[Fikrul Islam] Dasar-dasar Pemahaman Syariat
Penulis: Ahmad Mahmud
Setelah menetapkan sumber-sumber penggalian syariat, jemaah atau parti dakwah mesti beralih pada usaha mengetahui tata cara berinteraksi sekaligus menggali dalil dari sumber-sumber tersebut. Dengan kata lain, jemaah atau parti dakwah hendaklah beralih pada usaha memahami kaedah-kaedah yang dapat mengantarkannya pada proses istinbat hukum dari sumber-sumbernya.
Seorang ahli fikih, ketika dihadapkan pada usaha untuk menggali hukum-hukum syariat, mestilah memahami kaedah-kaedah usul yang menjadi landasan hukum yang digalinya. Masalahnya, tidak ada ilmu tanpa adanya landasan yang menopang ilmu tersebut, baik ilmu itu tertulis atau tidak.
Nas-nas syariat ada yang bersifat umum (mujmal) dan ada yang bersifat rinci (munfashshal); ada yang mutlak (mutlaq) dan ada yang terikat (muqayyad). Di dalamnya ada perintah (‘amr) dan ada larangan (nahy); ada yang menghapus nas lain (nasakh) dan yang dihapus oleh nas yang lain (mansukh); ada yang difahami melalui logik persesuaian (mafhum muwafaqah) dan yang difahami melalui logik terbalik (mafhum mukhalafah); ada yang tekstual (mantuq), ada yang konseptual atau kontekstual (mafhum), dan ada juga yang masuk akal (ma’qul).
Di dalamnya juga ada khabar wahid yang dapat dijadikan hujah dan yang tidak dapat dijadikan hujah. Begitulah seterusnya. Dalam hal ini, jemaah atau parti dakwah wajib untuk menetapkan, menerapkan, sekaligus mengenal beberapa kaedah usul fikih baginya.
Berbagai kaedah usul fikih ini sebahagian besarnya masih meninggalkan beberapa kontroversi (bersifat khilafiah). Sesuatu yang sedia maklum bahawa setiap kaedah melahirkan banyak cabang. Ini kerana beberapa kaedah usul fikih masih bersifat khilafiah, jemaah atau parti dakwah hendaklah keluar dari lingkaran khilafiah ini dengan cara menerapkan kaedah-kaedah yang dianggap benar. Setelah menerapkan beberapa kaedah yang dianggap benar, barulah dilakukan usaha untuk memahami hukum-hukum cabang berdasarkan kaedah-kaedah tersebut.
Setelah memahami usul fikih dan berbagai kaedahnya, jemaah atau parti dakwah telah memiliki kemampuan untuk memahami syariat dari sumber-sumbernya. Setelah memiliki kemampuan seperti ini, tidak ada jalan lain bagi jemaah atau parti dakwah selain berusaha untuk mengikuti metod ijtihad yang telah dikenal dan sudah tetap.
Inilah perkara yang menjadi keistimewaan suatu jemaah atau parti dakwah berbanding jemaah atau parti lain. Ini juga yang mewajibkan jemaah atau parti dakwah terjun ke dalam masyarakat untuk membina para pemudanya. Inilah juga yang pertama kali wajib dilaksanakan oleh jemaah atau parti dakwah berdasarkan pada pemahamannya terhadap syariat.
Pekerjaan seorang mujtahid seperti pekerjaan seorang doktor. Yang pertama kali dilakukan oleh dirinya adalah mendengarkan cerita pesakit mengenai penyakit yang dihidapinya. Kemudian dia mengenal pasti penyakit utama yang dihidapi pesakit seterusnya bersikap kritis agar pesakit merasa tenang dengan gejala-gejala yang dihidapinya. Lalu, dia mengingat kembali ilmu yang pernah dipelajarinya semasa kuliah, kadang-kadang perlu merujuk kembali pada buku-buku yang dapat membantunya untuk melakukan proses rawatan. Setelah itu, baru dia melakukan proses pengubatan.
Jemaah atau parti dakwah yang ingin melakukan dan merealisasikan perubahan hendaklah melakukan perubahan secara Islami. Perubahan yang diusahakan wajib didasarkan pada dalil-dalil syariat, bukan didasarkan pada pendapat peribadi, hawa nafsu, kemaslahatan menurut anggapan akal, situasi, mahupun keadaan. Syariatlah yang wajib dijadikan sebagai pegangan oleh jemaah atau parti dakwah, bukan semata-mata kecintaan kepada Islam dan tindak balas yang kuat terhadap keadaan umat Islam.
Kemaslahatan umat Islam telah ditentukan oleh syariat. Maknanya, syariat datang untuk menciptakan kemaslahatan bagi umat Islam. Hal ini perlu pembahasan yang lebih jauh sehingga dapat dijelaskan bagaimana pandangan Islam terhadap aspek kemaslahatan dan bila suatu kemaslahatan dianggap sesuai dengan ketentuan syariat.
#FikrulIslam #pemahamanislam #syariatislam

