Site icon MuslimahHTM News

BERFIKIR POLITIK

Oleh: Shiddiq al-Jawi

Mukaddimah

Berfikir politik (at-tafkîr as-siyâsî) merupakan satu topik tentang berfikir yang dijelaskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (1973) dalam kitabnya, At-Tafkîr.[i] Jenis berfikir yang penting untuk segeri dimiliki oleh umat tersebut sebenarnya adalah salah satu aktiviti berfikir untuk memahami teks-teks politik. Menurut an-Nabhani (1973: 123), aktiviti membaca teks perlu mendapat perhatian khusus. Membaca sebenarnya hanyalah alat untuk melakukan aktiviti berfikir, bukan aktiviti berfikir itu sendiri. Oleh itu, an-Nabhani menekankan:

Ramai orang membaca tetapi tidak berfikir (tentang apa yang mereka baca). Ramai juga yang membaca dan berfikir, tetapi proses berfikirnya tidak lurus dan tidak dapat mencapai pemikiran-pemikiran yang diungkapkan oleh kalimat-kalimat (yang dibaca).[ii]

Dengan kata lain, bacaan (teks) hanyalah sekadar ungkapan pemikiran-pemikiran, bukan pemikiran itu sendiri. Atas dasar itu, manusia silap jika beranggapan bahawa masyarakat boleh dibangkitkan hanya dengan diajar membaca atau menulis. Bacaan tidak dapat memberikan sebarang bahan untuk proses berfikir; ia juga tidak menimbulkan sebarang keinginan untuk berfikir. Sebab, proses berfikir diwujudkan melalui fakta dan beberapa maklumat awal yang berkaitan dengannya. Bacaan bukanlah fakta yang menjadi objek berfikir, dan bukan juga maklumat awal yang akan digunakan untuk mentafsir fakta. Bacaan hanyalah luahan pemikiran atau sekadar wadah yang digunakan untuk menampung pemikiran, bukan pemikiran itu sendiri. Jika seorang pembaca dapat memahami dengan baik maksud pelbagai ungkapan tentang pemikiran dalam teks sehingga dia dapat menangkap pemikiran-pemikirannya, itu adalah kerana pemahamannya yang baik terhadap teks, bukan semata-mata kerana aktivitinya membaca teks. Jika pembaca tersebut tidak memahami teks dengan baik, tidak akan ada sebarang pemikiran yang diperolehinya, walaupun dia telah membaca teks tersebut berjam-jam atau bahkan bertahun-tahun.

Oleh itu, an-Nabhani (1973: 124) menekankan kepentingan membincangkan aktiviti berfikir terhadap teks-teks supaya teks-teks itu dapat difahami dengan baik. Menurut beliau, teks-teks yang paling penting ialah teks-teks sastera, teks-teks pemikiran, teks-teks undang-undang, dan teks-teks politik.

Tulisan ini bertujuan untuk menghuraikan dan menjelaskan secara lebih luas bagaimana berfikir politik (at tafkir as siyasi) pada teks-teks politik, seperti yang dijelaskan oleh an-Nabhani dalam kitabnya, At-Tafkîr  (hal. 152-173).

Pengertian Berfikir Politik

Berfikir politik ialah berfikir pada teks-teks politik, iaitu teks-teks yang berkaitan dengan isu politik, baik teks-teks ilmu-ilmu politik—seperti dalam text-book, literatur, atau jurnal ilmu politik—dan juga teks-teks berita-berita politik, seperti dalam surat khabar, radio, televisyen dan sebagainya. Berfikir politik adalah berbeza daripada berfikir tentang teks-teks undang-undang, walaupun berfikir tentang teks-teks undang-undang ini adalah sebahagian daripada berfikir politik. Perbezaannya ialah, berfikir tentang teks-teks hukum—baik teks-teks kitab fiqh untuk mengambil hukum syariat atau teks-teks al-Quran dan Sunnah untuk menggali hukum syariat—bertujuan untuk memberikan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Berfikir politik pula bertujuan untuk memelihara dan mengatur urusan-urusan umat; baik benar-benar dilakukan oleh negara (Khilafah), oleh umat supaya pengaturan urusan umat oleh Khilafah berjalan dengan baik, atau oleh kelompok politik yang bergerak untuk mewujudkan Khilafah.

Proses berfikir politik akan berlaku ketika kita misalnya, memikirkan apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Ralph L. Boyce (Duta Besar AS ke Indonesia), apabila ditanya oleh wartawan mengenai Persidangan Kebangsaan Alim Ulama dan Konsul Besar NU yang membenarkan bom “bunuh diri”, pada siding media menjelang kedatangan Menteri Luar Colin Powell di pejabat Kedutaan Besar AS, Jl. Medan Merdeka Selatan, Jakarta Pusat, pada hari Selasa (30/7/2002). Boyce mengaku tidak mahu mengulas mengenainya. “Kita tidak dapat mengkritik unsur NU sebagai organisasi terbesar di Indonesia,” katanya. Seterusnya, Boyce menyatakan bahawa dirinya mengenali NU sebagai sebuah organisasi yang moderat dan mengamalkan sikap toleransi. Menurut Boyce, perkara ini terkandung dalam platform NU yang turut memainkan peranan cukup penting dalam membentuk citra umat Islam Indonesia. Boyce juga menyatakan,“Saya tidak boleh mengulas mengenai kenyataan yang belum bersifat muktamad.[iii]

Daripada kenyataan Boyce bahawa fatwa NU “belum muktamad sifatnya” dan bahawa NU adalah sebuah organisasi moderat dan mengamalkan sikap toleransi, bermakna  Boyce sebenarnya telah mengulas—bukannya dia tidak mahu mengulas seperti ungkapan bohongnya—mengenai fatwa NU tersebut. Boyce sebenarnya mahu NU menyemak semula fatwanya untuk kemudian mengharamkan bom “bunuh diri” selaras dengan garis politik AS yang mengecam bom “bunuh diri” di Palestin.[iv] Dengan memahami maksud Boyce yang sebenarnya ini, kita dapat mengambil tindakan, misalnya, menasihati ulama NU untuk istiqamah dengan fatwa mereka itu, bukan tunduk kepada arahan atau keinginan busuk dari Boyce yang kafir.

Berfikir politik juga sangat berbeza dengan berfikir tentang teks-teks sastera seperti teks-teks syair, puisi, cerita pendek, novel, romantik, dan sebagainya. Hal itu kerana berfikir tentang teks-teks sastera lebih mengutamakan aspek mengungkapkan perasaan dengan perkataan atau kalimat yang indah atau berseni. Sebaliknya, berfikir politik lebih tertumpu kepada aspek mengungkapkan pemikiran, bukan aspek perasaan.

Adakah berfikir politik juga berbeza dengan berfikir untuk memahami teks-teks pemikiran? Hal ini memerlukan tinjauan terlebih dahulu. Jika yang dimaksudkan dengan berfikir politik ialah berfikir tentang teks-teks ilmu politik, seperti tentang perbandingan sistem-sistem politik, maka proses berfikir politik hampir sama dengan proses berfikir untuk memahami teks-teks pemikiran. Walau bagaimanapun, dalam berfikir tentang memahami teks pemikiran, adalah disyaratkan bahawa maklumat awal berada pada tahap pemikiran yang sedang dikaji—iaitu, bukan sekadar maklumat linguistik, tetapi maklumat pemikiran sehingga topik yang dimaksudkan dapat difahami—walaupun ia bukan maklumat mengenai topik yang dimaksudkan. Berfikir politik, selain memerlukan maklumat awal yang setara dengan tahap pemikiran yang dikaji, juga memerlukan maklumat mengenai topik yang berkaitan; tidak cukup dengan maklumat yang berkaitan, mirip, atau  serupa dengan topik yang sedang dikaji.  Contohnya ialah teks pemikiran berikut:

