Kejayaan Bani Umayyah pada Zaman Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik
Penulis: Nabila Ummu Anas
Setelah Abdul Malik bin Marwan wafat, maka umat Islam membaiat Al-Walid bin Abdul Malik menjadi khalifah. Sebagai anak sulungnya, Abdul Malik telah mendidik Al-Walid agar bersedia menjadi pemimpin yang berakhlak mulia. Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, selain perhatiannya yang besar terhadap penghafaz al-Quran, dia juga terkenal dalam melakukan pelbagai pembaharuan sosial, pembangunan, dan ekonomi yang luar biasa di dalam negeri.
Mencintai Al-Quran
Khalifah Al-Walid sangat mencintai al-Quran, banyak membacanya dan memotivasi masyarakat untuk menghafalnya dengan memberi mereka hadiah. Ibrahim bin Abu Ablah menceritakan tentang Al-Walid bin Abdul Malik memberinya beberapa keping perak untuk diagihkan kepada penghafal al-Quran di Baitulmaqdis.
Ath-Thabari meriwayatkan bahawa seorang lelaki dari Bani Makhzum meminta kepada khalifah Al-Walid untuk membayarkan hutangnya kepada seseorang. Al-Walid berkata, “Tentu saja jika engkau layak mendapatkannya.”
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin aku tidak berhak mendapatkannya dengan persaudaraanku denganmu?” Al-Walid bertanya, “Apakah engkau menghafal al-Quran?”
“Tidak,” jawab lelaki itu. Al-Walid berkata, “Kalau begitu, mendekatlah kepadaku.” Lelaki itu pun mendekatinya, lalu Al-Walid melepas serbannya dengan sebilah kayu yang digenggamnya. Dia kemudian mengetuknya beberapa kali dengan kayu itu dan berkata kepada lelaki itu, “Bawalah semua ini dan jangan lepas sebelum al-Quran dihafal.”
Melihat itu, Uthman bin Yazid bin Khalid segera berdiri dan berkata, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya aku mempunyai hutang yang harus kubayar.” “Apakah engkau menghafal al-Quran?” tanya Al-Walid. “Ya,” jawab Uthman bin Yazid.
Khalifah Al-Walid memintanya untuk membaca sepuluh ayat dari surah Al-Anfal dan sepuluh ayat surah Bara’ah (At-Taubah). Setelah Uthman bin Yazid membacanya, Al-Walid berkata, “Ya, kami akan membayar hutangmu dan menyambung silaturahim denganmu kerana itu.”
Membina Pembangunan dan Infrastruktur untuk Rakyat
Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik merenovasi Masjid Nabawi dan memperluaskannya dari semua penjuru serta memasukkan beberapa bilik isteri-isteri Nabi ke dalam kawasan masjid. Beliau tidak teragak-agak mengeluarkan dana yang besar untuk menjadikan Masjid Nabawi kelihatan jauh lebih indah dan mengagumkan.
Beliau mempercayakan pelaksanaan projek ini kepada sepupunya yang juga Datuk Bandar Madinah, Umar bin Abdul Aziz, yang kemudiannya menugaskan Shalih bin Kaisan untuk mengawasi pembinaan Masjid Nabawi. Khalifah Al-Walid menghantar pelbagai marmar dan mozek serta menyediakan lapan puluh pakar bangunan dari negeri Syria dan Mesir.
Al-Walid menjadikan pembinaan Masjid Nabawi ini sebagai salah satu simbol keagungan seni bina Islam. Dia sengaja menghiasinya dengan sebaik mungkin supaya nampak megah dan menampakkan keagungan Islam. Pembinaannya menghabiskan dana yang cukup besar sehingga mengundang kritikan masyarakat.
Kepada mereka, khalifah Al-Walid berkata, “Wahai penduduk negeri Syam, kalian mempunyai empat perkara untuk kalian banggakan. Baiklah, aku ingin membuatkan yang kelima untuk kalian.”
Pembinaan Masjid Damsyik ini menghabiskan seluruh zaman pemerintahan Al-Walid, bahkan masih bersisa beberapa bahagian yang belum selesai, yang akhirnya disiapkan oleh Sulaiman bin Abdul Malik, adiknya.
Selain memberi perhatian yang besar terhadap pembinaan masjid, Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik juga turut memberi perhatian kepada pembaikan jalan raya, terutama laluan ke negeri Hijaz agar memudahkan perjalanan jemaah haji ke Baitul Haram.
Oleh itu, khalifah mengirim surat kepada Umar bin Abdul Aziz supaya memudahkan perkhidmatan, menggali telaga, membuat paip dan seumpamanya, menyediakan kaki tangan serta menyediakan minuman kepada jemaah haji daripadanya.
Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik juga sangat mengambil berat tentang pampasan kepada OKU. Kepada mereka khalifah berkata, “Kalian jangan meminta-minta!”
Khalifah juga menyediakan seorang kakitangan yang dibayar oleh negara bagi setiap orang cacat. Begitu juga terhadap orang buta, khalifah menyediakan pemandu kepada mereka.
Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik juga membina hospital pertama dalam sejarah Islam. Orang kurang upaya dan golongan yang memerlukan juga diberi tempat tinggal. Mereka ditempatkan di rumah anak yatim di mana pengurusnya dibayar dan disediakan kemudahan oleh negara.
Zaman Al-Walid bin Abdul Malik merupakan zaman kemakmuran dan kemajuan yang gemilang. Rakyatnya menikmati kehidupan dengan kemakmuran, ketenangan, kestabilan keselamatan dan ekonomi, serta pembangunan dan tamadun dalam negeri.
Sumber : Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar.
#TarikhKhulafa
#KhalifahAlWalidbinAbdulMalik
#ZamanKegemilanganIslam
#BaniUmayyah
#MencintaiAlQuran
#RakyatHidupSejahtera

