Site icon MuslimahHTM News

[Fikrul Islam] Keutamaan Kewajipan

Penulis: Ahmad Mahmud

Walaupun semua fardu ain wajib ditunaikan tetapi pada peringkat pelaksanaannya, ada skala keutamaan (awlawiyat). Jika seorang muslim mampu melaksanakan semua fardu ain dan fardu kifayah yang ada, inilah yang diharapkan. Sebaliknya, jika terdapat percanggahan antara beberapa fardu ain, hak untuk menentukan skala keutamaan di antara fardu-fardu tersebut adalah syariat Allah, bukan akal.

Menafkahi keluarga, misalnya, lebih diutamakan daripada membayar hutang; membayar hutang lebih diutamakan daripada menunaikannya ibadah haji; puasa Ramadan lebih diutamakan daripada puasa Nazar; solat Jumaat lebih diutamakan daripada menepati janji; dan seterusnya.

Demikian juga dalam konteks fardu kifayah. Jika berlaku percanggahan dalam pelaksanaan sejumlah fardu kifayah kerana tidak mungkin dilaksanakan kesemuanya, syariat Allah juga (bukan akal) yang berhak menentukan skala keutamaan satu daripada yang lain. Permasalahan ini sangat luas dan saling berkaitan. Sebabnya, fardu kifayah jumlahnya sangat banyak.

Antaranya, ada yang sangat sulit dan berat serta ada yang memerlukan kerja keras dan masa yang panjang. Kebanyakan fardu kifayah seperti ini selalunya tidak dapat dilaksanakan semuanya oleh seorang muslim. Akibatnya, ia hanya dapat menegakkan sebahagiannya sahaja, sedangkan sebahagian yang lain tertangguh dalam pelaksanaannya.

Sebahagian kewajipan yang dilaksanakan mahupun yang ditinggalkan atau ditunda tentu tidak boleh ditentukan berdasarkan hawa nafsu mereka, tidak juga berdasarkan pertimbangan akal atau pilihan peribadi. Namun, walaupun berhadapan dengan pilihan syariat dan skala keutamaan yang ditetapkan oleh syariat, pilihan atau skala keutamaan ini ditentukan berdasarkan beberapa indikasi (qorinah) syariat yang telah menjelaskan masalah keutamaan itu.

Pada pendapat kami, usaha menegakkan Daulah Islamiyah (Negara Islam) berada pada puncak keutamaan di antara pelbagai fardu kifayah yang ada. Kami membuat kesimpulan seperti ini tentunya didasarkan pada beberapa nas yang terdapat di dalam al-Quran mahupun As-Sunnah.

“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara berdasarkan wahyu yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir.” [TMQ Al-Maidah(5): 44]

“Barang siapa saja yang tidak memberikan keputusan berdasarkan wahyu yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang zalim.” [TMQ Al-Maidah(5): 45]

“Sesiapa saja yang tidak membuat keputusan berdasarkan wahyu yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang fasik.” [TMQ Al-Maidah(5): 47]

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada wahyu yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkarinya. Syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya.” [TMQ An-Nisa (4): 60]

“Demi Tuhanmu mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan.” (TMQ An-Nisa(4): 65]

“Hendaklah kamu membuat keputusan di antara mereka berdasarkan wahyu yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” [TMQ Al-Maidah(5): 49]

“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Maidah(5): 50]

Realiti dari nas-nas di atas dan beberapa ayat lain yang sama makna adalah bergantung pada adanya Daulah Islamiyah yang menegakkan hukum-hukum berdasarkan wahyu yang diturunkan oleh Allah.

Ayat-ayat yang memerintahkan pelaksanaan hukum-hukum khusus juga banyak jumlahnya. Di antaranya adalah ayat-ayat berikut:

“Pencuri lelaki dan pencuri wanita potonglah tangan keduanya.” [TMQ Al Maidah(5): 38]

“Pezina wanita dan pezina lelaki hendaklah disebat masing-masing dari kedua-duanya 100 kali sebatan.” [TMQ An-Nur(24): 2]

“Orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina sedangkan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, sebatlah mereka 80 kali sebatan.” [TMQ An-Nur(24): 4]

“Sesiapa saja yang dibunuh secara zalim sesungguhnya kami telah memberikan kekuasaan kepada ahli warisnya.” [TMQ Al-Isra'(17): 33]

“Sesungguhnya balasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya serta membuat kerosakan di muka bumi hanyalah dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara timbal balik atau dibuang dari negeri tempat kediamannya.” [TMQ Al-Maidah(5): 33]

Selain ayat-ayat di atas, banyak juga hadis yang menjelaskan perkara hukum sebat bagi peminum arak, hukum rejam bagi pezina, hak qisas bagi orang yang dianiaya yang kemudian kehilangan giginya dengan gigi juga, qisas pada luka, diat atau denda untuk mengganti qisas jika ada pengampunan dari pihak yang teraniaya dan pelaksanaan takzir atau hukuman yang dikenakan oleh khalifah kerana syariat Islam tidak menetapkan batasannya secara jelas.

Semua peraturan dan hukuman hudud ini telah disyariatkan oleh Allah manakala pelaksanaannya bergantung kepada kewujudan Daulah Islamiyah yang menegakkan undang-undang berdasarkan wahyu yang diturunkan oleh Allah.

Ayat-ayat yang mengandungi perintah jihad fisabilillah juga sangat banyak. Di antaranya adalah ayat-ayat berikut,

“Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kalian di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui.” [TMQ At-Taubah(9): 41]

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak pula kepada hari akhirat, yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan rasul-Nya dan yang tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan al- Kitab kepada mereka (sehingga mereka membayar jizyah dengan taat sedang mereka dalam keadaan merendah diri).” [TMQ At-Taubah(9): 29]

“Perangilah orang-orang musyrik itu sebagaimana mereka juga memerangi kalian semua.” [TMQ At-Taubah(9): 36]

“Perangilah mereka supaya jangan ada lagi fitnah atau kekufuran dan agar agama itu semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti dari kekufuran, sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.” [TMQ Al-Anfal (8): 39]

“Siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kalian sanggup dan kuda-kuda yang ditambatkan. Dengan itu, kalian berperang membenarkan musuh Allah, musuh kalian dan orang-orang selain mereka yang tidak kalian ketahui tetapi Allah mengetahuinya.” [TMQ Al-Anfal(8): 60]

Ayat-ayat di atas dan beberapa hadis yang sama makna tidak akan dilaksanakan kecuali jika ada Daulah Islamiyah yang memerintah berdasarkan wahyu yang diturunkan oleh Allah.

Terdapat hadis yang menyatakan bahawa jihad mesti diteruskan sehingga hari kiamat; tidak boleh “dikosongkan” oleh keadilan seorang yang adil atau kezaliman orang yang zalim. Maksudnya, seorang muslim wajib untuk berjihad ketika jihad diisytiharkan, sama ada Daulah Islamiyah telah tertegak atau belum. Dengan kata lain, jihad mesti dilakukan bersama-sama dengan Amir yang ada, baik yang adil ataupun zalim.

Namun, pada hakikatnya, Amir yang zalim tidak melaksanakan jihad dan tidak memerintahkan jihad fī sabīlillāh. Walaupun mereka memerintahkan untuk berperang, mereka memerintahkan perang antara sesama Islam.

Keadaan seperti ini berterusan sehingga bangkitnya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat yang akan menghancurkan negara-negara kerdil yang kafir ini dan menggantinya dengan negara Khilafah Islamiyah yang memerintahkan dengan hukum-hukum Allah.

Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam

Exit mobile version