Setiap muslim tentu merasa bahagia ketika memasuki bulan Muharram, bulan yang sarat dengan pahala. Bulan ini menandakan permulaan tahun baru Islam. Berkenaan keistimewaan Muharram, Abu Utsman an-Nahdi mengatakan, “adalah para salaf mengagungkan tiga waktu dari sepuluh hari yang utama iaitu sepuluh hari terakhir Ramadhan, sepuluh hari pertama Zulhijjah dan sepuluh hari pertama Muharram.” (Lathoiful Ma’arif, h.80)
Berikut beberapa amalan sunnah yang dianjurkan pada bulan Muharram. Pertama, memperbanyakkan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram.” (HR Muslim)
Kedua, memperbanyakkan amalan soleh. Setiap perbuatan baik akan dibalas dengan pahala yang besar. Begitu juga dengan perbuatan dosa, akan dibalas dengan dosa yang besar. Mereka yang beramal soleh akan menuai pahala besar sebagai tanda kasih sayang dan kemurahan Allah kepada hamba-Nya.
Kerana itu, setiap muslim akan berlumba-lumba dalam kebaikan untuk meraih pahala yang besar di sisi-Nya. Berdakwah, bersedekah, mengajarkan ilmu yang bermanfaat, birul walidain (berbakti kepada orang tua) serta banyak lagi amalan soleh yang boleh dilakukan. Seorang muslim akan melipatgandakan amalannya pada bulan ini dengan harapan untuk memperoleh pahala yang berlipat kali ganda juga.
Ketiga, bertaubat. Maksud taubat adalah kembali kepada Allah dari melakukan perkara yang Allah benci secara lahir dan juga batin. Kemudian, dia perlu menyesali setiap dosa-dosa yang telah dilakukan, meninggalkan kemaksiatan dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi.
Setiap muslim perlu menyegerakan taubat kerana kita tidak mengetahui bila kematian akan menjemput. Firman Allah SWT, Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”. [TMQ Ali Imraan (3): 133]
Kemudian, ada dua perkara yang boleh dilakukan oleh setiap muslim ketika menyambut tahun baru Islam. Pertama, bertafakur (berfikir) iaitu dengan memikirkan dan menghitung amalannya di tahun yang lalu kemudian mengingat (tadzakur) akan dosa-dosanya sehingga hatinya menyesal, lisannya kemudian beristighfar untuk memohon keampunan pada Allah SWT.
Setelah itu, dia mempersiapkan diri untuk melakukan berbagai ketaatan dan memohon kepada Allah agar dimudahkan untuk beribadah kepada-Nya, agar sentiasa terikat dengan aturan-Nya serta menjauhi larangan-Nya.
Sabda Rasulullah SAW, “Setiap hari, semua orang akan melanjutkan perjalanan hidupnya, keluar mempertaruhkan dirinya. Ada yang membebaskan dirinya dan ada pula yang mencelakakannya.” (HR Muslim).
Kerana itu, kita perlu memohon perlindungan serta meminta kemudahan kepada Allah untuk melakukan amal soleh serta ketika mahu melakukan setiap perkara dalam kehidupan.
Kedua, meluruskan kembali tujuan hidupnya. Tujuan hidup seorang muslim adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [TMQ Al-An’aam (6) 162].
Setiap muslim perlu berusaha untuk memenuhi seruan-Nya. Fakruddin Razi mengatakan, ayat di atas menjelaskan sikap ikhlas kepada Allah dalam beribadah. Selain itu, Allah juga melarang hambanya untuk menyekutukan-Nya (Tafsir Mafatih al Ghaib).
Maksudnya, tahun baru Islam merupakan momentum untuk kembali berhukum pada hukum Allah SWT dan meninggalkan hukum-hukum buatan manusia. Apatah lagi saat ini kita masih berada dalam sistem sekular kapitalis. Sistem aturan Allah dicampakkan dan hanya dijadikan sebagai “pemanis” jika diperlukan.
Para pemilik kekuasaan di setiap negeri muslim tidak akan menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai landasan dalam sistem pemerintahan. Malahan, mereka mengambil asas yang lahir dari pemikiran orang kafir seolah-olah perkara tersebut tidak termasuk dari bahagian menyekutukan Allah SWT.
Jika kita mengharapkan keberkatan menyelimuti bulan ini, satu-satunya cara adalah dengan menjadikan bulan Muharram sebagai momentum untuk mengembalikan semula kehidupan Islam. Berjuang agar aturan Allah SWT diterapkan oleh kaum muslim, bukan hanya pada individu semata, tetapi pada Negara.

