Apakah Ciri Wanita (Isteri) Terbaik Menurut Rasulullah ﷺ?
Penulis: Najmah Saiidah
Mana-mana wanita Islam pasti ingin menjadi wanita atau isteri terbaik yang dibanggakan oleh Rasulullah SAW. Terlalu banyak hadis yang menjelaskan perkara ini, walaupun konteksnya adalah kepada isteri. Ini bermakna, jika kita sudah berkahwin, maka kita boleh terus mengamalkannya.
Sedangkan jika belum berkahwin, kita boleh mempersiapkan diri dengan mengkaji dan memahaminya. Nanti ketika sampai masanya untuk berkahwin, kita dapat mengamalkannya. Insya Allah.
Dari Abu Hurairah RA, dia berkata,
قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ قَالَ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ
Pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Siapakah wanita yang paling baik?” Baginda menjawab, “Iaitu yang paling menggembirakan suami apabila dilihat, mentaati suami apabila diperintah, dan tidak membantah suami tentang diri dan hartanya pada perkara yang suaminya benci.” [HR An-Nasai dan Ahmad]
Jika diteliti hadis ini, jelaslah terdapat tiga perkara penting yang mesti ada pada seorang wanita atau isteri, iaitu yang menyenangkan apabila suaminya melihatnya, taat kepada suaminya, dan menjaga diri dan harta suaminya. Mari kita perincikan satu persatu.
- Menyenangkan jika dilihat oleh suami.
Seorang isteri sepatutnya menjadi penyejuk mata suami. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Umar bin Khattab RA bahawa isteri yang solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila memandangnya.
“Mahukah aku beritakan kepadamu tentang sebaik-baik perbendaharaan seorang lelaki, iaitu isteri solehah yang apabila dipandang akan menyenangkannya, bila diperintah akan mentaatinya, dan bila dia pergi isterinya akan menjaga dirinya.” [HR Abu Dawud]
Inilah ciri isteri yang baik, yang paling menyenangkan apabila dipandang, yang menjadi penyejuk mata suaminya, iaitu seorang isteri yang sentiasa berusaha untuk memperelok dan mempercantikkan dirinya ketika berada di hadapan suaminya atau setiap kali bersama dengan suaminya.
Islam bukan sahaja menyuruh isteri menghiasi dirinya dengan akhlak yang baik. Namun, Islam juga memerintahkan isteri untuk menjaga diri dan berpenampilan baik di hadapan suaminya, dan ia adalah sebahagian daripada hak suami yang wajib dipenuhi oleh isterinya. Oleh itu, berhias dan menjaga diri untuk suami termasuk ibadah dan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan kasih sayang.
Dari Jabir bin Abdillah RA, Nabi mengingatkan, “Apabila kamu pulang dari berpergian pada malam hari, maka janganlah kamu mendatangi isteri kamu sehingga dia sempat mencukur bulu kemaluannya dan menyisir rambutnya yang kusut.” [HR Bukhari]
An-Nawawi berkata, dalam hadis ini ada dalil bahawa isteri tidak boleh membuatkan suaminya lari daripadanya, atau melihat sesuatu yang tidak selesa pada isterinya sehingga menimbulkan permusuhan antara kedua-duanya. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa selagi suami berada di rumah, wanita hendaklah sentiasa berpenampilan baik dan menghias diri, melainkan suaminya tiada di sisi. [Syarh Sahih Muslim]
Isteri solehah yang menyayangi suaminya akan cuba menjaga dirinya untuk menyejukkan mata suaminya agar tidak memandang wanita lain yang bukan haknya. Dia berhias ketika berada di rumah. Apabila dia berada di samping suaminya, dia memakai minyak wangi yang menghangatkan deria bau suaminya dan dia tidak memakainya apabila dia keluar rumah.
Berhias bagi seorang isteri untuk suaminya adalah bernilai ibadah. Seorang isteri boleh berhias untuk suaminya pada bila-bila masa selagi tidak sampai mengabaikan kewajipannya.
