Lidah boleh melukakan hati manusia tanpa melukakan badan. Luka hati meninggalkan bekas, ia tidak mudah hilang kecuali di kalangan muttaqin yang selalu ingat akan kebaikan orang lain terhadap dirinya dan tidak lupa berhutang budi dengan orang lain malah dengan ikhlas dia melupakan segala jasa dan kebaikan yang pernah diberikan kepada orang Iain.
Jika suami isteri berakhlak seperti itu, rumah tangga mereka akan menjadi syurga dunia. Sebaliknya, jika mereka rajin menghitung jasa dan kebaikan diri kepada orang lain, rumah tangga atau persahabatan mereka akan kehilangan mawaddah wa rahmah dan akan lahir dengan subur kebencian serta kedengkian, pada ketika itu pihak ketiga akan turut serta meniupkan api permusuhan.
Saidina Umar adalah seorang sahabat yang dikatakan oleh Rasulullah bahawa syaitan segan untuk mengganggunya. Dia seorang yang kuat dan keras tetapi dia tetap manusia.
Sewaktu dia tersinggung oleh ucapan Abu Bakar, hatinya terluka, dia pulang dan dia meninggalkan Abu Bakar untuk menjaga hatinya terluka agar tidak bertambah parah. Kesempatan ini tidak dijadikan oleh syaitan untuk memperlagakan mereka. Abu Bakar menyesal, salah atau benar tindakan dan sikap dirinya tidak menjadi pertimbangan yang sebenar.
Abu Bakar pergi ke rumah Umar untuk meminta maaf kerana dia merasa bersalah. Dia tidak membiarkan perasaan buruk itu menghantui dirinya sendiri kerana hati nurani sentiasa jujur, dia mengakui kesalahan dan kekeliruannya walaupun lidahnya menyangkal.
Yang penting bukan cinta tapi dicintai. Cinta yang tidak berbalas akan berubah menjadi azab, menjadi seksaan jiwa kerana yang menjadi kenikmatan itu adalah dicintai orang, dan yang mendorong untuk berkorban adalah cinta.
Abu Bakar merasa jiwanya terseksa tatkala dia ditolak oleh Umar. Umar tidak mahu memaafkannya. Dia tidak kuat menahan pedihnya hati kerana niat baiknya tidak diterima. Kemudian dia pergi menghadap Rasulullah saw.
Benar firasat Rasulullah saw, beliau mengetahui Abu Bakar datang membawa sesuatu yang berat di dalam hatinya. Setelah menerima keterangan dari Abu Bakar dan juga pengakuan atas kesalahan yang telah dia lakukan, dia menyatakan sangat menyesal atas kejadian itu maka Rasulullah merasa sangat prihatin. Beliau mengenang kebaikan kedua-dua sahabat terkemuka itu, beliau berat kepada mereka berdua yang kini terseksa batinnya.
Di antara yang diucapkan oleh Abu Bakar ialah,
يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّهُ كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَ عُمَرَ شَيْءٌ، فَأَسْرَعْتُ إِلَيْهِ، ثُمَّ إِنِّي نَدِمْتُ عَلَى مَا كَانَ مِنِّي إِلَيْهِ، فَسَأَلْتُهُ أَنْ يَغْفِرَ لِي، فَأَبَى عَلَيَّ، فَتَبِعْتُهُ الْبَقِيعَ كُلَّهُ، حَتَّى تَحَرَّزَ بِدَارِهِ مِنِّي، وَأَقْبَلَتُ إِلَيْكَ
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya antara aku dan Umar telah terjadi sesuatu (ada ucapanku yang membuat Umar marah). Aku pun segera pergi kepadanya dan menyesali apa yang telah aku lakukan kepadanya. Aku meminta maaf kepadanya, tetapi dia menolak. Maka aku mengikutinya sehingga mengililingi kampung Baqy, malah ketika tiba di rumah pun dia mengelak dariku. Kini aku menghadap kepadamu.” (HR Bukhari dari Abu Darda)
Kemudian Rasulullah berdoa dan meyakinkan bahawa Allah pasti akan mengampunkan mereka. Beliau mengucapkan doa itu sebanyak tiga kali. Kemudian Umar juga menyesal atas perbuatannya kerana dia menutup pintu ketika Abu Bakar datang meminta maaf. Kemudian dia pergi ke rumah Abu Bakar tetapi ternyata Abu Bakar tidak ada di rumahnya. Kemudian dia pergi ke rumah Rasulullah dan di sana mereka bertemu.
Kedua-dua sahabat itu tidak menghitung jasa dan tidak juga saling membela diri bahawa dia yang paling benar sementara yang lain salah tetapi sebaliknya.
Abu Bakar berkata,
يا رَسولَ اللَّهِ، واللَّهِ أنَا كُنْتُ أظْلَمَ
“Demi Allah wahai Rasulullah, akulah yang paling bersalah.” (HR Bukhari)
Ungkapan tulus ini diucapkan kerana dia tidak ingin Rasulullah akan menyalahkan Umar. Abu Bakar ra sedar diri bahawa dia yang memulakan dan membuat persahabatan terganggu.
Dengan demikian, suasana menjadi kembali jernih. Mereka saling memaafkan dan kenikmatan persahabatan menghapus semua perasaan marah dan kedengkian berkat ketakwaan mereka yang mendorong untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah.
Kita mesti melupakan yang patut dilupakan dan tidak boleh melupakan akan sesuatu yang tidak boleh dilupakan iaitu kebaikan orang terhadap kita atau jasa-jasa baik mereka kepada masyarakat.
Tidak diragukan lagi bahawa para sahabat, semoga Allah meredhai mereka adalah manusia biasa. Mereka boleh marah dan berselisih sama seperti kebanyakan manusia tetapi mereka segera kembali kepada Al-Haq.
Sehubungan dengan kejadian itu, Rasulullah saw menerangkan kebaikan Abu Bakar,
إنَّ اللَّهَ بَعَثَنِي إلَيْكُمْ فَقُلتُمْ: كَذَبْتَ، وقَالَ أبو بَكْرٍ: صَدَقَ، ووَاسَانِي بنَفْسِهِ ومَالِهِ، فَهلْ أنتُمْ تَارِكُوا لي صَاحِبِي؟ مَرَّتَيْنِ، فَما أُوذِيَ بَعْدَهَا
“Sesungguhnya Allah mengutusku kepada kalian sebagai Rasul, lalu kalian waktu itu berkata, ‘Engkau dusta,’ tetapi Abu Bakar berkata, ‘Engkau benar.’ Dia membantuku dengan jiwa dan hartanya. Adakah kalian keberatan membiarkan sahabatku? Beliau mengucapkannya dua kali.
Setelah itu, Abu Bakar tidak pernah disakiti.” (HR Bukhari)
Sikap para sahabat sesuai dengan firman Allah SWT,
إنَّ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْاْ إِذَا مَسَّهُمْ طَٰئِفٌ مِّنَ ٱلشَّيْطَٰنِ تَذَكَّرُواْ فَإِذَا هُم مُّبْصِرُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya).” [TMQ Al-A’raf(7): 201].
Sumber: https://t.me/renunganhikmah/60

