Penulis: Farid Wadjdi
Subhanallah! Jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul dalam pertemuan akbar tanpa memandang ras, warna kulit, kebangsaan, jawatan, atau kekayaan. Mereka berkumpul untuk melaksanakan ibadah haji sebagai wujud ketaatan dan kecintaan kepada Allah Swt. dan Rasulullah saw..
Ibadah haji merupakan cerminan persatuan umat Islam. Keimanan kepada Allah Swt. dan ketundukan pada aturan-Nya, inilah yang menyebabkan kaum muslim bersatu ketika melaksanakan ibadah haji. Ketaatan kepada Allah Swt. dalam ibadah haji membuatkan kaum muslim memakai pakaian ihram yang sama, tawaf di tempat yang sama, mengelilingi Baitullah dengan arah yang sama, wukuf pada tanggal 9 Zulhijjah di tempat yang sama, iaitu Padang Arafah.
Sayang, persatuan umat itu hanya saat melakukan ibadah haji. Setelah itu, umat Islam kembali ke negara masing-masing, dengan memikirkan urusan masing-masing. Nasionalisme dengan sistem politik negara bangsa-nya (nation state), dengan gemilang memecah-belah umat Islam seluruh dunia. Masing-masing kemudian hanya melihat kepentingan nasionalnya. Rejim negara-bangsa ini menjadikan nasionalisme sebagai legitimasi ketidakpedulian mereka.
Saat ibadah haji, umat Islam dapat bersatu kerana keimanan dan ketaatan kepada Allah Taala. Demikian juga seharusnya di luar ibadah haji. Keimanan kepada Allah Swt. dan ketaatan secara total pada syariat Islam akan menyatukan kaum muslim bukan hanya dalam ibadah, tetapi juga dalam seluruh aspek kehidupan. Hal ini kerana, mereka diatur oleh aturan yang satu, iaitu syariat Islam.
Di sinilah pentingnya keberadaan Khilafah sebagai sistem kenegaraan yang akan menerapkan syariat Islam secara menyeluruh. Khilafah dipimpin oleh seorang khalifah bagi seluruh kaum muslim di dunia jelas akan menjamin persatuan mereka. Sebab, tidak mungkin umat dapat bersatu di peringkat negara kecuali kaum muslim memiliki pemimpin negara yang satu. Oleh kerana itu, syariat Islam sangat menekankan kesatuan kepemimpinan (Khalifah).
Abdullah bin Amr bin Ash ra. pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Siapa saja yang telah membaiat seorang imam (khalifah), lalu memberikan huluran tangan dan buah hatinya, maka hendaklah dia mentaati imam itu sekuat kemampuannya. Kemudian, jika ada orang lain yang hendak merebutnya, maka penggallah leher orang tersebut!” (HR Muslim)
Berkaitan dengan kesatuan kepemimpinan ini Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menegaskan, “Para ulama telah sepakat bahawa tidak boleh dilakukan akad kepada dua orang khalifah pada masa yang sama, baik wilayah Darul Islam itu luas atau tidak.”
Hal senada ditegaskan Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkâm as-Sulthâniyah wa al-Wilâyât ad-Diniyyah, menegaskan, jika dilakukan akad penyerahan Imamah kepada dua orang imam di dua negeri yang berbeza, maka akad Imamah keduanya tidak sah. Alasannya, umat tidak boleh memiliki dua orang imam dalam satu waktu, meskipun ada segolongan orang yang membolehkan hal itu.
Bersamaan dengan bergeraknya jutaan jamaah haji bergerak dari Muzdalifah menuju Mina untuk melontar jumrah sebagai bahagian ibadah haji pada tanggal 10 Zulhijjah, kaum muslim di tempat lain melaksanakan solat Aidiladha dan menyembelih haiwan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Ibadah korban ini tidak boleh dilepaskan dari kisah keteladaan Nabi Ibrahim as.; keteladan dalam pengorbanan. Ketika Allah Swt. memerintahkan menyembelih anaknya sendiri, Ismail as.. Kita dapat bayangkan begitu beratnya hati Nabi Ibrahim as. yang diperintahkan untuk menyembelih puteranya sendiri yang merupakan belahan hati yang tentu sangat dia cintai.
Namun, keimanannya kepada perintah Allah Swt. membuat Nabi Ibrahim as. membulatkan hati melaksankan perintah-Nya dan mengenepikan perasaan beratnya. Subhanallah! Ketika perintah ini ditanyakan kepada puteranya, Nabi Ismail as., ia justeru mendorong ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah Swt. tanpa ragu. Allah Swt. berfirman, “Ayah, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada engkau. Insyaallah engkau akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar.” [TMQ ash-Shaffat (37): 102]
Keimanan menuntut ketaatan. Ketaatan memerlukan pengorbanan. Teladan inilah yang wajib kita pegang dalam perjuangan menegakkan agama Allah Swt., memperjuangkan Khilafah Islam yang akan menerapkan syariat-Nya secara total. Dasar dari perjuangan ini adalah iman dan ketaatan kepada Allah Taala. Untuk itu kita wajib mengorbankan apa saja yang terbaik dari diri kita untuk dakwah ini; mengorbankan harta, jawatan bahkan mengorbankan jiwa.
Rasulullah saw. juga telah memberikan teladan bagaimana beliau tetap istiqamah saat menghadapi berbagai ujian. Rasulullah saw. tidak tergoda saat ditawari harta, kekuasaan, dan wanita kerana semua tawaran itu membuat dakwahnya dibelenggu dan dijadikan tebusan. Saat ujian siksaan, propaganda jahat, hingga pemulauan terjadi, Rasulullah saw. tetap konsisten. Tidak sedikitpun semua itu melemahkan apatah lagi menghentikan dakwahnya. Tidak pula semua itu membuatkan beliau berkompromi, baik secara pemikiran mahupun perbuatan.
Pengorbanan pada jalan kebenaran selalu berbuah kebaikan dan kebahagian. Kesabaran Nabi Ibrahim saw. dan anaknya Ismail as. diganjar dengan tebusan lembu dan pujian Allah Taala. Kesabaran Rasulullah saw. dan umat Islam berbuah manis dengan tegaknya Daulah Islam di Madinah. Sejak itu umat Islam mendapatkan kebaikan dan kesejahteraan. Demikian juga pengorbanan yang dilakukan umat Islam saat ini untuk menegakkan Khilafah pasti berbuah kemenangan dengan tegaknya Khilafah dan tercapainya redha Allah Taala.

