Site icon MuslimahHTM News

Kewajipan Berjilbab Tidak Patut Dipersoalkan

Kewajipan Menutup Aurat

Di antara tuntunan syariat Islam adalah perintah kepada kaum muslimah untuk menutup aurat dengan tudung (khimar – yang menutup kepala dan dada mereka) serta jilbab (yang menutupi seluruh tubuh mereka kecuali wajah dan kedua telapak tangan). Bagi seorang muslimah, menutup aurat dengan memakai tudung (khimar) dan berjilbab ini tentu saja menjadi salah satu pembuktian keimanannya kepada Allah Swt. dan Rasul-Nya. Penyebabnya jelas, kerana bertudung (khimar) dan berjilbab memang merupakan salah satu dari ketentuan syariat Allah Swt. dan Rasul-Nya. Allah Swt. berfirman,

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا…

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) tampak pada diri mereka….’” [TMQ An-Nur (24): 31].

Ibnu Abbas ra. menyatakan yang dimaksud dengan frasa illâ mâ zhahara minhâ dalam ayat di atas adalah muka dan telapak tangan. Imam Ath-Thabari juga menyatakan, “Pendapat yang paling kuat dalam masalah ini adalah pendapat yang menyatakan bahawa sesuatu yang biasa tampak (pada wanita) adalah muka dan telapak tangan.” (Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Tafsîr al-Qur’ân, XVIII/94).

Menurut Imam An-Nasafi, yang dimaksud dengan “az-zînah” (perhiasan) di sini adalah “mawâdhi az-zînah” (tempat perhiasan). Ertinya, ayat di atas bermakna, “Janganlah kalian menampakkan anggota tubuh yang biasa digunakan untuk mengenakan perhiasan, kecuali yang biasa tampak; yakni muka, kedua telapak tangan, dan dua mata kaki.” (An-Nasafi, Madârik at-Tanzîl wa Haqâ’iq at-Ta’wîl, 2/411).

Kewajipan Jilbab dan Khimar

Wanita muslimah wajib berjilbab dan bertudung (khimar) tatkala keluar dari rumah menuju kehidupan umum. Jilbab berbeza dengan tudung (khimar).

Kewajipan mengenakan tudung (khimar) didasarkan pada firman Allah Swt.,

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

“Katakanlah kepada kaum wanita mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa tampak pada diri mereka, dan hendaklah mereka memakai tudung (khimar) yang menutup kepala hingga menutupi dada mereka.” [TMQ An-Nur (24): 31].

Menurut Imam Ibnu Mandzur di dalam kitab Lisân al-‘Arab: Al-Khimar li al-mar’ah: an-nâshif (khimar) bagi perempuan adalah an-nâshif [penutup kepala]). Menurut Imam Ali ash-Shabuni, khimar (kerudung) adalah ghitha’ ar-ra’si ‘ala shudur (penutup kepala hingga mencapai dada) agar leher dan dadanya tidak tampak.

Adapun kewajipan berjilbab bagi muslimah ditetapkan berdasarkan firman Allah Swt.,

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ…

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri kaum mukmin, ‘

Hendaklah mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka….’” [TMQ Al-Ahzab (33): 59].

Di dalam Kamus Al-Muhîth dinyatakan, jilbab itu seperti sirdab (terowongan) atau sinmar (lorong), yakni baju atau pakaian longgar bagi wanita selain baju kurung atau kain apa saja yang dapat menutup pakaian kesehariannya seperti halnya baju kurung. Dalam Kamus Ash-Shahhah, al-Jauhari mengatakan, “Jilbab adalah kain panjang dan longgar (milhafah) yang sering disebut dengan mula’ah (jubah).”

Kewajipan berjilbab bagi muslimah ini juga diperkuat oleh riwayat Ummu ‘Athiyah yang berkata, “Pada dua hari raya kami diperintahkan untuk mengeluarkan wanita-wanita haid dan gadis-gadis pingitan untuk menghadiri jemaah kaum muslim dan doa mereka. Namun, wanita-wanita haid harus menjauhi tempat solat mereka. Seorang wanita bertanya, ‘Wahai Rasulullah, seorang wanita di antara kami tidak memiliki jilbab (bolehkah dia keluar)?’ Lalu Rasul saw. bersabda, ‘Hendaklah kawannya meminjamkan jilbabnya untuk dipakai wanita tersebut.’” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Andaikan berjilbab bagi muslimah tidak wajib, nescaya Nabi saw. akan mengizinkan kaum muslimah keluar dari rumah mereka tanpa perlu berjilbab. Hadis ini juga menegaskan kewajipan berjilbab bagi para muslimah.

Tidak Patut Dipersoalkan

Kerana itu jelas, sebagai kewajipan syariat bagi muslimah, jilbab tidak layak dan tidak patut dipersoalkan. Apalagi, sebagai bahagian dari hukum syariat, pastinya banyak hikmah dari pengamalan kewajipan berjilbab bagi muslimah ini. Sebabnya, jelas seluruh hukum syariat pasti mendatangkan rahmat (maslahat) bagi manusia (Lihat: TMQ Al-Anbiya‘ (21): 107].

