Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman
Sambungan…
Membaca “Basmalah” Saat Menyembelih
Hukum Membaca “Basmalah”: Menyebut asma Allah SWT, dan tujuan menyembelih semata untuk Allah, hukumnya wajib. Kerana itu, sembelihan tidak boleh dimakan, jika ditujukan kepada yang lain, selain Allah SWT. Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:
﴿فَكُلُوْا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ، إِنْ كُنْتُمْ بِأَيَاتِهِ مُؤْمِنِيْنَ﴾
“Maka, makanlah apa yang ketika disembelih disebut nama Allah, jika kalian benar-benar mengimani ayat-ayat-Nya.” [TMQ al-An’am (6): 118]
Jika Lupa Membaca “Basmalah”: Jika saat menyembelih lupa membaca “Basmalah”, tetapi sembelihan tersebut memang disembelih kerana Allah, maka sembelihan tersebut tetap boleh dimakan, baik penyembelihnya Muslim, mahupun Ahli Kitab [Nasrani atau Yahudi].
Jika Penyembelihnya Diam: Jika saat menyembelih, penyembelihnya diam, maka hukum sembelihannya tetap halal dimakan, baik penyembelihnya Muslim, mahupun Ahli Kitab [Nasrani atau Yahudi]. Kerana, dzann[dugaan] terhadap kaum Muslim, bahawa dia tidak menyembelih, kecuali semata kerana Allah. Sementara Ahli Kitab, baginya membaca “Basmalah” tidak wajib dalam ajaran agamanya, kerana sembelihannya halal dimakan. Ahli Kitab [Nasrani atau Yahudi], biasanya memang tidak menyebut asma Allah ketika menyembelih. Meski begitu, Allah tetap menghalalkan kita memakan sembelihannya, berdasarkan firman Allah SWT:
﴿وَطَعَامٌ الَّذِيْنَ أُوْتُوْا الكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ﴾
“Makanan orang-orang Ahli Kitab itu halal bagi kalian.” [TMQ al-Maidah (5): 5]
Jika Selain Nama Allah yang Disebut: Jika dalam penyembelihan tersebut bukan nama Allah yang disebut, tetapi yang lain, maka sembelihan tersebut haram dimakan, sekalipun yang menyembelih adalah orang Islam, atau Ahli Kitab [Yahudi atau Nasrani].
Waktu Membaca “Basmalah”: Waktu membaca “Basmalah” iaitu saat menyembelih, atau tidak lama sebelum menyembelih. Jika membaca “Basmalah”-nya dilakukan kemudian, atau antara penyembelihan dengan membaca “Basmalah” tersebut dipisah dengan waktu yang lama, misalnya, setelah membaca “Basmalah” kemudian tidur, lalu bangun, setelah itu baru menyembelih haiwan sembelihannya, maka ini tidak termasuk membaca “Basmalah”.
Siapa yang Membaca Bacaan “Basmalah”?
Bacaan “Basmalah” dibaca oleh penyembelihnya, kerana itu tidak sah, jika orang lain yang membaca “Basmalah”, sementara penyembelihnya tidak membaca. Atau, bacaan “Basmalah”-nya dirakam, kemudian rakaman tersebut dimainkan, sehingga boleh diulang-ulang, ketika penyembelih tersebut menyembelih haiwan sembelihan, maka ini pun tidak boleh dihukumi membaca “Basmalah”. Kerana yang membaca bukan penyembelihnya, tetapi rakaman.

