Perkara yang mungkin sering kita lupakan ialah adab yang betul ketika berkunjung ke rumah sahabat, saudara atau kerabat. Perhatikan adab bertamu dan menerima agar tidak kecewa dengan pengunjung atau yang dikunjungi. Jadi, apakah adab-adab dalam Islam ketika bertamu dan menerima tetamu?
Adab Bertamu
Pertama, meminta izin pada pemilik rumah maksimum tiga kali. Dari Abu Musa Al-Asy’ari ra., dia berkata, “Rasulullah saw bersabda, ‘Minta izin masuk rumah itu tiga kali, jika diizinkan untuk kamu (masuklah) dan jika tidak maka pulanglah!’ (HR Bukhari dan Muslim)
Jangan berkecil hati atau tersinggung jika disuruh pulang kerana ini adalah sebahagian daripada hikmah syariat Islam iaitu menjaga hak pemilik rumah.
Allah SWT berfirman, “Jika kamu tidak menjumpai seorang pun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: Kembalilah, maka hendaklah kamu kembali. Itu bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ An-Nuur(24): 28]
Ibnu Katsir menjelaskan ayat di atas dalam tafsirnya, “Mengapa demikian? Kerana meminta izin sebelum masuk ke dalam rumah berkenaan penggunaan hak orang lain. Oleh itu, tuan rumah berhak menerima atau menolak tetamu.”
Kedua, mengucapkan salam dan meminta izin. Allah SWT berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.” [TMQ An-Nuur(24): 27]`
Dalam hadis nabi saw bersabda, “Sesungguhnya disyariatkan meminta izin adalah untuk menjaga pandangan.” (HR Bukari dan Muslim)
Ketiga, jangan mengetuk pintu dengan ketukan yang menjengkelkan. Ketukan pintu yang berlebihan disebabkan bunyi ketukan yang kuat atau cara ia mengetuk, seringkali menganggu pemilik rumah. Anas bin Malik ra. menceritakan, “Kami pada zaman Nabi saw mengetuk pintu dengan kuku-kuku.” (HR Bukhari dalam Adabul Mufrod)
Kemudian, posisi berdiri tetamu ketika mengetuk pintu tidak menghadap ke dalam ruangan. Hal ini agar pemilik rumah dapat menyiapkan diri dan rumahnya untuk menerima tetamu serta apa yang ada di dalam rumah tidak langsung dilihat oleh tetamu sebelum diizinkan oleh pemilik rumah.
Rasulullah saw bersabda, “Dia adalah Rasulullah saw apabila dia datang ke pintu suatu kaum, beliau tidak menghadapkan wajahnya di hadapan pintu tetapi berada di sebelah kanan atau kirinya dan mengucapkan assalamualaikum…assalamualaikum…” (HR Abu Dawud)
Keempat, jangan menjenguk ke dalam rumah pemiliknya. Rasulullah mencela perbuatan tersebut dan memberi ancaman kepada pengintip. Sabda baginda saw, “Seandainya ada seseorang melihatmu di rumah tanpa izin, engkau melemparkan dengan batu kecil lalu kamu cungkil matanya, maka tidak ada dosa bagimu.” (HR Bukhari)
Adab Menerima Tetamu
Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (HR Bukhari)
Pertama, disunahkan mengucapkan selamat datang kepada tetamu. Ibnu Abbas ra. meriwayatkan bahawa ketika utusan Abi Qais datang kepada Nabi saw, beliau bersabda, “Selamat datang kepada para utusan yang datang tanpa merasa terhina dan menyesal.” (HR Bukhari)
Kedua, memuliakan tetamu dan berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan hidangan terbaik untuk mereka makan.
Allah SWT berfirman, “Dan Ibrahim datang kepada keluarganya dengan membawa daging anak lembu yang gemuk kemudian dia mendekatkan makanan tersebut kepada mereka (tetamu Ibrahim) sambil berkata, ‘Silalah makan’. [TMQ Az-Zariyat (51): 26—27]
Ketiga, dalam menyajikan hidangan niatkan untuk mencontohi Rasulullah saw dan para Nabi sebelum beliau, bukan bermaksud untuk bermegah-megah dan berbangga-bangga, Nabi Ibrahim as. diberi gelaran “Abu Dhifan” (Bapa tetamu) kerana kemuliaan beliau dalam melayan tetamu.
Keempat, berniat menjamu tetamu untuk memberi kegembiraan kepada sesama muslim.
Kelima, jangan mengangkat makanan yang dihidangkan sebelum tetamu selesai menikmatinya. Kemudian, di antara adab orang yang memberi hidangan ialah mengajak mereka bercakap dengan kata-kata yang menyenangkan, tidak tidur sebelum mereka tidur, tidak mengeluh dengan kehadiran mereka, bermanis muka ketika mereka datang dan merasa kehilangan ketika mereka meminta izin untuk pulang.
Keenam, mendekatkan makanan kepada tetamu ketika menghidangkan makanan tersebut. Allah SWT berfirman, “Kemudian Ibrahim mendekatkan hidangan tersebut kepada mereka.” [TMQ Az-Zariyat (51): 27]
Tempoh menjamu tetamu adalah sebagaimana sabda Rasulullah saw, “Menjamu tetamu adalah tiga hari, adapun memuliakannya sehari semalam dan tidak halal bagi seorang muslim menetap di tempat saudaranya sehingga dia menyakitinya.” Para sahabat berkata, ‘Ya Rasulullah, bagaimana menyakitinya?’ Rasulullah berkata, ‘Tetamu itu tinggal bersamanya sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa untuk menjamu tetamunya.” (HR Baihaqi)
Akhir sekali, kita mesti menghantar tetamu yang mahu pulang sehingga ke hadapan rumah.
Inilah adab-adab bertamu dan menerima tetamu yang diajarkan dalam Islam. Semoga kita menjadi orang yang sentiasa menjaga adab-adab tersebut sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah saw dan para Nabi sebelum beliau. Wallahualam.

