Site icon MuslimahHTM News

Marwan bin Al-Hakam, Sepuluh Bulan Menjadi Khalifah

Penulis: Nabila Ummu Anas

Setelah Muawiyah II memutuskan untuk tidak mengangkat seorang pun dari Bani Umaiyah sebagai khalifah dan dia sendiri menyatakan ketidakmampuannya untuk menjalankan tugas kekhalifahan, mak dia menyerahkan urusan tersebut kepada musyawarah kesepakatan umat Islam.

Bani Umaiyah mengadakan konfrens Al-Jabiyah dan membaiat Marwan bin Al-Hakam sebagai khalifah. Dengan adanya konfrens Al-Jabiyah ini, kekhalifahan berpindah dari tangan keluarga besar Abu Sufyan kepada keluarga besar Marwan.

Setelah Marwan memegang tampuk pemerintahan, di hadapannya terbentang berbagai kesulitan. Suku Qais di negeri Syam telah membaiat Abdullah bin Az-Zubair, sedangkan orang-orang Yaman terbahagi kepada dua kelompok. Satu kelompok dipimpin oleh Hasan bin Malik bin Bahdal al-Kalabi dan Malik bin Hubairah as-Sakuni. Mereka lebih cenderung membaiat Khalid bin Yazid bin Muawiyah.

Kelompok kedua pula dipimpin oleh Rauh bin Zinbagh al-Judzami dan Al-Husain bin Numair as-Sakuni. Mereka didukung Ubaidillah bin Ziyad yang cenderung membaiat Marwan.

Pertempuran Marj Rahith

Tidak dinafikan, konfrens Al-Jabiyah memang dapat menyelesaikan masalah kekhalifahan di antara Bani Umaiyah dan juga salah satu langkah yang penting. Tetapi, penerapan resolusi konfrens Al-Jabiyah bukanlah satu perkara yang mudah kerana masih banyak hambatan dan cabaran yang besar.

Adh-Dhahak bin Qais (ketua suku Qais yang menyokong Abdullah bin Az-Zubair) telah berangkaay ke Marj Rahith serta bergabung dengan An-Nu’man bin Basyir al-Anshari, wali kota Homs dan Zufr bin Al-Harits al-Kilabi, wali kota Qinnasrin. Mereka bersiap sedia untuk menghadapi Bani Umaiyah.

Marwan perlu membuktikan bahawa dirinya memang layak memegang jawatan dan tugas kekhalifahan. Para penyokong Marwan berjaya meraih kemenangan pertama dengan menguasai Damaskus dan mengusir para pegawai Adh-Dhahhak dari sana.

Tanpa membuang masa, Marwan segera bergerak ke Marj Rahith bersama para penyokongnya yang terdiri dari suku-suku Yaman di negeri Syam. Di situlah terjadinya pertempuran yang menentukan kewujudan Bani Umaiyah di Negeri Syam.

Hasilnya, kemenangan bagi pasukan Marwan atas suku Qais. Pertempuran ini berlangsung selama 25 hari pada penghujung 64 H.

Menguasai Mesir

Kemenangan pasukan Marwan bin Al-Hakam dalam pertempuran Marj Rahith mampu mengukuhkan pemerintahan mereka di negeri Syam sehingga ia meluaskan kekuasaannya atas wilayah itu. Langkah seterusnya adalah bergerak ke Mesir dan merebutnya kembali dari tangan pengikut setia Abdullah bin Az-Zubair.

Langkah ini diambil oleh Marwan kerana Mesir memiliki kedudukan yang strategik dan merupakan daerah terpenting untuk dikuasai agar dapat memperkuatkan posisinya dalam menghadapi Abdullah bin Az-Zubair.

Penguasaan wilayah Mesir tidaklah sukar kerana sebahagian besar warganya cenderung pada Bani Umaiyah. Baiat yang mereka lakukan kepada Abdullah bin Az-Zubair bukanlah baiat yang tulus melainkan kerana keterpaksaan.

Al-Kindi berkata, “Abdurrahman bin Jahdam (wali Mesir yang diangkat oleh Abdullah bin Az-Zubair) tiba di Mesir bersama kaum Khawarij. Masyarakat Mesir juga membaiatnya kerana terpaksa. Kemudian, para penyokong Bani Umaiyah diam-diam mengundang Marwan untuk menyerbu Mesir.”

Marwan bin Al-Hakam menggerakkan pasukannya menuju ke Mesir. Maka, terjadilah pertempuran sengit antara pasukan Marwan dan pasukan Abdurrahman bin Jahdam yang akhirnya dimenangi oleh Marwan.

Abdullah bin Jahdam melarikan diri. Tetapi kemudiannya dia menemui Marwan bin Al-Hakam untuk meminta pengampunan. Marwan pun mengampuninya dengan syarat bahawa dia perlu pergi ke Mekah.

Kejayaan Marwan bin Al-Hakam merebut kembali Mesir berlaku pada Jamadil Akhir 65 H. Beliau menetap di Mesir selama dua bulan untuk memulihkan keadaan dan memastikan keamanannya.

Kemudian Marwan bin Al-Hakam kembali ke negeri Syam untuk menghadapi ancaman dari Abdullah bin Az-Zubair. Tetapi, ajal terlebih dahulu menjemputnya pada 3 Ramadhan 65 H.

Marwan bin Al-Hakam juga sempat mengadakan kesepakatan dengan tokoh-tokoh utama negeri Syam, khususnya dengan Hasan Bin Malik (penyokong utama Khalid bin Yazid). Marwan berjaya meyakinkan mereka bahawa Khalid bin Yazid tidak setanding untuk menghadapi Abdullah bin Az-Zubair.

Prestasi Marwan bin Al-Hakam antara lain adalah, beliau berjaya mendirikan kembali negara Bani Umaiyah dalam waktu kurang dari satu tahun. Dia juga berjaya merebut kembali negeri Syam dan Mesir. Marwan juga mewariskan tugas kepada Abdul Malik bin Marwan untuk menyatukan kembali Negara Islam. Wallahualam.

Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar.

Exit mobile version