[Fikrul Islam] Kaedah Memahami Syariat Islam
Penulis: Ahmad Mahmud
Sesungguhnya aktiviti jemaah atau parti Islam dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam rangka menegakkan agama mestilah berlandaskan pada pengetahuan mengenai syariat yang diperlukan. Ini kerana sesungguhnya tidak ada amal sebelum ada ilmu, dan tidak ada ibadah kepada Allah kecuali dengan ilmu yang diiringi dengan niat ikhlas hanya untukNya.
Jika demikian halnya, lalu ilmu seperti apa yang dituntut oleh syariat yang perlu dimiliki oleh jemaah, dan tsaqafah apa yang wajib dipelajari serta ditabbani oleh para anggotanya sebagai bahan untuk mempersiapkan umat?
Berdasarkan pada ilmu yang mesti dimiliki oleh jemaah dan keterikatan jemaah dengan ilmu tersebut, sebagaimana tuntutan syariat, dilaksanakanlah aktiviti amar makruf nahi mungkar oleh jemaah atau parti ini. Jika jemaah/parti Islam melanggar apa yang secara syarie dituntut untuk dilakukan, mereka mesti dinasihati. Jika menyeleweng, mesti diluruskan.
Nasihat ini mesti dilakukan kepada jemaah/parti Islam seperti mana dilakukan kepada selainnya. Seluruh perkara mesti terikat dengan syariat Islam dan mengikuti nas-nas yang ada, tidak boleh ada pelanggaran, sementara nasihat mesti disampaikan semuanya.
Yang layak untuk diperkatakan terlebih dahulu dalam masalah ini ialah bahawa terdapat kaedah yang sudah standard dalam proses penggalian (istinbat) seluruh hukum-hukum syariat, baik yang berkaitan dengan usaha mengemban dakwah, ibadah, muamalah, uqubat atau hukuman, math’umat atau makanan, malbusat atau pakaian, mahupun akhlak.
Kaedah penggalian hukum-hukum syariat yang standard ini merupakan sesuatu yang inheren dengan Islam dan wataknya, bukan hasil dari kegeniusan dan kecerdasan kaum muslim. Hal ini kerana akidah Islam telah menetapkan kepada seorang muslim agar tidak mengambil hukum, meskipun hanya satu hukum, di luar hukum syariat dan agar pengambilan hukum yang dilakukan sesuai dengan apa yang telah ditentukan oleh nas yang ada.
Oleh kerana itu, diperlukan adanya kaedah yang dapat menjaga visi sebegini. Caranya adalah dengan membatasi pemahamannya agar selalu berada di dalam batasan wahyu semata, serta dengan mengintegrasikan sekaligus menyempurnakan pandangan terhadap akidah Islam dengan pandangan terhadap fikih dan segala aturannya.
Kaedah ijtihad yang standard ini sangat penting sehingga menempati barisan pertama tsaqafah Islam yang mesti dimiliki oleh jemaah atau parti Islam. Dengan kaedah inilah dihasilkan proses penggalian hukum-hukum syariat. Kaedah penggalian (istinbat) hukum yang benar akan menghasilkan hukum-hukum syariat yang benar pula, tentunya berdasarkan persangkaan yang paling kuat (ghalabah azh-zhann).
Sebaliknya, setiap pendapat yang tidak dihasilkan berdasarkan kaedah penggalian hukum yang sesuai dengan syariat tidak dianggap sebagai hukum syariat, meskipun, secara zalim, acapkali dikatakan syarie. Alasannya, yang menjadi ukuran di sini bukan nama, tetapi musamma (realiti atau substansinya). Jadi, kaedah ini bersifat mengikat.
Lebih dari sebelumnya, kini kita lebih memerlukan untuk mengikuti kaedah ijtihad yang akan mencegah kaum muslim dari terpengaruh oleh pemikiran Barat dan kaedah penggalian hukumnya. Ini kerana, pengaruh oleh pemikiran dan kaedah barat ini merupakan penyakit moden yang menimpa sebahagian besar orang yang bergelar ulama. Akibatnya, ijtihad dan fatwa mereka terlepas dari peraturan Islam yang standard, iaitu mengikuti hawa nafsu Barat dan tidak mengikuti petunjuk Allah.
Walhasil, seorang muslim mestilah selalu merujuk pada syariat. Konsekuensinya, dia perlu memiliki kaedah standard dalam berijtihad. Metod ijtihad mesti sama dengan seluruh kaum muslim, meskipun hasil ijtihad mereka boleh jadi saling berbeza.
Pada bahagian ini, kami akan memaparkan kaedah standard dalam berijtihad ini, meskipun secara umum. Kaedah ini ialah kaedah yang biasa digunakan oleh para ulama salaf yang perlu diikuti oleh para ulama sekarang dan generasi sesudah mereka sampai hari kiamat.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #ijtihad #hukumfikih

