Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Keistimewaan pemikiran Islam berbanding agama samawi dan dari pemikiran sebelumnya “ciptaan” manusia adalah:
- Agama-agama terdahulu ditujukan kepada golongan manusia tertentu dan pada masa-masa tertentu, manakala Islam ditujukan kepada semua manusia sehingga hari kiamat. Para rasul terdahulu (sebelum Rasulullah SAW) diutus khusus untuk kaum mereka. Kemudian, para pengikutnya tidak menghiraukan risalah rasulnya, dan mengubah pemikiran-pemikirannya, setelah rasulnya wafat. Sedangkan, Muhammad SAW diutus kepada seluruh umat manusia. Beliau adalah penutup para nabi.
- Risalah-risalah rasul terdahulu hanya memecahkan beberapa bahagian tertentu dari persoalan kehidupan manusia seperti akidah, ibadah, hubungan laki-laki dan wanita, atau persoalan makanan. Sedangkan, syariat Islam hadir untuk memecahkan seluruh aspek kehidupan manusia, dan mengatur seluruh interaksi manusia, baik ‘interaksi’ manusia dengan Tuhannya, hubungan dia dengan dirinya sendiri, dan interaksinya dengan orang lain.
- Mukjizat para rasul terdahulu bersifat sementara, akan berhenti dan lenyap bersamaan dengan wafatnya rasul tersebut. Misalnya, mukjizat tongkat Nabi Musa, kemampuan menghidupkan orang mati yang dimiliki Nabi Isa, mukjizat Nabi Sulaiman berupa kemampuannya menundukkan burung, jin, dan angin, serta mukjizat unta betina Nabi Saleh.
Sedangkan, mukjizat Nabi Muhammad SAW bersifat kekal dan abadi hingga hari kiamat. Mukjizat itu berupa Al-Quran al-Karim yang sentiasa menentang manusia untuk membuat yang serupa dengannya. Inilah satu-satunya kitab yang dijanjikan oleh Allah untuk dipelihara (dijaga), seperti dalam firmannya,
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an dan kami pulalah yang akan menjaganya.” [TMQ Al-Hijr (15): 9]
- Tiga keistimewaan di atas berhubungan dengan risalah samawiyah. Adapun dibandingkan dengan pemikiran yang dibuat oleh manusia, Islam berbeza dengan pemikiran-pemikiran tersebut sebab Islam berasal dari Pencipta semesta alam. Dialah Sang Pencipta yang mengetahui dan memahami karakteristik manusia. Oleh itu, tiada siapapun yang mampu mencipta sistem yang menyeluruh, sempurna, dan terperinci untuk mengatur kehidupan manusia seperti peraturan yang diturunkan oleh Pencipta kepada manusia.
Justeru, apa yang dianggap baik oleh sesetengah orang, kadangkala akan dianggap buruk oleh orang lain. Sebaliknya, adalah mustahil untuk mereka bersetuju dengan peraturan yang dibuat oleh orang lain pada masa yang sama. Malah, sekiranya golongan yang tidak berpuas hati itu berjaya memegang tampuk pemerintahan, sudah pasti mereka akan menggantikan sistem yang dicipta oleh orang terdahulu mengikut apa yang mereka persetujui dan inginkan.
Sebab lain yang menjadikan peraturan buatan manusia tidak sempurna dan tidak layak untuk mengatur manusia secara keseluruhan ialah kurangnya kefahaman daripada pencipta sistem tentang perbezaan karakter setiap individu yang hidup dalam masyarakat. Mereka juga tidak memahami apa-apa perkara yang akan timbul dan berkembang pada masa hadapan.
Adapun Allah, Dia-lah yang mengetahui apa yang akan terjadi. Islam telah mengatur semua aktiviti dan objek manusia yang digunakan untuk memenuhi keperluan manusia, baik keperluan naluri mahupun fizikal. Allah telah menjelaskan nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah, dengan penjelasan yang menyeluruh, untuk menjelaskan status hukum bagi setiap perkara yang akan terjadi, baik yang menyangkut perbuatan manusia mahupun benda yang digunakan oleh manusia.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam

