Allahu Taala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَداءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلى أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kalian orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap diri kalian sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kalian.” [TMQ An-Nisa (4): 135]
Dalam Tafsir Ibnu Katsir disebutkan bahawa Allah Taala memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin agar menegakkan keadilan, dan janganlah mereka berdiam dari keadilan itu walau sedikit pun, jangan pula mereka berpaling dari menegakkan keadilan kerana Allah hanya disebabkan celaan orang-orang yang mencela, jangan pula mereka dipengaruhi oleh sesuatu yang membuatnya berpaling dari keadilan. Hendaklah mereka saling membantu, bergotong royong, saling mendukung dan tolong-menolong demi keadilan.
Firman Allah Subhanahu wa Taala yang mengatakan:
{شُهَدَاءَ لِلَّهِ}
“…menjadi saksi kerana Allah.” [TMQ An-Nisa (4): 135]
Ayat ini semakna dengan firman-Nya:
وَأَقِيمُوا الشَّهادَةَ لِلَّهِ
“…dan hendaklah kalian tegakkan kesaksian itu kerana Allah.” [TMQ At-Thalaq (65): 2]
Maksudnya, tunaikanlah kesaksian itu kerana mengharap redha Allah. Maka jika kesaksian itu ditegakkan kerana Allah, barulah kesaksian itu dikatakan benar, adil, dan hak; serta bersih dari penyimpangan, perubahan, dan kepalsuan. Kerana itulah dalam firman selanjutnya disebutkan:
{وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ}
“…biarpun terhadap diri kalian sendiri.” [TMQ An-Nisa (4): 135]
Dengan kata lain, tegakkanlah persaksian itu secara benar, sekalipun bahayanya menimpa diri sendiri. Apabila kamu ditanya mengenai suatu perkara, katakanlah yang sebenarnya, sekalipun mudaratnya kembali kepada dirimu sendiri. Kerana sesungguhnya Allah akan menjadikan kelapangan dan jalan keluar dari setiap perkara yang sempit bagi orang yang taat kepada-Nya.
Dalam tafsir lain disebutkan:
وَلَوْ عَلَى أَنْفُسِكُمْ بِالْإِقْرَارِ
“walau atas diri kalian sendiri dalam bentuk pengakuan” (Tafsir Ma’alim at-Tanzil).
Firman Allah Subhanahu wa Taala:
أَوِ الْوالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ
“…atau ibu bapa dan kaum kerabat kalian.” [TMQ An-Nisa (4): 135]
Maksudnya sekalipun kesaksian itu ditujukan terhadap kedua orang tuamu dan kerabatmu, janganlah kamu takut kepada mereka dalam mengemukakannya. Tetapi kemukakanlah kesaksian secara sebenarnya, sekalipun bahayanya kembali kepada mereka, kerana sesungguhnya perkara yang hak itu wajib ditegakkan atas setiap orang, tanpa memilih bulu. (Lihat Tafsir Ibn Katsir).
Yuana Ryan Tresna
Cairo, 4 Zulhijjah 1443 H