Akal, pemikiran, atau kesedaran adalah proses memindahkan penginderaan fakta ke dalam otak melalui pancaindera yang disertai dengan adanya sejumlah pengetahuan awal yang digunakan untuk mentafsir fakta tersebut.[v]

Untuk memahami teks politik tentang pemisahan kekuasaan, kita tidak cukup membuat sebarang bayangan atau gambaran dalam minda kita tentang bahaya pemusatan kuasa, contohnya, pemusatan kuasa di Indonesia pada zaman Orde Baru. Namun, kita mesti membayangkan pemusatan kuasa di negara-negara Eropah, terutamanya Perancis, kerana Montesquieu bercakap dalam konteks sosio-sejarah yang tertentu.

Manakala jika yang dimaksudkan dengan berfikir politik adalah berfikir mengenai berita-berita dan peristiwa-peristiwa politik, maka ia berbeza dengan semua cara berfikir yang ada. Berfikir politik dalam pengertian ini adalah jenis aktiviti berfikir yang paling tinggi sekaligus paling sukar. Ia dikatakan paling tinggi, kerana ia merupakan aktiviti berfikir tentang semua perkara dan semua peristiwa, di samping melibatkan semua jenis aktiviti berfikir yang lain seperti berfikir tentang teks-teks pemikiran, teks-teks undang-undang, dan sebagainya. Oleh itu, berfikir politik tentang berita dan peristiwa politik disebut sebagai jenis berfikir tertinggi.

Berfikir politik juga dikatakan sebagai jenis aktiviti berfikir yang paling sukar kerana tiada kaedah atau piawaian yang boleh digunakan di dalamnya. Malah, ia hampir tidak boleh dikaitkan dengan satu kaedah pun. Inilah yang boleh membuat seorang pemikir atau ahli politik berasa keliru pada awalnya, yang seterusnya akan dapat membuatnya terjerumus ke dalam banyak kesalahan, ilusi, atau ketidaktepatan. Selagi seorang pemikir atau ahli politik tidak banyak ‘makan garam’ dalam dunia politik praktikal, tidak berwaspada, dan tidak mengikuti berita politik secara berterusan, selagi itu akan sukar baginya untuk menjalankan aktiviti berfikir politik.  Atas sebab ini, berfikir politik dalam erti kata berfikir tentang berita-berita dan peristiwa-perstiwa politik dikatakan sebagai jenis berfikir yang paling sukar.

Namun demikian, walaupun berfikir politik merangkumi juga berfikir mengenai teks-teks ilmu-ilmu dan pemikiran-pemikiran politik, berfikir politik yang sebenarnya ialah berfikir mengenai berita dan peristiwa politik. Oleh itu, mereka yang ingin mahir dalam berfikir politik hendaklah menjalankan aktiviti berfikir politik terhadap pelbagai berita, kejadian, dan peristiwa politik; dengan mengikuti berita-berita di surat-surat khabar, radio, televisyen, internet, dan sebagainya; bukan dengan membaca teks-teks pemikiran-pemikiran politik, contohnya pemikiran Machiaveli, Thomas Hobbes, John Locke, Montesquieu, J.J. Rousseau, John Stuart Mill, Karl Marx, Lenin, Stalin, dan sebagainya. Memang, membaca pemikiran-pemikiran ini akan membantu seseorang berfikir politik dalam memahami berita politik, tetapi ini bukanlah satu keperluan mutlak. Memahami pemikiran-pemikiran politik tersebut hanya akan menjadikan seseorang menguasai pemikiran politik. Orang seperti ini memang layak menjadi pensyarah ilmu politik, tetapi tidak layak menjadi seorang ahli politik. Sebab, seorang ahli politik ialah orang yang memahami pelbagai berita dan peristiwa politik untuk kemudian mengambil suatu sikap atau tindakan daripada berita atau peristiwa politik yang ada.[vi]

Syarat-syarat Berfikir Politik

Berfikir politik mengenai berita dan peristiwa politik—yang merupakan berfikir politik yang hakiki dan akan membuat seseorang menjadi ahli politik—memerlukan 5 (lima) syarat/petua utama yang mesti terkumpul pada diri seseorang:

