Haji Wada adalah haji pertama Rasulullah SAW dilaksanakan pada tahun 10 hijrah. Ianya juga merupakan haji terakhir yang dipimpin oleh baginda yangmana itulah saat terakhir Rasulullah SAW menyampaikan pesanan baginda. Khutbah yang disampaikan oleh nabi adalah sebagai momentum kesatuan ummah. Kita sebagai umat Islam dan umat nabi Muhammad SAW sudah pasti kecintaan kepada baginda perlu kita zahirkan dengan mengikut segala pesanan baginda.
10 Wasiat penting dari khutbah terakhir Rasulullah SAW.
WASIAT PERTAMA: LARANGAN MEMBUNUH JIWA DAN MENGAMBIL HARTA ORANG LAIN
‘Wahai seluruh manusia! Sesungguhnya darah kalian dan harta kekayaan kalian merupakan kemuliaan (haram diambil oelh orang lain) bagi kalian semua, sebagaimana mulianya hari ini, dibulan yang mulia ini dan di negeri yang mulia ini.
Sudah tentu pesanan yang dinyatakan oleh Rasul SAW ini menunjukkan bahawa nyawa dan harta umat Islam sangat dimuliakan. Oleh itu umat Islam tidak boleh membunuh jiwa sesama umat Islam dengan sewenangnya. Begitu juga dengan harta umat Islam akan sentiasa terpelihara dan tidak sewenangnya dirampas dan digunakan oleh pihak lain.
WASIAT KEDUA: KEWAJIPAN MENINGGALKAN TRADISI DAN AMALAN JAHILIAH
“Ketahuilah sesungguhnya segala tradisi jahiliah mulai hari ini tidak boleh dipakai lagi. Segala sesuatu yang berkaitan dengan perkara kemanusiaan (seperti pembunuhan, dendam dan lain-lain) yang telah terjadi di masa jahiliah semuanya terbatal dan tidak boleh berlaku lagi.(sebagai contoh) hari ini aku menyatakan pembatalan pembunuhan balas atas terbunuhnya Ibnu Rabi’ah bin Haris yang terjadi masa jahiliah dahulu. Transaksi riba yang dilakukan pada masa jahiliah juga tidak boleh berlaku lagi sejak hari ini. Transaksi yang aku nyatakan tidak berlaku lagi adalah transaksi riba Abbas bin Abdul Muthalib. Sesungguhnya seluruh transaksi riba itu semuanya batal dan tidak akan (haram) berlaku lagi”.
Rasulullah telah menunjukkan contoh dimana pembunuhan dan dendam dimasa jahiliah itu tidak dibunuh balas. Baginda juga menyeru supaya transaksi riba itu ditinggalkan.
WASIAT KETIGA: BERWASPADA DENGAN GANGGUAN SYAITAN DAN KEWAJIPAN MENJAGA AGAMA
“Wahai seluruh manusia,sesungguhnya syaitan itu telah berputus asa untuk disembah oleh manusia di negeri ini, akan tetapi syaitan masih berusaha untuk mengganggu kalian dengan cara yang lain. Syaitan akan berasa puas jika kalian semua melakukan perbuatan yang tercela. Oleh itu hendaklah kalian menjaga agama kalian dengan baik”.
Rasulullah berpesan supaya umat Islam perlu sentiasa berwaspada dengan sebarang godaan syaitan kerana sememangnya syaitan akan berusaha supaya dapat menyesatkan umat Islam. Umat Islam perlu berpegang teguh pada tali Allah dan menjaga agama dengan baik.
WASIAT KEEMPAT: LARANGAN MENGHARAMKAN APA YANG DIHALALKAN DAN SEBALIKNYA
“Wahai seluruh manusia! Sesungguhnya mengubah-ubah bulan suci itu akan menambah kekafiran, dengan cara itulah orang-orang kafir menjadi sesat. Pada tahun yang satu mereka langgar dan pada tahun yang lain mereka sucikan untuk sesuaikan dengan hitungan yang telah ditetapkan kesuciannya oleh Allah. Kemudian kalian halalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang telah dihalalkanNya. Zaman itu telah berputar sejak Allah menciptakan langit dan bumi, jumlah bulan menurut Allah ada 12 bulan. 4 bulan diantaranya bulan suci, 3 bulan berturut-turut dan bulan Rejab antara bulan Jamadilakhir dan Syaban”
Sesungguhnya setiap ketetapan hukum itu adalah dari Allah yang merupakan as-syari’ iaitu yang membuat hukum. Oleh itu pesan rasul SAW supaya kita sentiasa patuh apa yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai pembuat hukum. Janganlah kita mengambil hukum selain yang telah ditetapkan oleh Allah dengan menghalalkan yang haram atau sebaliknya.
