Penulis: Rahmah Qomariah
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَٰٓئِكَ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يُهَاجِرُواْ مَا لَكُم مِّن وَلَٰيَتِهِم مِّن شَيۡءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُواْۚ وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ فَعَلَيۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۢ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَهُم مِّيثَٰقٞۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ٧٢
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertoIongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka melindungi satu sama lain. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah maka tidak ada kewajipan sedikit pun untuk kamu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Namun) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Surah Al-Anfal ayat 72 berkaitan dengan hijrah. Sebelum berhijrah, Rasulullah berdakwah di Mekah. Bermulanya dakwah di Mekah yang dilakukan oleh Rasulullah adalah untuk membina masyarakat jahiliah Quraisy agar masuk Islam dan membentuk peribadi mereka sehingga menjadi kader-kader pejuang yang bersemangat tinggi, bersedia untuk berjuang bersama Rasulullah demi sistem kehidupan baru sesuai dengan ajaran Islam, iaitu menerapkan syariat Islam secara kaffah (Abu Muhammad bin Abdul Malik bin Hisyam, Sirah Nabawiyah Ibn Hisyam Jilid I, Jakarta: Darul Falah, 2000).
Tahap pertama di Mekah ini dilakukan oleh Rasulullah secara rahsia sehingga penentangan dari masyarakat Mekah tidak banyak. Setelah tahap pertama berjaya maka pengikut Rasulullah semakin ramai dan terbentuklah kader-kader dakwah yang hebat, bersedia untuk memikul tanggungjawab dakwah. Mereka bersedia untuk mendakwahkan Islam sehingga masyarakat merasakan bahawa keadaan tidak memeluk Islam dan tidak melaksanakan Islam adalah punca utama masalah.
Bermulanya Rasulullah saw menyampaikan agama Islam secara terbuka. Rasulullah menyeru masyarakat Quraisy agar memeluk agama Islam. Rasulullah saw mengumumkan bahawa beliau adalah nabi yang diutus oleh Allah. Rasulullah bersama dengan kelompok dakwahnya (para sahabat) telah bersedia mengajak masyarakat kafir Quraisy untuk meninggalkan berhala dan meninggalkan kehidupan tercela yang lain.
Di sinilah Rasulullah saw dan kelompok dakwahnya mendapat tentangan, penyeksaan dan serangan. Namun, hal ini tidak menjadikan semangat dakwah menjadi kendur malah semakin giat untuk mencari perlindungan dan pertolongan serta mencari daerah baru yang kondusif untuk dakwah dan pelaksanaan syariat Islam secara kaffah. Pelbagai usaha telah dilakukan dan Rasulullah tetap istiqamah di jalan dakwah mengikut tuntunan Allah.
Akhirnya, dakwah beliau membuahkan hasil. Kabilah Aus dan Khazraj yang berada di Madinah bersedia memberi perlindungan dan pertolongan terhadap dakwah. Dua kabilah (negara pada masa itu) telah bersedia menyerahkan kekuasaannya kepada Rasulullah saw dan kelompok dakwahnya. Kekuasaan inilah yang diperlukan untuk melaksanakan syariat Islam kaffah di negara ini dan menyebarkan Islam dengan jalan dakwah dan jihad ke luar negeri (keluar dari Daulah Islamiah di Madinah) (Prof. Dr. M. Rawwas Qol’ahji, Sirah Nabawiyah, Bangil Jatim: Al Izzah, 2004)
Kelompok dakwah Rasulullah saw adalah orang-orang yang beriman terhadap Muhammad dan terhadap al-Quran (beriman terhadap al-Quran bererti meyakini kebenaran al-Quran, mendakwahkan dan memperjuangkannya untuk diterapkan sebagai peraturan kehidupan). Mereka adalah orang-orang yang berhijrah dari Mekah ke Madinah dan berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah, di jalan ketaatan kepada Allah (Ibn Abbas, Tanwir Miqbas, QS al-Anfal [8]: 72).
Setibanya di Madinah, Rasulullah saw disambut dengan sambutan yang luar biasa. Penduduk Madinah (orang-orang Ansar) bersedia menanggung kos hidup mereka, menyediakan tempat tinggal, melindungi serta bersedia menyerahkan kekuasaan untuk melaksanakan hukum Islam. Inilah tujuan hijrah, iaitu untuk menolong agama Allah, Rasul-Nya dan untuk menegakkan agama-Nya (Mukhtashar Tafsir Ibn Katsir, QS Al Anfal [8]: 72).
Dalam Mukhtashar Tafsir Ibn Katsir, digambarkan betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar serta betapa indahnya ukhuwah kaum Ansar dan Muhajirin. Mereka dipersaudarakan oleh Rasulullah dua orang, dua orang seperti dua jari. Golongan Muhajirin telah meninggalkan rumah dan harta benda mereka. Mereka berhijrah untuk menolong agama Allah, Rasul-Nya dan untuk menegakkan agama-Nya. Mereka berkorban dengan harta benda dan jiwa mereka di jalan Allah.
Mereka datang kepada orang-orang Ansar iaitu penduduk Madinah. Mereka menolong saudara mereka, kaum Muhajirin, di rumah mereka dan membelanjakan harta benda mereka bersama-sama. Mereka menolong Allah dan Rasul-Nya dengan berperang bersama mereka dan berjihad dengan harta serta jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat tinggal dan pertoIongan (kepada orang-orang Muhajirin) dan memiliki harta benda, sehingga Rasulullah mempersaudarakan mereka dua orang-dua orang.
“Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikit pun untukmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Namun) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Apabila Allah menyebut orang-orang mukmin di dunia dan akhirat, maka Allah memberitahu tentang orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar bahawa mereka adalah mukmin sejati. Sesungguhnya Allah akan membalas mereka dengan keampunan dan dihapuskan dosa-dosa mereka, diberi rezeki yang mulia iaitu halal, baik dan banyak, yang tidak putus dan terhenti di dunia. Sedangkan iman dan amal soleh mengiringi mereka di akhirat iaitu di Jannah-Nya (Mukhtashar Tafsir Ibn Katsir, QS.Al Anfal [8]: 72).
Sumber: Suaramubalighah.com