Pertama, mengikuti secara terus-menerus semua berita dan peristiwa yang berlaku di dunia. Ringkasnya, berfikir politik memerlukan mengikuti semua berita. Namun begitu, dengan mempertimbangkan sesuatu berita dari segi penting-tidaknya, direkayasa atau tidak, cara-cara penyebarannya, ringkas-panjangnya, maka seiring dengan peredaran masa dan pengalaman, seseorang itu tidak perlu mengikuti semua berita yang ada. Namun, dia cukup mengikuti berita-berita yang memang mesti diketahui agar mata rantai pengetahuannya tidak terputus.[vii]

Kedua, ia memerlukan adanya pengetahuan-pengetahuan—walaupun pengetahuan awal atau asasr—tentang isi berita atau peristiwa atau tentang makna-makna berita. Pengetahuan-pengetahuan ini boleh dalam bentuk pengetahuan geografi, sejarah, ideologi, pemikiran politik, dan sebagainya yang membolehkan seseorang memahami hakikat berita atau peristiwa.[viii]

Ketiga, tidak melepaskan peristiwa atau berita dari konteks-konteks situasi dan keadaannya, serta tidak membuat generalisasi tentang peristiwa atau berita. Semua ini dapat menyesatkan/ mengelirukan. Jadi, sesuatu peristiwa mesti difahami sebagai satu realiti yang unik bersama dengan konteks situasi dan keadaannya. Sesuatu peristiwa tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada konteks-konteksnya. Di samping itu, suatu berita atau peristiwa hendaknya tidak digeneralisasikan dan tidak dianalogikan dengan berita yang serupa secara pukul rata. Sebaliknya, suatu berita mesti diambil sebagai peristiwa yang tersendiri dan diberi penilaian sebagai peristiwa unik, hanya pada peristiwa itu, bukan pada peristiwa lain.[ix]

Keempat, mengenal pasti peristiwa dan kejadian dengan cara memeriksanya dengan teliti supaya dapat diketahui sumber berita, tempat terjadinya peristiwa, tahap kepercayaan terhadap berita, keadaan berlakunya peristiwa, tujuan berita atau penyebarannya, panjang-pendeknya berita, benar-tidaknya berita, dan hal-hal lain yang termasuk dalam jangkauan maksud “pemeriksaan secara teliti”. Sebab, pemeriksaan secara teliti inilah yang akan menghasilkan proses kenal pasti berita. Kadar ketelitian dalam mengenal pasti berita akan bergantung pada kadar kesempurnaan dan kedalaman pemeriksaan berita. Tanpa adanya proses kenal pasti berita, tidak mungkin seseorang mempercayai suatu berita, sebab dia akan mudah menjadi mangsa penyesatan dan penyelewengan maklumat. Atas dasar itu, mengena pasti berita merupakan faktor penting dalam mengambil berita, walaupun hanya untuk sekadar mendengarnya.[x]

Kelima, mengaitkan berita dengan pelbagai maklumat, terutamanya maklumat dalam bentuk berita-berita yang lain. Pengaitan inilah yang akan menghasilkan kesimpulan yang lebih dekat dengan hakikat berita. Sebuah berita politik antarabangsa dapat dikaitkan dengan berita politik serantau atau sebaliknya. Sebuah berita ekonomi dapat dikaitkan dengan berita politik. Sebuah berita tentang Jerman dapat dikaitkan dengan strategi politik Jerman, padahal berita itu sebenarnya berkaitan dengan garis politik Amerika Syarikat. Demikianlah seterusnya. Namun demikian, mengaitkan suatu berita dengan berita-berita lain mestilah dilakukan dengan betul. Jika sesuatu berita dihubungkan dengan berita lain yang tidak relevan, pasti akan berlaku kesilapan atau kesesatan. Oleh itu, mengaitkan berita dengan berita-berita lain yang relevan—dengan betul—adalah sangat penting.[xi]