Kerana itu, tentu kita pun meyakini bahawa perintah Allah Swt. kepada para wanita untuk berbusana muslimah (memakai tudung dan berjilbab) pasti mempunyai banyak kebaikan/manfaat sekaligus menghindari banyak keburukan/mudarat, khususnya bagi pemakainya dan umumnya bagi masyarakat.

Penggunaan jilbab dalam kehidupan umum akan mendatangkan kebaikan bagi semua pihak. Tidak hanya bagi kaum perempuan. Dengan tubuh yang tertutup jilbab, kehadiran wanita jelas tidak akan membangkitkan berahi lawan jenisnya. Berbeza halnya saat kaum wanita biasa terbuka auratnya. Penyebabnya, naluri seksual tidak akan muncul dan menuntut pemenuhan jika tidak ada stimulus yang merangsangnya.

Dengan demikian, kewajipan berjilbab telah menutup salah satu celah yang dapat mengantarkan manusia terjerumus ke dalam perzinaan atau pemerkosaan. Realiti ini membuktikan kebenaran ayat tentang kewajipan berjilbab di atas: Dzâlika adnâ an yu’rafna falâ yu’dzayn (Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal sehingga mereka tidak diganggu).

Oleh kerana itu, jilbab dapat lebih melindungi wanita muslimah, membuatkan mereka lebih merasa selamat, menjaga diri mereka dari gangguan lelaki yang suka mengganggu, menjaga mereka dari objek pandangan lelaki yang hanya ingin ‘cuci mata’, menjaga diri mereka dari objek syahwat lelaki, menghindarkan diri mereka dari zina mata dan zina hati, dan lain-lain.

Bagi wanita, jilbab juga dapat mengangkat mereka pada darjat kemuliaan. Dengan aurat yang tertutup rapat, penilaian terhadap wanita lebih terfokus pada keperibadiannya, kecerdasannya, profesionalismenya, serta ketakwaannya. Bukan pada fizik atau tubuhnya.

Ini berbeza jika wanita tampil “terbuka” dan sensual. Penilaian terhadap wanita lebih tertuju pada fizik dan tubuhnya. Penampilan seperti itu juga hanya akan menjadikan wanita begitu rendah. Hanya dipandang sebagai seketul daging yang memenuhi hawa nafsu kaum lelaki saja.

Dengan memakai tudung (khimar)dan berjilbab sesuai tuntunan syariat, seorang muslimah sesungguhnya sedang memposisikan dirinya sebagai wanita terhormat. Ini kerana, dengan itu, penilaian dan penghormatan masyarakat kepada dirinya bukan lagi dari sisi fizik dan tubuhnya, tetapi dari sisi ketakwaannya, kecerdasannya, prestasinya, dan segala hal yang menunjukkan kualiti peribadinya.

Bandingkan dengan para wanita Barat sekular yang rata-rata dianggap bernilai lebih kerana faktor tubuh dan kecantikan fiziknya. Makin cantik dan makin seksi seorang wanita, ia akan dianggap makin terhormat dan disebabkan itu dia lebih dihargai, paling tidak secara materi. Padahal, sedar ataupun tidak, hal demikian hanya menjadikan wanita dieksploitasi tubuhnya demi kepuasan material segelintir orang.

Bagi seorang muslimah, bertudung (khimar) dan berjilbab secara syarie juga dapat menjadi pembuktian atas kesolehan dirinya—tentu jika keputusannya bertudung (khimar) dan berjilbab dilandaskan pada faktor keimanannya dan ketaatannya pada syariat Islam.

Selain itu, tudung (khimar) dan jilbab yang ia pakai berpotensi menjadi “benteng” perilaku bagi dirinya sehingga ia akan berfikir seribu kali untuk melakukan tindakan-tindakan yang menyimpang yang bertentangan dengan citra tudung (khimar) dan jilbab sebagai pakaian takwa. Muslimah itu, misalnya, akan merasa malu jika akhlaknya buruk; sementara dia adalah wanita muslimah yang akan bertudung (khimar) dan berjilbab walau di mana dia berada.

Sebaliknya, dengan tudung (khimar) dan jilbab yang selalu melekat pada dirinya dia akan berusaha tampil dengan akhlak yang mulia.

Dengan memahami seluruh paparan di atas, sejatinya siapa pun yang mengaku muslim tidak akan berani sedikit pun mempersoalkan kewajipan berjilbab bagi muslimah. Wallahualam bissawab.

Hikmah:

Rasulullah saw. bersabda,

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُوْنَ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

“Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, seseorang di antara kalian tidak beriman hingga hawa nafsunya mengikuti (risalah) yang aku bawa.” (HR Muslim).

Sumber: Buletin Kaffah No. 255 (14 Muharam 1444 H – 12 Ogos 2022)

Exit mobile version