Lebih dari itu, wajahnya memancarkan aura redup kerana sentiasa dicuci dengan air wuduk, dan lebih cantik dengan senyuman dan kata-kata yang menenangkan hati apabila bertemu dengan suaminya. Terpancar keikhlasan dan kesyukuran di wajahnya.
Wajah yang sentiasa tersenyum dan terpancar redup serta kata-kata yang baik inilah yang menggembirakan suami. Jadi, untuk menjadi wanita terbaik, sentiasa berikan suami senyuman terindah, kata-kata yang menenangkan, dan berhiaslah secantik mungkin untuknya.
- Taat apabila disuruh.
Taat kepada suami adalah salah satu kewajipan kita sebagai isteri. Dengannya kita dapat memenangi hati suami dan akan mendapat pahala dari Allah berupa syurga-Nya yang indah.
Banyak hadis yang menyuruh kita taat kepada suami. Malah, dalam satu hadis sangat ditegaskan bahawa apabila seorang isteri taat kepada suaminya, pintu syurga akan dibuka dan kita boleh masuk dari mana-mana pintu ke dalam syurga. Masya Allah, bukankah kita semua menginginkannya?
Dalam hadis yang lain dijelaskan bahawa salah satu ciri isteri yang solehah ialah taat apabila diperintah oleh suaminya. Rasulullah bersabda, “Bagi lelaki mukmin, setelah bertakwa kepada Allah SWT, tidak ada yang lebih bermanfaat baginya daripada isteri yang solehah, iaitu taat apabila disuruh, melegakan apabila dilihat, redha apabila diberi sedikit, dan menjaga kehormatan dirinya dan suaminya ketika suaminya tiada.” [HR Ibnu Majah]
Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga jenis keberuntungan (bagi seorang lelaki), iaitu memiliki isteri yang solehah, jika kamu melihatnya akan melegakan dan jika kamu berpergian, dia amanah dan menjaga kehormatan dirinya dan hartamu, dan jika diperintah, dia patuh kepadamu.” [HR Hakim]
Lebih dari itu, Allah SWT berfirman,
فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ
“Maka wanita-wanita yang soleh ialah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka).” [TMQ An-Nisa’ (4): 34]
Al-Quran menggunakan istilah as-salihaat, yang boleh diertikan sebagai isteri-isteri yang solehah. Dalam tafsir Ibnu Kathir dijelaskan, kata “qaanitaat” mempunyai makna “muthi’at li azwaajihinna” yang bermaksud taat kepada suami. Sedangkan Tafsir Fathul Qadir menambah, iaitu mereka yang taat kepada Allah, menjalankan hak-hak Allah, dan hak-hak suami. Sementara Al-Biqa’i dalam Nazmud Duror menjelaskan, iaitu ikhlas dalam ketaatan kepada suami.
Daripada penjelasan beberapa tafsir tersebut, dapat kita fahami bahawa perkataan qaanitaat ialah isteri yang taat kepada Allah dan suaminya dengan sebenar-benar taat, patuh dengan kepatuhan yang sempurna dengan hati yang ikhlas.
Namun, setinggi mana pun hormat, patuh, dan cinta kita kepada suami, sudah tentu kita tidak boleh melebihi cinta dan ketaatan kita kepada Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah akibat daripada keimanan.
Dalam hadis dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda, “Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga aku (Rasulullah) menjadi yang paling dicintainya daripada anaknya, ibu bapanya, dan manusia seluruhnya.” [HR Bukhari]
Oleh itu, ketaatan kepada suami adalah tidak mutlak. Maka tidak boleh mentaatinya dalam perkara maksiat. Sabda Rasulullah SAW.,
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Al-Khaliq.”
