Site icon MuslimahHTM News

Kemunafikan di Sekitar Kita

Penulis: Arief B. Iskandar

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Jika mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia. Tidaklah mereka menyebut Allah SWT kecuali sedikit sekali [lihat : TMQ An-Nisaa’ (4): 142]

Berkenaan ayat ini, Ibnu Katsir di dalam tafsirnya menyatakan bahawa orang-orang munafik biasa menipu Allah SWT sedangkan tidak dapat diragukan lagi bahawa Allah SWT tidak mungkin ditipu kerana Dia Maha Tahu atas segala hal yang tersembunyi. Bahkan dalam kalimat selanjutnya, dinyatakan bahawa Allah SWT membalas tipuan mereka. Maksudnya, Allah semakin menjerumuskan mereka di dunia dalam kesombongan, kesesatan dan pelecehan mereka terhadap kebenaran (Ibn Katsir, I/156).

Sebagaimana diketahui, pada bahagian awal Al-Quran surah Al-Baqarah, Allah SWT mengkategorikan umat manusia ke dalam tiga golongan iaitu mukmin, kafir dan munafik. Allah SWT menjelaskan ciri-ciri orang mukmin dengan ringkas. Ciri-ciri orang kafir pula bahkan cukup dijelaskan dengan satu ayat. Tetapi, saat menjelaskan tentang ciri-ciri orang munafik, Allah menceritakannya dengan panjang lebar. Mengapa begitu? Kerana faktanya, golongan munafik adalah golongan yang lebih berbahaya dalam masyarakat kerana mereka adalah “musuh dalam selimut.” Kerana itu, tentu sangat perlu untuk kita mengetahui ciri-ciri mereka.

Allah SWT telah menyebut perkataan an-nifaq dan kata jadiannya dalam Al-Quran sebanyak 37 kali dalam surah yang berbeza. Sebahagian ulama membahagikan sifat nifaq kepada dua.

Pertama, nifaq i’tiqadi. Pelakunya pada dasarnya adalah seorang kafir, tetapi berpura-pura atau menampilkan diri sebagai muslim. Golongan munafik jenis ini ditempatkan pada tingkat yang paling bawah dalam neraka. Mereka inilah yang disebut sebagai “musuh dalam selimut”. Golongan ini, hakikatnya di dalam hati mereka, mendustakan kitab-kitab Allah dan para malaikat-Nya atau mendustakan salah satu asas Islam [Lihat : TMQ Al-Baqarah (2): 8-10]

Kedua, nifaq ‘amali. Pelakunya boleh jadi muslim, tetapi memiliki sifat-sifat/ciri-ciri orang munafik. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga tanda orang munafik, jika berkata ia berdusta, jika berjanji, ia ingkar dan jika dipercaya, ia khianat” (HR Bukhari dan Muslim).

Dalam salah satu kitabnya, ‘Aid Abdullah al-Qarni menyebutkan 30 sifat orang-orang munafik yang disebutkan dalam Al-Quran. Antaranya adalah, dusta, khianat, ingkar janji, malas beribadah, riak, sedikit berzikir, sering terburu-buru dalam solat, mencela orang-orang taat dan soleh, memperolokkan Al-Quran, As-Sunnah dan Rasul-Nya, bersumpah palsu, enggan berinfak, tidak peduli terhadap nasib kaum muslim, suka menyebarkan berita bohong, mengingkari takdir, mencaci-maki kehormatan orang-orang soleh, sering meninggalkan solat berjemaah, membuat kerosakan di muka bumi dengan dalih mengadakan kebaikan, tidak ada kesesuaian antara lahiriah dan batiniah, takut terhadap kejadian apa pun, menyuruh kemungkaran dan mencegah kemakrufan, bakhil, melupakan Allah SWT, mendustakan janji Allah dan Rasul-Nya, sombong dalam berbicara, awam dalam agama, menentang Allah dengan terus berbuat dosa, suka dengan musibah yang menimpa kaum mukmin dan dengki terhadap kebahagiaan mereka.

Seorang Sahabat, Hudzaifah ra. pernah berkata, “Orang-orang munafik sekarang lebih jahat (berbahaya) daripada orang-orang munafik pada masa Rasulullah SAW….” Kemudian beliau ditanya, “Mengapa demikian?” Hudzaifah menjawab, “Kerana pada masa Rasulullah SAW, mereka menyembunyikan kemunafikannya, sedangkan sekarang mereka berani memperlihatkannya.” (Diriwayatkan oleh al-Farayabi tentang sifat an nifaq [51-51], dengan isnad sahih).

Perlu diingat, kenyataan sahabat Hudzaifah ra. itu diucapkan pada 14 abad lampau. Jika begitu situasinya, bagaimana dengan orang-orang munafik pada abad ini?

Saat ini, mereka melakukan perilaku munafik secara terang-terangan dengan penuh kebanggan, tanpa rasa malu, takut dan berdosa kepada Allah SWT. Lihatlah para penguasa/calon penguasa yang berpura-pura tampil sebagai seorang muslim yang soleh dan muslimah yang solehah. Mereka berpura-pura solat atau memakan tudung. Mereka seolah-olah dekat dengan para ulama. Mereka seakan-akan peduli terhadap masalah kaum muslim. Sedangkan, semua itu jarang sekali mereka lakukan. Mereka lakukan apa saja demi mempercantikkan citra mereka di mata rakyat yang sebenarnya “tidak cantik.” Mereka tidak sedar bahawa semua yang mereka lakukan pada hakikatnya hanyalah menipu Allah SWT. Bayangkan, Allah SWT saja mereka tipu, bagaimana dengan rakyat mereka?!

Semoga kita dijauhkan dari para penguasa munafik seperti itu, juga dari sifat-sifat kemunafikan yang mungkin saja tanpa disedari melekat pada diri kita masing-masing.

Wama tawfiqi illa bilLah.

Exit mobile version