Inilah lima syarat atau petua yang mesti direalisasikan supaya proses berfikir politik dapat dijalankan. Mungkin ada yang berkata, lima syarat itu berat dan amat sukar untuk direalisasikan. Sebenarnya tidak. Sebab, yang dimaksudkan adalah sekadar merealisasikan lima syarat dalam tahap yang wajar, bukannya tahap yang sangat luas dan sangat mendalam. Lagipun, lima perkara tersebut jangan dibayangkan mesti direalisasikan sekaligus dalam satu masa. Lima perkara itu akan terealisasi pada diri seseorang seiring dengan perjalanan masa apabila dia melakukan syarat pertama, iaitu mengikuti berita secara terus-menerus.

Jadi, kelima-lima perkara tersebut tidaklah direalisasikan secara khusus melalui kajian atau studi, walaupun kajian atau studi akan meningkatkan tahap kemampuan berfikir politik. Yang penting adalah melakukan syarat pertama dan asas, iaitu mengikuti berita secara terus-menerus. Jika ini direalisasikan, empat syarat berikutnya akan terwujud secara semula jadi, seiring dengan peredaran masa dan pengalaman.

Justeru, walaupun berfikir politik itu sukar dan tinggi, ia masih berada dalam jangkauan kemampuan semua orang; apa sahaja taraf pemikirannya—sama ada biasa, cerdas, atau genius. Jadi, semua orang mampu berfikir politik dan dengan itu, mampu menjadi ahli politik. Syarat utamanya ialah dia mengikuti berita secara terus-menerus tanpa terputus. Sebab, peristiwa atau berita itu sebenarnya adalah kumpulan mata rantai yang saling sambung-menyambung. Jika terputus satu mata rantai, maka suatu peristiwa atau berita tidak lagi dapat difahami dengan baik dan sempurna.

Urgensi Berfikir Politik

Berfikir politik seperti yang diterangkan di atas amat penting untuk dimiliki dan diwujudkan oleh umat Islam. Oleh itu, perlu ada usaha untuk mewujudkan berfikir politik ini di kalangan umat Islam, bukan hanya pada diri individu-individu tertentu—seperti negarawan, pemimpin parti politik, pemikir, atau ahli politik—dari kalangan umat Islam. Tanpa adanya berfikir politik tidak akan terwujud pemerintahan yang baik,  kebangkitan umat, dan kelayakan atau kemampuan pemerintahan Islam untuk membawa risalah Islam kepada pelbagai umat dan bangsa lain.

Inti hujahnya sebenarnya jelas, iaitu kuasa pada hakikatnya berada di tangan umat. Umatlah yang memilih siapa yang akan menjadi penguasa mereka dan umatlah yang akan mengawasi perjalanan roda kekuasaan dalam sebuah pemerintahan Islam. Oleh itu, mesti ada pendidikan politik bagi rakyat. Caranya ialah dengan menyediakan pelbagai maklumat dan berita politik serta dengan membina umat dengan pelbagai pemikiran-pemikiran politik yang sahih, iaitu pemikiran politik Islam.

Tanpa berfikir politik yang benar atau akibat berfikir politik yang lemah dan buruk, keadaan dan nasib buruklah yang akan menimpa umat Islam. Tanpa berfikir politik yang sahih, umat Islam akan terhalang daripada usaha membebaskan diri daripada cengkaman hegemoni imperialisme yang kejam. Tanpa berfikir politik yang sahih, umat Islam juga akan terhalang dari proses kebangkitannya untuk menjadi umat terbaik yang diciptakan Allah untuk seluruh umat manusia.

Shiddiq al-Jawi, Staf Pengajar SEM Institute, tinggal di Yogyakarta

[i]      Kitab At-Tafkîr itu sendiri pada dasarnya membincangkan 4 (empat) topik, iaitu: (1) definisi berfikir; (2) metod-metod berfikir; (3) sepuluh contoh aktiviti berfikir; (4) berfikir untuk memahami teks-teks.

[ii]     Taqiyuddin an-Nabhani, At-Tafkîr, halm. 123.

[iii] “Boyce Komentari Bom Bunuh Diri,”  www.detik.com.