“Tidak ada kewajipan untuk taat jika diperintahkan untuk menderhaka kepada Allah. Kewajipan taat hanya ada dalam perkara kebaikan.” [HR Bukhari dan Muslim]
Dalam hadis yang lain dijelaskan bahawa terdapat larangan bagi suami untuk melarang isterinya mengunjungi masjid atau majlis-majlis ilmu, sudah tentu jika dia telah menunaikan segala kewajipannya.
Dari Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu (suami- suami) melarang wanita-wanita bahagiannya (isteri-isterinya) pergi ke masjid jika mereka meminta izin kepadamu.” [HR Muslim]
- Menjaga dirinya dan harta suaminya
Ciri ketiga wanita terbaik menurut Rasulullah SAW ialah menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya, terutama ketika suaminya tiada. Dia sentiasa menjaga pesanan suaminya dan tidak melanggar perkara yang dibencinya.
Apabila suami tidak bersamanya, seorang isteri wajib menjaga kehormatan dirinya daripada segala perkara yang buruk. Menjaga kehormatan diri sebagai muslimah dan sebagai seorang isteri juga bermakna menjaga pergaulannya dalam Islam.
Dia tidak boleh berdua-duaan (khalwat) dengan lelaki lain yang bukan mahramnya. Dia tidak boleh ikhtilath (bercampur aduk antara lelaki dan wanita yang bukan mahram) dan sentiasa menutup aurat.
Dia menjaga kehormatan diri dengan menjaga cara berjalannya di hadapan lelaki supaya tidak menggoda mereka. Dia tidak memakai minyak wangi yang boleh dihidu oleh lelaki lain dan membangkitkan keinginan tidak terpuji mereka. Dia menjaga suaranya, tidak mendayu-dayu terhadap lelaki lain yang bukan mahramnya. Dia juga tidak berhias berlebihan apabila keluar rumah atau bergurau berlebihan dengan kawan atau rakan sekerja lelaki, sama seperti dia tidak keluar rumah untuk tujuan yang tidak terlalu penting, terutamanya pada waktu malam.
Selain menjaga kehormatan dirinya, semasa tinggal berjauhan dengan suaminya, isteri juga wajib menjaga amanah suami berupa harta yang diamanahkan kepadanya. Seorang isteri hendaklah membelanjakan harta suaminya dengan cara yang makruf, dan tidak berlebihan atau di luar keperluan kecuali dengan izin suaminya.
Amanah kepada isteri ini jika dilaksanakan dengan baik akan menebalkan lagi cinta suaminya dan memberikan kebahagiaan hati yang tidak terkata. Sebaliknya, suami juga menunaikan hak isterinya dengan sempurna.
Bagi seorang suami, dia akan berasa tenang apabila terpaksa meninggalkan isterinya. Aman tenteram dan selamat untuk isteri yang tidak mungkin berbuat hina di belakangnya. Aman tenteram dan selamat pada harta yang benar-benar terjaga dan tidak dikeluarkan melainkan dengan izinnya. Aman tenteram dan selamat kerana kerja kerasnya selama ini telah dipelihara oleh seorang isteri yang faham syariat Islam.
Menjaga harta suami bermakna dia tidak menggunakan harta suaminya melainkan dengan izinnya atau dengan persetujuan kedua-duanya. Jika suami sangat kedekut, dia tetap tidak dibenarkan mengambil harta suaminya tanpa kebenaran kecuali untuk keperluan asasi dirinya dan anak-anaknya secukupnya. Setakat yang munasabah tanpa memudaratkan harta suaminya.
Wahai muslimah, jika kita semua mampu menunaikan tiga perkara ini, iaitu menyenangkan suami ketika dia melihat kita, selalu berusaha untuk mentaatinya, dan menjaga kehormatan diri dan harta suami, insya Allah kita akan menjadi wanita atau isteri yang terbaik sebagaimana yang diinginkan oleh Rasulullah SAW. Wallahu a’lam bis-sawab.
#keluargasakinah #perananisteri #muslimah #isterisolehah

