Adakah anda termasuk dalam golongan yang sering bermalasan, hidup santai dan membiarkan hari-hari berlalu tanpa melakukan amal soleh? Jika begitu, anda termasuk dalam golongan yang rugi apatah lagi jika membiarkan hari tanpa sedikit pun bertambahnya ilmu.
Yahya bin Abi Katsir rahimahullah pernah berkata, “Ilmu tidak akan didapatkan dengan tubuh yang santai (tidak bersungguh-sungguh).” (Jamaai’u bayaanil ‘ilmi wa fadhlihi no.553).
Kata-kata Syeikh Yahya itu mengingatkan kita untuk mengurangkan waktu bersantai. Ramai orang yang ingin menjadi seorang yang berilmu, tetapi tidak mampu menahan lelah dan letihnya menuntut ilmu. Sedangkan ilmu tidak mungkin boleh didapati dengan hanya bersantai.
Hal ini juga terpakai untuk perkara lain selain dari ilmu. Saudariku, ingat kembali firman Allah SWT, “… Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat…” [TMQ Al-Mujaadalah (58): 11]
Orang yang beriman dan berilmu, kedua-duanya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang suka bermalas-malasan. Mereka berusaha mengisi waktunya dengan perkara yang bermanfaat dan memberi manfaat untuk dirinya dan agama Allah SWT.
Ath-habari rahimahullah berkata, “Allah mengangkat darjat orang beriman yang berilmu di hadapan orang beriman yang tidak berilmu kerana keutamaan ilmu mereka, jika mereka mengamalkan ilmu tersebut.” (Jami’i bayan fii ta’wilil Quran, 23/246. Muassasah Risalah Asy-Syamilah)
Sesungguhnya, semakin tinggi cita-cita, semakin sedikit waktu baginya untuk bersantai. Imam Syafie menceritakan betapa beratnya perjalanan dan perjuangan menuntut ilmu dengan hasil yang baik. Beliau berkata, “Tidak mungkin menuntut ilmu orang-orang yang cepat bosan, merasa puas jiwanya, kemudian dia menjadi beruntung. Akan tetapi, dia perlulah menuntut ilmu dengan menahan diri, merasakan kesempatan hidup dan berkhidmat untuk ilmu, maka ia akan beruntung.” (Tadribur Rawi, 2/584, Darut Thayyibah, Syamilah).
Marilah kita renungkan apa yang dilakukan dan dilalui oleh para ulama penuntut ilmu. Abdurrahman bin Qasim al-Utaqa al-Mishr, seorang sahabat kepada Malik dan Laits, setiap kali mempunyai persoalan, dia akan mendatangi Malik ketika waktu sahur tiba.
Agar tidak terlepas, Ibnu al-Qasim akan muncul sebelum waktu bersahur. Kadangkala beliau membawa bantal dan tidur di hadapan rumah Malik. Terkadang, kerana terlalu lena, dia tidak menyedari bahawa Malik telah keluar pergi ke masjid. Kejadian itu berulang sehingga pembantu Malik mengejutkannya dan berkata, “Gurumu telah keluar meninggalkan rumah, tidak seperti kamu yang asyik tertidur.”
Perkara di atas mengajarkan kita keutamaan untuk memburu ilmu dari para guru. Walaupun perlu merasakan kepenatannya, tapi ia akan membawa keberkatan jika ilmu yang didapatkan boleh memberi manfaat untuk ramai orang terutama diri sendiri.
Thariq bin Ziyad berkata, “Barangsiapa bersabar dengan kesusahan yang cuma sekejap, maka dia akan menikmati kesenangan yang berpanjangan.”
Kalimat di atas memberikan kita suntikan semangat untuk menuntut ilmu, berdakwah dan mengerjakan perkara-perkara kebaikan lainnya. Nasihat Imam Asy-Syafi’e, “Barangsiapa yang mendalami ilmu agama (Islam), mulialah kedudukannya. Barangsiapa yang belajar Al-Quran, besarlah harga dirinya. Barangsiapa mendalami ilmu fiqih, kuatlah kesehariannya. Barangsiapa menulis hadis, kuatlah hujahnya. Barangsiapa yang belajar ilmu hisab (matematik), sihatlah pemikirannya. Barangsiapa belajar bahasa arab, haluslah tabiatnya. Dan barangsiapa yang tidak menjaga dirinya dari dosa dan kemaksiatan, tidaklah bermanfaat ilmu baginya.”
Saudariku, janganlah ditunda ketika hendak mengerjakan kebaikan apatah lagi melengah-lengahkan waktu. Imam Ahmad pernah ditanya oleh sahabatnya kerana dia kelihatan sangat bersemangat dan tidak mengenal erti lelah dalam menuntut ilmu, “Bilakah engkau akan berehat?” Beliau menjawab, “Nanti, rehatku adalah ketika kakiku telah menapak di Syurga.” Masya Allah!
Marilah kita cermin diri kita. Adakah kita sering mengeluh ketika mengerjakan kebaikan? Adakah kita mudah menyerah dalam menapak jalan perjuangan? Sungguh, waktu untuk beristirehat akan lebih membahagiakan jika berada di Syurga. Jika telah berkomitmen untuk meraih cita-cita yang tinggi dan mulia, kita tidak akan banyak bersantai. Cita-cita yang tinggi hanya dapat diraih dengan tingginya pengorbanan. Bukan untuk mereka yang suka bersantai, tetapi untuk mereka yang bergegas melakukan berbagai amal soleh. Wallahualam.

