Hindun binti Utbah, Pejuang Perang Yarmouk
Sebelum Islam masuk ke hatinya, dia seorang pembenci Islam. Setelah Islam menyelusup ke lubuk hatinya, dia menjadi pembela Islam yang berani. Inilah kisah seorang sahabiyah yang cerdas, tangguh, fasih, fasih berbahasa, pandai dalam ilmu sastera dan juga bersyair. Beliau adalah ibunda kepada Khalifah Bani Umayyah, Mu’awiyah bin Abu Sufyan ra.
Nama lengkapnya ialah Hindun binti Uthbah bin Rabi’ah bin Abdi Syams bin Abdi Manaf al-Umawiyah al-Qurasyiyah, sosoknya dikenali sebelum dan selepas kedatangan Islam. Ibunya bernama Shafiyyah binti Umayyah. Mu’awiyah mengungkapkan sifat ibunya, ”Ibuku adalah wanita yang sangat berbahaya pada zaman jahiliah dan dalam Islam menjadi seorang wanita yang mulia dan baik.”
Adz-Dzahabi menyebutkan Hindun seperti berikut, “Hindun termasuk wanita Quraisy yang paling cantik dan cerdas.” ”Beliau adalah seorang wanita yang berjiwa besar dan memiliki kehormatan,” kata Imam Ibnu Abdil Barr. Cahaya Islam mula meneranginya tatkala peristiwa penaklukan kota Mekah yang dikenali sebagai Fathul Mekah.
Hindun memeluk Islam
Dalam peristiwa perang Badar, orang-orang yang disayangi oleh Hindun terbunuh. Ayah, bapa saudara, dan saudara kandungnya, iaitu Utbah, Syaibah, dan Al-Walid bin Utbah tewas di tangan Hamzah, paman Nabi Saw. Sejak itu, dia menyimpan dendam terhadap Hamzah dan umat Islam.
Detik membalas dendam itu ditunaikan semasa Perang Uhud. Hamzah terbunuh di tangan Wahsyi, seorang hamba yang dijanjikan merdeka oleh tokoh Quraisy. Setelah pertempuran, Hindun dan beberapa wanita yang bersamanya menghitung jumlah korban yang terbunuh dari pihak umat Islam. Ketika itulah, Hindun merobek perut Hamzah, bapa saudara Rasulullah, dan mengeluarkan jantungnya, lalu mengunyahnya. Namun, dia tidak dapat menelannya sehingga memuntahkannya.
Berita ini kemudian disampaikan kepada Rasulullah saw. Nabi saw bersabda, “Seandainya dia menelannya, tentu dia tidak akan disentuh api neraka, kerana Allah mengharamkan neraka untuk menyentuh mana-mana bahagian daging Hamzah.”
Setelah peristiwa itu, Hindun tetap mempertahankan keyakinan syiriknya sehingga Allah membuka pintu hatinya untuk menerima Islam ketika terjadi peristiwa pembebasan kota Mekah. Setelah menyalakan api permusuhan selama lebih dari 20 tahun, Allah SWT membuka hatinya. Dia berkata kepada suaminya, Abu Sufyan, “Aku ingin menjadi pengikut Muhammad.” Abu Sufyan membalas, “Semalam, aku melihat engkau sangat benci mengucapkan kata-kata seperti itu.” Hindun berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah melihat pemandangan manusia menyembah Allah dengan sebenar-benarnya di dalam masjid, seperti yang aku lihat malam tadi. Demi Allah, mereka datang ke sana lalu menunaikan solat; berdiri, rukuk, dan sujud.”
Aisyah ra berkata, “Hindun datang kepada Nabi saw sambil berkata, ‘Wahai Rasulullah, demi Allah, selama ini tidak ada golongan di dunia ini yang paling aku harapkan agar Allah membinasakannya daripada golonganmu. Namun hari ini, tidak ada golongan di dunia ini yang paling aku harapkan agar Allah memuliakannya, daripada golonganmu.” Rasulullah saw membalas, “Begitu juga aku. Demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya.”
Peranan Hindun dalam Perang Yarmouk
Hindun mempunyai peranan besar dalam perang Yarmuk. Ibnu Jarir menyatakan, “Pada hari itu umat Islam bertempur habis-habisan. Mereka berjaya menewaskan pasukan Rom dalam jumlah yang sangat besar. Sementara itu, wanita menghalau setiap tentera Islam yang terdesak dan berundur dari medan perang. Mereka berteriak, ‘Kalian mahu pergi ke mana? Apakah kalian akan membiarkan kami ditawan oleh Pasukan Rom?’ Sesiapa pun yang mendapat kecaman pedas seperti itu, pasti akan kembali menuju medan pertempuran.”
Tentera muslim yang sebelumnya hampir melarikan diri, kemudian berperang kembali untuk membangkitkan pasukan yang lain. Mereka benar-benar terbakar oleh kecaman pedas yang dilaungkan oleh kaum wanita, terutama Hindun binti Utbah. Ketika itu juga, Hindun melihat suaminya berpusing dan melarikan diri. Hindun mengejar dan memukul muka kudanya dengan tongkat sambil berteriak, “Engkau mahu kemana, wahai anak Shakhr? Ayuh, kembali ke medan perang! Berjuanglah habis-habisan agar engkau dapat membalas kesalahanmu yang lalu, ketika engkau mengumpulkan kekuatan untuk menghancurkan Rasulullah saw.”
Zubair bin Al-’Awwam yang melihat semua kejadian itu berkata, ”Ucapan Hindun kepada Abu Sufyan itu mengingatkanku kepada peristiwa Perang Uhud, ketika kami berjuang di hadapan Rasulullah saw.” Begitulah Hindun. Membakar dan membangkitkan semangat jihad para pasukan muslim dengan kata-kata yang menusuk penuh makna.
Dari Hindun kita belajar, bagaimana keinsafan seorang hamba ditunjukkan dengan amalan yang menakjubkan. Wanita pemakan hati itu mengakhiri kisah hidupnya dengan keimanan dan pembelaan yang luar biasa terhadap Islam. Membenci bukan bererti tidak boleh mencintai. Ini kerana Allah Yang Maha Membolak-balikkan hati.
Hindun meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab ra. Dia terbaring di atas tempat tidur kematian dan melepaskan rohnya menghadap Allah SWT selamanya. Hindun meriwayatkan beberapa hadis dari Rasulullah saw. Beberapa orang meriwayatkan darinya seperti Muawiyah bin Abu Sufyan (anaknya) dan Aisyah Ummul Mukminin.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/08/24/10412/
#KisahInspirasi
#WanitaMulia
#PejuangIslam
#PerangYarmuok
#HindunBintiUtbah