WASIAT KELIMA: KEWAJIPAN MEMULIAKAN WANITA (ISTERI)
“Takutlah kepada Allah dalam bersikap kepada kaum wanita kerana kalian telah mengambil mereka (menjadi isteri) dengan amanah Allah dan kehormatan mereka telah dihalalkan bagi kalian semua dengan nama Allah.Sesungguhnya kalian mempunyai kewajipan-kewajipan kepada kalian dan isteri-isteri kalian mempunyai kewajipan terhadap diri kalian. Kewajipan mereka kepada kalian adalah tidak boleh memberi izin masuk orang yang tidak kalian suka ke dalam rumah kalian. Jika mereka berbuat hal demikian, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Sedangkan kewajipan kalian terhadap mereka adalah memberi nafkah dan pakaian yang baik kepada mereka. Maka perhatikanlah dengan baik perkataanku ini wahai seluruh manusia, sesungguhnya aku telah menyampaikan.”
Islam sangat memuliakan kaum wanita. Jika seseorang wanita itu rosak maka sesebuah negara itu rosak malah seluruh generasi itu akan rosak. Wanita adalah orang yang melahirkan dan mendidik generasi, pencetak generasi yang kuat. Rasulullah berpesan supaya menjaga kehormatan wanita dan bersikap lemah lembut kepada wanita kerana wanita adalah amanah Allah SWT. Tiada negara yang maju jika wanita itu diabaikan.
WASIAT KEENAM: KEWAJIPAN BERPEGANG TEGUH KEPADA AL QURAN DAN ASSUNAH
“Aku tinggalkan dua perkara bagi kalian, jika kalian berpegang teguh dengan apa aku tinggalkan itu,maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya (yakni) kitabullah (AlQuran) dan Sunah nabiNya (Al hadis)
Rasulullah telah mengingatkan kita bahawa sekiranya kita tetap berpegang kepada Alquran dan Assunah maka kita dapat menjalankan kehidupan ini dengan sebaiknya dan tidak akan sesat serta berada dalam landasan yang benar.
WASIAT KETUJUH: KEWAJIPAN TAAT KEPADA PEMIMPIN SIAPAPUN DIA SELAMA MASIH BERPEGANG TEGUH KEPADA AL QURAN
“Wahai seluruh manusia! Dengarlah dan taatlah kalian kepada pemimpin kalian walaupun kalian dipimpin oleh seorang hamba dari negeri Habsyah yang berhidung kemek, selama mana dia tetap menjalankan ajaran kitabullah ke atas kalian semua..”
Islam tidak mengenal negara bangsa, pemimpin yang wajib ditaati adalah pemimpin yang berpegang teguh kepada Alquran dan Assunah. Perintah ketaatan kepada pemerintah itu adalah selagi pemerintah tersebut masih melaksanakan hukum Allah dan hukum Islam dalam pemerintahannya. Sekiranya pemimpin itu tidak melaksanakan hukum Allah maka dia wajib dimuhasabah supaya kembali menjalankan kepimpinannya mengikut ketetapan hukum Allah SWT.
WASIAT KELAPAN: KEWAJIPAN BERBUAT BAIK KEPADA HAMBA SAHAYA
“Bersikap baiklah terhadap hamba sahaya. Berikanlah makan kepada mereka dengan apa yng kalian makan dan berikanlah pakaian kepada mereka denganpakaian yang kalian pakai. Jika mereka melakukan sesuatu kesalahan yang tidak dapat kalian maafkan, maka juallah hamba sahaya tersebut dan janganlah kalian menyeksa mereka..
Islam mengajar kita supaya setiap manusia perlu dilayan dengan baik begitulah juga bagi hamba sahaya.
WASIAT KESEMBILAN: UMAT ISLAM ADALAH BERSAUDARA SATU DENGAN LAIN
“Setiap muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain dan semua kaum muslimin itu adalah bersaudara. Seseorang itu tidak dibenarkan mengambil sesuatu milik saudaranya kecuali dengan senang hati yang telah diberikannya dengan senang hati. Oleh itu janganlah kalian menganiya diri sendiri.”
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa umat Islam itu bersaudara dan anjuran untuk berbuat baik kepada setiap mereka. Umat Islam disisi Allah adalah sama dan tidak berbeza antara yang lain. Sikap Assobiyah adalah sangat ditegah oleh Rasulullah SAW.
WASIAT KESEPULUH: KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN KHUTBAH RASULULLAH SAW KEPADA YANG LAIN
“Ya Allah! Sudahkah aku menyampaikan pesan ini kepada mereka?” Kalian semua akan menemui Allah, maka setelah pemergian aku nanti, janganlah kalian menjadi sesat eperti sebahagian kalian memukul tengkuk sebahagian yang lain. Hendaklah mereka yang hadir mendengar khutbah ini menyampaikan kepada mereka yang tidak hadir. Mungkin nanti orang yang mendengar berita tentang khutbah ini lebih memahami daripada mereka yang mendengar langsung pada hari ini”
Rasulullah telah menyampaikan kepada kaum muslimin yang hadir pada hari tersebut dan mendengar khutbah terakhir baginda, maka baginda berpesan kepada mereka supaya menyampaikan kepada yang tidak hadir bersama pada ketika itu. Oleh itu ianya juga menjadi pesanan terpenting kepada kita umat yang terakhir ini dan kita mestilah melaksanakan setiap wasiat terakhir yang telah ditinggalkan oleh rasulullah SAW kepada kita semua dengan sebaiknya.

