Site icon MuslimahHTM News

Dasar Khalifah Abdul Malik bin Marwan: Arabisasi Diwan Al-Kharaj dan Mencetak Mata Wang Negara Islam

Penulis: Nabila Ummu Anas

Selain berusaha menstabilkan keselamatan dalam negara, Khalifah Abdul Malik bin Marwan juga bekerja keras dalam memperkukuh asas persatuan dan merapikan sendi-sendi Negara Islam. Di antara dasar besar Abdul Malik bin Marwan adalah arabisasi Diwan Al-Kharaj dan pengeluaran mata wang khusus Negara Islam.

Diwan Al-Kharaj merupakan institusi kewangan Khilafah pada masa itu posisinya sangat penting bagi membiayai penyelenggaraan tugas-tugas negara Khilafah dalam memenuhi pelbagai urusan umat. Hal ini akan menjadi penghalang bagi umat Islam jika institusi kewangan negara yang penting ini masih menggunakan bahasa dan istilah asing berbanding bahasa Arab yang merupakan bahasa umat Islam ketika itu.

Manakala mata wang adalah alat transaksi barangan dan perkhidmatan antara rakyat malah negara Khilafah dengan negara lain. Negara Islam tidak hanya mengeluarkan mata wang khusus, Khalifah Abdul Malik bin Marwan juga menyatukan piawaian timbangan dan sukatan bagi menjamin keadilan bagi umat. Dengan dasar mencetak mata wang Islam ini, Abdul Malik membebaskan ekonomi pemerintahan Islam daripada bergantung kepada mata wang asing, terutama dinar Byzantium.

Arabisasi Diwan Al-Kharaj

Diwan yang dibentuk pada zaman Bani Umayyah menggunakan bahasa Arab kecuali Diwan Al-Kharaj yang masih menggunakan bahasa asing. Diwan Al-Kharaj di Iraq menggunakan bahasa Parsi manakala di Syria dan Mesir menggunakan bahasa Yunani.

Khalifah Abdul Malik melihatnya sebagai sesuatu yang janggal dan terpaksa dihentikan ketika Diwan Al-Kharaj yang merupakan diwan terpenting negara kerana mengendalikan urusan kewangan menggunakan bahasa selain bahasa Arab.

Akhirnya, Khalifah Abdul Malik bin Marwan memutuskan untuk menggunakan bahasa Arab pada Diwan Al-Kharaj. Dia memerintahkan agar dilakukan terjemahan dari bahasa asing ke dalam bahasa Arab. Khalifah memberi tugas kepada Sulaiman bin Sa’ad al Khasyni yang juga fasih berbahasa Yunani untuk menyalin diwan di wilayah Syam ke dalam bahasa Arab. Manakala diwan di Iraq, Salih bin Abdurrahman yang bertugas untuk menyalinnya dari bahasa Parsi ke bahasa Arab.

Dasar Khalifah Abdul Malik ini merupakan langkah penting dan dilakukan dengan penuh ketelitian. Usaha arabisasi ini tidak memberi kesan besar dari segi politik dan pentadbiran tetapi juga dari aspek sosial dan peradaban.

Usaha arabisasi tersebut telah membuka luas peluang pekerjaan kepada orang Arab yang sebelum ini tertutup kepada mereka dalam sektor kewangan. Para pegawai bukan Arab yang bekerja di Diwan al-Kharaj sebelum ini tidak serta merta disingkirkan daripada diwan tersebut, tetapi menggalakkan mereka untuk belajar bahasa Arab agar mereka kekal dalam pekerjaan mereka.

Dengan usaha ini ternyata membuat bahasa Arab mudah dan cepat tersebar di wilayah-wilayah yang ditaklukkan. Ini kerana interaksi mereka ketika membayar jizyah atau kharaj atau transaksi dan akad-akad ekonomi semuanya menggunakan bahasa Arab. Hal ini tentunya turut menjadikan agama Islam menjadi lebih mudah diterima dan difahami oleh masyarakat setempat.

Mencetak Mata Wang Negara Islam

Abdul Malik bin Marwan juga mengeluarkan satu lagi polisi lain yang tidak kurang pentingnya iaitu mencetak mata wang Negara Islam. Dasar ini dalam rangka untuk membebaskan ekonomi Negara Islam daripada kebergantungan kepada negara asing.

Sebelum zaman Abdul Malik, umat Islam tidak mempunyai mata wang sendiri sehinggakan dalam semua transaksi barangan dan perkhidmatan, mereka masih bergantung pada mata wang asing terutama mata wang dinar Byzantium.

Dasar mengeluarkan mata wang khusus untuk Negara Islam ini adalah di samping untuk menamatkan kebergantungan kepada mata wang asing, juga untuk mengangkat martabat Negara Islam. Mata wang dinar Byzantium dengan tulisan dan corak negara mereka yang khas dengan pegangan agama mereka. Manakala, mata wang Negara Islam dicetak dengan corak khusus agama Islam.

Pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan inilah umat Islam mempunyai mata wang sendiri dengan tulisan dan corak khas Islam. Khalifah Abdul Malik juga melarang semua transaksi menggunakan mata wang lain kecuali dengan mata wang Negara Islam.

Kedua-dua dasar ini telah meningkatkan kedudukan Islam, Negara Islam, umat Islam dan bahasa Arab di mata umat manusia dan mana-mana negara di dunia. [MNews]

Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar

Exit mobile version