Kita mengurut dada melihat anak remaja usia belasan tahun hingga orang tua yang ikut latah dalam acara Citayam Fashion Week (CFW) di Indonesia. Mereka menggunakan pakaian yang terdedah hingga aurat pun jelas terlihat. Bukan hanya itu, mereka berlenggang-lenggok bak model kelas dunia dengan gaya yang pelik.
Lelaki mengenakan pakaian wanita, sementara wanita tampil mengenakan pakaian lelaki. Padahal Allah memberikan kita nikmat berpakaian supaya menutup aurat. Allah Swt. juga menambahkan kenikmatan tersebut dengan menganugerahkan riyaasy (pakaian indah) sebagai perhiasan.
Menutup aurat merupakan adab mulia yang diperintahkan Allah Taala. Bahkan, seseorang itu dilarang melihat aurat orang lain kerana hal tersebut dapat menimbulkan kerosakan. Diriwayatkan oleh Muslim, bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain…”. Hal yang sama juga berlaku bagi perempuan yang haram melihat aurat perempuan lain.
Allah melarang hambanya untuk bertabarruj (menampakan perhiasan). Dari Fadhalah bin Ubaid, Rasulullah saw. bersabda, “Tiga jenis orang yang tidak perlu kau tanyakan (kerana mereka adalah orang-orang yang binasa). Yang pertama adalah orang yang meninggalkan jemaah kaum muslim, yang dipimpin oleh seorang muslim yang memiliki kekuasaan yang sah, tetapi memilih untuk menderhakai penguasa tersebut, hingga meninggal dalam keadaan derhaka kepada penguasanya. Kedua, hamba lelaki atau perempuan yang lari dari tuannya dan meninggal dalam keadaan demikian. Ketiga, seorang perempuan yang ditinggal pergi oleh suaminya padahal suaminya telah memenuhi segala keperluan duniawinya lalu dia bertabarruj setelah pemergian sang suami. Jangan pernah bertanya tentang mereka.” (HR Ahmad)
Tabarruj didefiniskan oleh para ulama sebagai seorang perempuan yang menampakkan perhiasan dan daya tariknya, serta segala sesuatu yang wajib ditutupi, kerana hal tersebut dapat membangkitkan nafsu seorang lelaki yang masih normal.
Allah Swt. memerintahkan bagi seorang muslimah untuk mengenakan jilbab dan khimar untuk menutup aurat dan segala sesuatu yang menjadi perhiasan (daya tarik). Allah juga melarang mengenakan pakaian syuhrah (sensasi- yang mampu merangsang emosi) yang menjadikan pemakainya sebagai pusat perhatian, boleh jadi kerana pakaiannya yang mewah, sangat berbeza dengan kebanyakan orang, atau pakaian yang sudah sangat lusuh dan compang-camping.
Rasulullah saw. bersabda, “Barang siapa memakai pakaian syuhrah, maka Allah akan memakaikan pakaian yang serupa pada hari kiamat nanti. Kemudian, dalam pakaian tersebut akan dinyalakan api neraka.” (HR Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Hendaknya pakaian seorang muslim bukanlah pakaian yang menyerupai pakaian orang kafir. Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Rasul saw. bersabda, “Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka ia termasuk golongan mereka.”. Oleh kerana itu, duhai muslim, pakaianmu ialah identitimu.
Saat ini sebahagian pemuda tidak malu untuk mengenakan pakaian yang menyerupai perempuan, lalu berhias dan berlenggang-lenggok seperti perempuan. Allah Swt. melaknat perbuatan tersebut. Rasul saw. telah mengingatkan, “Allah melaknat wanita yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai wanita.” (HR Bukhari)
Rasul juga bersabda, “Allah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki.” (HR Abu Dawud dan Hakim)
Firman Allah Taala, “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Mudah-mudahan, mereka selalu ingat.” [TMQ Al-A’raf (7): 26]
Pakaian dalam ayat di atas dikemukakan dengan kata libas dan risy. Menurut para pakar bahasa Al-Quran, libas semakna dengan kata tsaub atau tsiyab (TMQ Al-Muddatsir: 4), iaitu sesuatu yang dipergunakan untuk menutup (sebahagian) anggota badan. Sebagai contoh, gamis/jubah (qamish) adalah pakaian, sarung (al-ditsar) juga pakaian, dan serban (‘imamah).
Kata risy menunjuk pada pakaian yang dikenakan untuk memperindah atau mempercantik diri (ma yatajammalu bihi al-insan). Terdapat lima fungsi pakaian jika kita merujuk pada ayat di atas. Yakni, menutup aurat, memperindah dan mempercantik diri, membentuk identiti (menunjukkan kelas), menjaga/melindungi diri dari bahaya perang, dan terakhir memperkuat moral dan spiritual untuk kemuliaan diri zahir dan batin, dunia dan akhirat.
Semestinya sebagai seorang muslim, kita memerhatikan pakaian yang dikenakan. Jangan sampai mengenakan pakaian yang mendatangkan laknat, dilarang pula oleh syariat-Nya. Jangan cepat melatah mengikut tren fesyen terkini yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Banggalah sebagai muslim dengan mengenakan pakaian yang disyariatkan, menutup aurat, dan tidak tabarruj. Wallahul Musta’an. [MNews/Rndy]

