Oleh: Ustaz M. Shiddiq al-Jawi
Ustaz, bolehkah bayi yang baru lahir disusui oleh wanita lain, sebab air susu ibu dari ibu si bayi belum keluar. Adakah bayi tersebut automatik menjadi anak susuan dari wanita yang menyusuinya? (Ummu Aida, Jember)
Jawapan:
Islam membolehkan penyusuan (ar-radha’ah), iaitu seorang bayi menyusui wanita yang bukan ibu kandungnya, kerana telah dibolehkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kadang-kadang memang terdapat keperluan untuk perkara tersebut, misalnya meninggalnya ibu kandung si bayi, atau ketidakmampuan ibu kandung untuk menyusui kerana pelbagai sebab, seperti kesibukan kerja atau air susunya tak keluar, atau kerana sebab lainnya [Sa’duddin bin Muhammad al-Kibbi, Ahkam ar-Radha’ fi A- Islam, hlm. 2; HSA Alhamdani, Risalah Nikah, hlm. 69].
Yang wajib diperhatikan ialah akibat penyusuan itu secara syar’ei, iaitu timbulnya hubungan mahram antara bayi yang disusui dengan wanita yang menyusui. Ini kerana penyusuan merupakan salah satu dari 3 (tiga) sebab membolehkan terjadinya hubungan mahram yang mengharamkan pernikahan, iaitu: pertama, adanya hubungan nasab (pertalian darah, blood relationship), seperti ibu, saudara perempuan, dan makcik (saudara perempuan ayah/ibu).
Kedua, adanya hubungan perkahwinan (mushaharah, relation by marriage), seperti isteri dari anak lelaki (menantu perempuan) dan ibu dari isteri (ibu mertua).
Ketiga, kerana adanya hubungan penyusuan (ar radha’ah), seperti ibu yang menyusui, dan sebagainya. [Sa’duddin bin Muhammad al-Kibbi, Ahkam ar-Radha’ fi Al Islam, hlm. 3].
Jika seorang wanita menyusui seorang bayi, maka bayi itu menjadi anaknya, iaitu menjadi mahramnya, jika memenuhi 2 (dua) syarat; pertama, penyusuan dilakukan ketika usia bayi di bawah dua tahun (dihitung dengan kalender qamariyah). Maka, penyusuan kepada anak di atas dua tahun, tidak mengakibatkan wujudnya hubungan mahram.
Kedua, wanita itu telah menyusui sebanyak 5 (lima) kali susuan pada waktu yang berlainan. Maka, penyusuan yang kurang dari 5 (lima) kali susuan, tidak mewujudkan hubungan mahram. Inilah pendapat mazhab Syafi’e yang kami anggap paling kuat (rajih). [Taqiyuddin al-Husaini, Kifayatul Akhyar, 2/137; Sa’duddin bin Muhammad al-Kibbi, Ahkam ar-Radha’ fi al-Islam, hlm. 6 dan ].
Syarat pertama, dalilnya firman Allah SWT (ertinya), ”Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” [TMQ al-Baqarah (2): 233].
Juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW, ”Tidak ada penyusuan kecuali pada masa dua tahun.” [HR Daruquthni, 4/174; Baihaqi]. [Taqiyuddin al-Husaini, Kifayatul Akhyar, 2/138; Asy-Syaukani, Nailul Authar, hlm. 1390, hadis no 2986].
Syarat kedua, dalilnya hadis dari Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan isteri Abu Hudzaifah untuk menyusui seorang anak bernama Salim sebanyak lima kali susuan (khamsa radha’atin). [HR Ahmad, 6/201]. [Asy-Syaukani, Nailul Authar, hlm. 1387, hadits no 2983].
Jika syaratnya lima kali susuan, lalu apa syarat bagi sekali susuan? Yang disebut sekali susuan, ialah seorang bayi menghisap air susu dari puting susu, lalu berhenti atas kehendaknya sendiri. Jika bayi berhenti menyusu kerana sesak nafas, atau kerana berpindah dari satu payudara ke payudara lainnya, atau kerana suatu hal tertentu yang menghentikannya menyusu, lalu bayi itu segera menyusu lagi, itu masih dikira sebagai sekali susuan. [Sa’duddin bin Muhammad al-Kibbi, Ahkam ar-Radha’ fi al-Islam, hlm. 9].
Jika penyusuan telah memenuhi dua syarat di atas, barulah bayi yang disusui menjadi anak susuan bagi perempuan yang menyusuinya, dan muncullah akibat-akibat hukum dalam hubungan mahram. Antara lain, jika bayi itu lelaki, haram hukumnya dia menikahi wanita yang menyusuinya. Haram hukumnya lelaki itu menikahi wanita yang pernah disusui pula oleh wanita yang menyusuinya itu. Haram juga lelaki itu menikahi anak atau cucu wanita dari wanita yang menyusuinya. Wallahu’ alam.