[Fikrul Islam] Pengumpulan Al-Quran pada Zaman Khalifah Abu Bakar
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Imam Bukhari dalam kitab sahihnya telah meriwayatkan bahawa Zaid bin Tsabit ra pernah berkata, “Ketika Perang Yamamah sedang berkecamuk, Abu Bakar meminta aku datang kepadanya. Apabila aku tiba di rumahnya, aku melihat Umar bin Khattab sudah berada di sana. Abu Bakar lalu berkata, ‘Umar datang kepadaku melaporkan bahawa Perang Yamamah semakin sengit dan ramai penghafal al-Quran yang gugur. Dia bimbang jika peperangan yang dahsyat itu akan mengakibatkan lebih ramai lagi penghafal al-Quran yang gugur. Oleh itu, dia berpendapat sebaiknya aku segera memerintahkan pengumpulan (kodifikasi) al-Quran.’ Aku berkata kepada Umar, ‘Bagaimana mungkin kita melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Rasulullah saw?’ Umar menyahut, ‘Demi Allah, itu (pengumpulan al-Quran) adalah kebajikan.’ Umar berkali-kali mendesak dan akhirnya Allah SWT lapangkan dadaku sehingga aku bersetuju dengannya.’
Zaid kemudian berkata, ”Abu Bakar berkata kepadaku, ‘Engkau adalah seorang pemuda yang cerdas dan terpercaya. Dahulu engkau bertugas sebagai pencatat wahyu bagi Rasulullah saw dan seterusnya engkau mengikuti al-Quran. Oleh itu, laksanakanlah tugas mengumpulkan al-Quran.’
Zaid berkata, “Demi Allah seandainya seseorang membebani kewajipan kepadaku untuk memindahkan sebuah gunung, aku tidak menyangka itu lebih berat daripada perintah mengumpulkan al-Quran yang diberikan kepadaku. Aku berkata kepada Abu Bakar ra, ‘Bagaimana kita boleh melakukan pekerjaan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah saw?’ Abu Bakar menjawab, ‘Demi Allah pekerjaan itu adalah kebajikan!’ Abu Bakar terus mengimbau sehingga Allah SWT lapangkan dadaku sebagaimana Allah SWT melapangkan dada bagi Abu Bakar dan Umar.”
“Kemudian aku mula bekerja untuk menelusuri ayat-ayat dan aku mengumpulkan dari catatan-catatan pada pelepah kurma, batu-batu dan di dalam dada para penghafal al-Quran. Pada akhir surah At-Taubah aku temui dalam Khuzaimah al-Anshariy, tidak pada orang lain iaitu firman Allah SWT, ‘Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul dan kaum kalian sendiri, dia turut merasakan betapa berat penderitaan kalian… [TMQ At-Taubah: 128–129].’
Lembaran-lembaran al-Quran itu berada pada Abu Bakar ra sehingga kewafatannya, kemudian berpindah ke tangan Umar, setelah Umar wafat, seluruh lembaran disimpan oleh Hafshah binti Umar.” (Sahih Al-Bukhari. “Fadhail Al-Quran”).
Justeru, al-Quran yang dihimpunkan oleh Zaid bin Tsabit adalah al-Quran yang telah ditulis oleh para penulis wahyu pada zaman Rasulullah saw, kemudian dikumpulkan dan dijahit. Abu Bakar menyebutnya sebagai mushaf. Demikianlah, mushaf ini telah diperoleh dengan ijmak umat dan yang ada di dalamnya bersifat mutawatir.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#FikrulIslam
#PengumpulanalQuran
#KhalifahAbuBakar
#AlQuran
#Mutawatir