[iv]  “Bom Bunuh Diri Lagi, Kofi Annan Kecam Israel & Palestina,”  http://www.detik.com.

[v]     Taqiyuddin An Nabhani , op.cit., hal. 26.

[vi]     Walaupun Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani lebih menekankan berfikir politik pada teks-teks berita dan peristiwa politik, beliau juga memberi perhatian pada berfikir politik pada teks-teks pemikiran-pemikiran politik. Dalam kitab At-Tafkîr, An-Nabhani mengatakan bahawa mereka yang mengkaji pemikiran-pemikiran politik Barat mesti waspada dan sedar kerana pemikiran-pemikiran tersebut mengandungi pelbagai kesalahan, penyesatan, dan ketidaksesuaian dengan fakta (hal. 156 dan 160). An-Nabhani berpandangan bahawa semua itu lahir terutamanya kerana asas pemikiran politik Barat adalah idea pemisahan agama dari negara (sekularisme) yang seterusnya melahirkan dominasi prinsip jalan tengah (kompromi, moderasi). An-Nabhani mengemukakan tiga contoh pemikiran yang sarat dengan prinsip jalan tengah, iaitu masalah kepimpinan politik, kedaulatan, dan pemisahan autoriti gereja dan autoriti negara di Barat (hal. 156-159). Prinsip jalan tengah ini, dalam perspektif sosiologi, disebut pendekatan struktural-fungsional yang menekankan konsensus umum dalam masyarakat, bukan konflik-konflik seperti dalam pendekatan Marxian. Tokoh pendekatan sosiologi ini terutamanya adalah Talcott Parsons dari Harvard, dalam bukunya The Structure of Social Action, Glenco : The Free Press, 1937. Pendekatan konsensus ini pada hakikatnya bertujuan untuk mempertahankan status quo bagi kepentingan Barat, atau tegasnya, mempertahankan negara-negara Dunia Ketiga untuk kekal berada dalam jajahan negara-negara Barat yang kafir dan imperialis.

[vii]    Misalnya frasa “pindaan keempat” yang akan dilakukan oleh MPR RI dalam Sidang Tahunan bulan Ogos 2002. Frasa “pindaan keempat” itu hampir-hampir tidak difahami bagi orang yang tidak mengikuti aktiviti MPR yang telah meminda Perlembagaan 1945 sejak 1999 (pindaan pertama).

[viii]   Untuk memahami Krisis Palestin misalnya, kita mesti mengetahui letak geografinya, sejarahnya, baik sejarah Tanah Syam pada masa lalu (masa Khalifah Umar ibn al-Khattab) mahupun sejarah kekinian seperti sejarah gerakan zionisme dan penubuhan Israel, pelbagai aspek politiknya seperti garis dasar AS terhadap Timur Tengah, konflik-konfliknya, perang-perangnya, serta pelbagai rundingan dan perdamaiannya (misalnya perjanjian Oslo, Wye River, dan lain-lain), dan sebagainya. Krisis Palestin tidak boleh difahami dengan utuh jika kita buta daripada pengetahuan-pengetahuan asas seperti itu.

