Site icon MuslimahHTM News

Pihak-Pihak yang Dituntut untuk Menegakkan Agama (Bahagian 2)

Penulis: Ahmad Mahmud

Setiap hukum syariat yang disandarkan kepada pihak masing-masing, wajib untuk dilaksanakan. Wajib juga untuk melakukan amar makruf nahi mungkar kepada ketiga-tiga pihak itu (individu, jemaah dan negara) ketika masing-masing lalai dalam melaksanakan kewajipan yang diamanahkan kepada mereka. Akan tetapi, tidak perlu ada kritik kepada apa yang memang tidak diwajibkan atas mereka.

Dari segi penerapan, syariat tidak menyerahkan hanya kepada satu pihak sahaja, tetapi menjadikan masing-masing pihak wajib melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya. Seluruh umat wajib untuk menegakkan syariat ini. Jika setiap umat Islam, baik dalam kapasitinya sebagai individu, jemaah, umat Islam mahupun sebagai khalifah telah menjalankan tanggungjawab masing-masing, maka akan terwujudlah penerapan Islam secara sempurna dan menyeluruh.

Dari sudut pandang ini, kita ingin menyatakan bahawa seorang individu muslim wajib untuk mengimani Islam secara sempurna dan menyeluruh. Ia juga perlu menetapkan dan menerapkan secara terperinci hal-hal yang dituntut untuk dilaksanakan oleh dirinya selaku individu atau anggota suatu jemaah/parti tempat ia aktif di dalamnya. Kelalaian apa pun dalam melaksanakan kewajipannya di dalam dua peranan ini akan dipertanyakan di hadapan Allah kelak.

Begitu juga dengan seorang khalifah, beliau wajib melaksanakan apa saja yang dituntut atas dirinya. Sebagai individu, dia wajib melakukan solat, puasa, ibadah haji, berbuat baik kepada orang tua, tidak berzina, tidak melakukan transaksi riba dan lain-lain lagi. Sebagai khalifah, dia wajib menyusun undang-undang, mengumumkan jihad, menjaga persatuan umat Islam, memerintah berdasarkan wahyu Allah, menegakkan hudud dan banyak lagi. Jika ia lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai individu mahupun sebagai khalifah, dia juga akan dipertanyakan di hadapan Allah di akhirat dan dia perlu bertanggungjawab ke atas umat yang dipimpinnya.

Realiti ini perlu difahami oleh umat Islam supaya mereka mampu membezakan situasi ketika melakukan muhasabah agar mereka tidak tersilap mengkritik individu atas perkara yang memang tidak diamanahkan kepadanya, tidak mengkritik jemaah atau parti atas apa yang memang tidak diwajibkan kepadanya dan tidak mengkritik khalifah atas apa saja yang tidak dipertanggungjawabkan keatasnya.

Syariat Islam telah menuntut umat Islam seluruhnya untuk melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar sebatas kemampuannya. Kewajipan ini perlu dilaksanakan oleh umat Islam baik sebagai individu, jemaah atau penguasa dalam setiap keadaan, baik ketika Daulah Islamiah sudah ada, mahupun belum berdiri, baik ketika hukum yang diterapkan oleh negara ke atas mereka merupakan hukum Islam mahupun hukum kufur, baik hakim yang berkuasa untuk menerapkan Islam itu menjalankannya dengan baik ataupun buruk.

Amar makruf nahi mungkar sentiasa dilakukan pada zaman kenabian, zaman para sahabat, para tabi’in, tabi’ tabi’in dan zaman seterusnya. Kewajipan ini masih tetap berlaku sehinggalah hari kiamat.

 

Jika terjadi situasi yang memerlukan amar makruf nahi mungkar, maka tugas tersebut wajib dilakukan oleh semua pihak. Perkara ini dijelaskan secara terperinci seperti berikut :

 

Umat Islam, secara individu masing-masing dituntut untuk melakukan amar makruf untuk apa yang mereka kerjakan dan melakukan nahi mungkar terhadap apa saja yang perlu mereka hindarkan. Dalam hal ini, ia bersifat fardhu ain jika memang di hadapan mereka terjadi situasi yang memerlukan amar makruf nahi mungkar. Maksudnya, seorang muslim akan dipandang berdosa jika dia tidak segera melakukannya dan tidak ada unsur untuk meninggalkannya.

 

Kerana itu, sebagai seorang muslim, dalam kehidupan hariannya bersama isteri dan anak-anak, bersama keluarga dan rakan, bersama jiran tetangga, kenalan-kenalan atau bersama orang lain yang ditemuinya, wajib untuk dia menasihati mereka jika dia mengetahui mereka melakukan kelalaian atau kemaksiatan. Sebabnya, di situ terdapat kemaksiatan yang tidak diketahui sesiapa pun kecuali dirinya seperti kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang di hadapannya.

Dalam situasi seperti ini, jika orang itu tidak menasihati dan menegur perbuatan maksiat tersebut, dia akan berdosa. Sementara orang lain yang tidak mengetahui perkara itu tidaklah berdosa kerana kemaksiatan itu tidak dilakukan di hadapan mereka.

Jika seorang muslim bersikap konsisten untuk terikat dengan segala kewajipan yang diperintahkan oleh Allah kepada dirinya iaitu dengan mengerjakan amar makruf nahi mungkar, maka dia akan mampu mengajak orang lain untuk mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Jika dia telah faham dengan jelas berkenaan hukum-hukam Islam, maka dia juga pasti mampu untuk menyampaikannya dengan jelas.

Jika dia mengetahui sesuatu hukum itu melalui ittiba’, dia boleh mengajak orang lain untuk mengetahuinya dengan cara yang sama. Jika dia menerimanya secara taklid’am, dia juga boleh menyampaikannya dengan cara yang sama. Jika dia tidak mampu meyakinkan orang yang dia ajak, dia boleh menyerahkannya kepada orang lain yang mempunyai kemampuan untuk meyakinkan mereka. Allah SWT berfirman,

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [TMQ At-Taubah (9): 71]

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” [TMQ Al-Maaidah (5): 2]

Rasulullah SAW. juga bersabda,

“Sampaikanlah dari ini meskipun hanya satu ayat.” (HR Bukhari)

“Allah akan memberkati seseorang hamba yang mendengar perkataanku kemudian menghafal dan mengamalkannya (untuk dirinya sendiri). Mungkin saja seorang yang bijaksana membawa ilmu, padahal ia tidak memahami ilmu itu, kepada orang yang lebih mengetahui daripada dirinya.” (HR Abu Daud, Tirmidzi, dan Ahmad)

Atas dasar ini, seorang muslim, selaku individu, perlu melakukan perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar, sekaligus melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam

Exit mobile version