Baz, Ahkam Al Mal Al Haram, hlm. 291-294).
Pertama, hajinya sah dan menggugurkan kewajipan haji, namun orang yang berhaji berdosa dan tak mendapat pahala haji. Inilah pendapat jumhur ulama, iaitu pendapat ulama Hanafiyah dan Syafi’iyah, juga satu versi pendapat dalam mazhab Maliki dan Hambali. (Ibnu Abidin, Hasyiyah Radd Al Muhtar, 3/453; Al Qarafi, Al Furuq, 2/85; Al Wansyarisi, Al Mi’yar, 1/440; Al Hithab, Mawahib Al Jalil, 3/498; An Nawawi, Al Majmu’, 7/51; Ibnu Rajab, Al Qawa’id, hlm. 13).
Dalilnya, kerana sahnya haji bergantung pada rukun dan syarat haji, bukan pada halal haramnya harta yang digunakan. Imam Ibnu Abidin mengatakan berhaji dengan harta haram sama halnya dengan orang yang solat di tanah rampasan (maghshubah), yakni solatnya sah selama memenuhi rukun dan syaratnya, tapi dia berdosa dan tak mendapat pahala (bi-laa tsawab).” (Ibnu Abidin, Hasyiyah Radd Al Muhtar, 3/453).
Kedua, hajinya tak sah, berdosa, dan tak mengugurkan kewajipan haji. Inilah versi pendapat lainnya dalam mazhab Maliki dan Hanbali. Dalilnya antara lain sabda Rasulullah SAW (ertinya), “Sesungguhnya Allah adalah Zat Yang Maha Baik (thayyib) dan tidak menerima kecuali yang baik.” (HR Muslim, no 1015). (Al Wansyarisi, Al Mi’yar, 1/439; Al Hithab, Mawahib Al Jalil, 3/498; Ibnu Rajab, Al Qawa’id, hlm. 13).
Menurut kami, yang rajih (kuat) adalah pendapat jumhur, iaitu hajinya sah dan mengugurkan kewajipan haji, namun tetap berdosa dan tidak mendapat pahala haji. Sebab meski memanfaatkan harta haram itu dosa, namun keharaman harta tidak mempengaruhi keabsahan haji kerana kehalalan harta tidak termasuk syarat sah haji. Jadi hajinya sah selama memenuhi rukun dan syarat haji, walaupun harta yang digunakan haram. Imam Nawawi berkata, “Jika seseorang berhaji dengan harta yang haram, atau naik kenderaan rampasan, maka dia berdosa namun hajinya sah… dalil kami kerana haji adalah perbuatan-perbuatan yang khusus, sedang keharaman harta yang digunakan adalah hal lain di luar perbuatan-perbuatan haji itu.” (An Nawawi, Al Majmu’, 7/51).Adapun hadis riwayat Muslim di atas, yang dimaksud Allah “tidak menerima” bukanlah “tidak sah”, melainkan “tidak memberi pahala.”
Kesimpulannya, berhaji dengan wang hasil korupsi hukumnya sah dan menggugurkan kewajipan haji, selama memenuhi segala rukun dan syarat haji. Namun tetap menyebabkan dosa dan tidak ada pahalanya, termasuk pahala haji mabrur. Wallahu a’lam.