[ix]    Misalnya, kenyataan Ketua Polis Negara Da’i Bachtiar bahawa bantuan Amerika Syarikat yang dijanjikan kepada Indonesia sebanyak 50 juta dolar AS untuk memerangi terorisme tidak disertai dengan suatu komitmen atau persyaratan tertentu kepada pemerintah Indonesia atau Polis Negara. Ketua Polis Negara berkata, “Bantuan itu adalah bantuan saling menguntungkan antara pemerintah Indonesia dengan AS. Tidak ada satu komitmen atau persyaratan tertentu, misalnya pemerintah Indonesia atau Polis Negara mesti melakukan ini dan itu,” katanya menjawab media di Bangunan MPR/DPR Senayan Jakarta, Sabtu (3/8/02) (www.republika.co.id, 3/8/02). Kenyataan ini sukar dipercayai, kerana kenyataan Ketua Polis Negara mesti dikaitkan dengan konteks dasar global AS hari ini (terutama sejak peristiwa 11 September 2001) untuk memerangi terorisme versi AS, yang di Indonesia terwujud dalam bentuk, misalnya, penangkapan Ja’far Umar Thalib, penjatuhan hukuman yang telah tamat tempoh kepada Abu Bakar Ba`asyir, rekayasa kes Agus Dwikarna di Filipina, dan sebagainya. Bandingkan dengan kenyataan Hikmatyar ketika dia berjihad melawan Rusia dengan bantuan senjata AS. Hikmatyar ditanya, “Adakah Amerika memberikan bantuan senjata tanpa syarat?” Hikmatyar menjawab, “Siapa yang mengatakan kepada kamu hal tersebut? Amerika tidak akan memberikan senjata kecuali dengan syarat!” (Lihat Abu Usaid, “Ma Yata’allaqu bi at-Tahlîl as-Siyâsi wa al-Fahm as-Siyâsi wa al-Qiyâdah as-Siyâsiyah,” Al Wa’ie, No. 174, Rejab 1422 H/Oktober 2001).

Ini adalah contoh untuk memahami berita yang mesti dikaitkan dengan konteks-konteksnya. Sementara itu, contoh generalisasi yang menyesatkan, seperti generalisasi bahawa “agama adalah punca konflik”, yang disimpulkan dari kes-kes tertentu seperti Kes Ambon, Intifada melawan Israel di Palestin, dan sebagainya. Generalisasi itu benar-benar menyesatkan dan mempunyai niat tertentu. Menyesatkan, kerana berapa banyak konflik atau perang yang motifnya bukan agama, tetapi kerana cita-cita kapitalis, seperti Perang Dunia I, Perang Dunia II, Perang Vietnam. Dikatakan mempunyai niat tertentu, kerana generalisasi itu bertujuan busuk dan keji untuk menghapuskan ajaran yang paling tinggi dalam Islam, iaitu jihad fi sabilillah.

[x]   Misalnya berita yang intinya ialah “Dalang pengeboman WTC ialah Osama bin Laden atau Al-Qaeda” yang digembar-gemburkan oleh kerajaan AS di seluruh dunia melalui rangkaian medianya. Benar atau tidaknya bahan berita itu memerlukan pemeriksaan secara teliti. Rupa-rupanya, banyak pihak yang kemudiannya tidak mempercayai pembohongan itu. Vision TV Kanada menerbitkan laporan penyiasatan bahawa mereka yang terlibat dalam peristiwa 11 September 2001 sebenarnya adalah CIA-Pentagon-White House sendiri (http://www.republika.co.id, 29/01/2002). Malah Pengarah FBI Robert Mueller sendiri mengakui pada 19 April 2002 bahawa pihaknya belum menemui sebarang bukti berhubung penglibatan Osama bin Laden dan Al-Qaeda dalam peristiwa 11 September (http://www.republika.co.id, 20/05/2002)

[xi]    Kaitan antara berita ini misalnya adalah mengaitkan berita mengenai pemberian bantuan AS kepada Filipina sebanyak 55 juta dolar AS untuk memerangi terorisme domestik (www.detik.com) dengan pemberian bantuan AS kepada RI sebanyak 50 juta dolar AS untuk tujuan yang sama. Hal ini jelas menunjukkan adanya rekayasa global AS dengan memanfaatkan negara-negara ejennya untuk membasmi terorisme (versi AS). Berita-berita tersebut boleh juga dikaitkan dengan kebimbangan Setiausaha Pertahanan AS Donald H. Rumsfeld bahawa militan-militan Al-Qaidah dan Taliban ramai yang bersembunyi di negara-negara di luar Afghanistan dan bahawa Al-Qaeda akan berkembang di Indonesia yang disifatkannya sebagai “tempat yang membimbangkan” (worrisome place) (www.detik.com, 06/08/2002).  

Sumber:

https://www.globalmuslim.web.id/2011/01/berfikir-politik.html

 

Exit mobile version