Site icon MuslimahHTM News

[TAPAK TILAS] Wilayah Daulah Islam, di Antara Kekuatan Kuasa Besar

[TAPAK TILAS] Wilayah Daulah Islam, di Antara Kekuatan Kuasa Besar

Penulis: Siti Nafidah Anshory, M.Ag.

 

Pasca-Perang Tabuk, Rasulullah SAW. berjaya membangun posisi negara Islam dalam hubungan politik antarabangsa. Bangsa-bangsa Arab di Jazirah ketika itu mula memperhatikan kedudukan kaum muslim dan negara mereka, bahkan akhirnya Jazirah juga tunduk pada kekuasaan Islam. Sebelum itu, selama berabad-abad, peta politik dunia didominasi dua kekuatan besar iaitu Parsi (Dinasti Sasaniyah) yang menganut kepercayaan Zoroaster atau Majusi dan Empayar Rom (Bizantium Timur) yang berakidah Kristian. Kedua-duanya telah menjadi sebuah peradaban besar yang berlangsung selama ribuan tahun iaitu peradaban Parsi dan juga Romawi. Posisi Jazirah Arab kala itu ibarat pelanduk di antara dua ekor gajah, baik sebelum kedatangan Islam sehinggalah pada masa tegaknya negara Islam di Madinah.

 

Peta Wilayah Pengaruh Romawi dan Persi

 

Sejarah mencatatkan bahawa kekuasaan Bizantium atau Romawi saat itu mempunyai pengaruh yang cukup luas mencakupi wilayah barat sehingga ke timur Mediterranean termasuklah jazirah Arab di bahagian utara dan beribu kota di Konstantinopel (Istanbul). Jika ditukar ke masa sekarang, wilayah kekuasaan Bizantium ini lebih kurang sebanyak 30 buah negara. Di sisi lain pula, wilayah pengaruh Sasaniyah atau Parsi meliputi wilayah Timur iaitu sekitar Iran, Irak, Asia Tengah sehingga ke semenanjung Arab bahagian timur. Jika ditukar pada masa sekarang, wilayah Sasaniyah juga meliputi lebih dari 30 buah negara. Sebagai negara kuasa besar, kedua-duanya memiliki tradisi imperialisme yang sangat kuat.

 

Di kala sedang rancak misi penjajahan yang meliputi jazirah Arab itu, wilayah Mekah dan Madinah nyaris luput dari radar pantauan mereka. Kedua-dua wilayah ini boleh dikatakan bebas dari pengaruh politk keduanya baik semasa pra-Islam mahupun di masa Islam. Walaupun demikian, penduduk di wilayah ini memiliki pengetahuan yang cukup terkait hubungan antarabangsa. Hal ini tampak dalam riwayat yang menceritakan tentang asbabun nuzul Surah Ar-Rum yang mengisahkan tentang terjadinya perang antara kedua-dua imperium yang berakhir dengan kekalahan bangsa Romawi melawan bangsa Parsi (614-615M). Ketika itu, keadaan umat Islam di Mekah masih dalam keadaan teraniaya. Bahkan, pada tahun-tahun itulah terjadinya peristiwa hijrah yang pertama ke wilayah Nasrani Abbesinia dan di sana, mereka mendapat perlindungan yang sangat baik dari rajanya. Dalam kes perang antara Parsi dan Romawi, penduduk Mekah yang musyrik dikhabarkan begitu gembira apabila bangsa Parsi yang juga musyrik beroleh kemenangan.

 

Sementara itu, kaum muslim bersedih kerana kekalahan bangsa Romawi yang agamanya dekat dengan agama mereka. Tetapi, turunnya surah Ar-Rum itu justeru menjadi penghibur bagi kaum Muslim. Allah SWT memberi khabar gembira bahawa kekalahan bangsa Romawi di perang itu akan terbayar di beberapa tahun kemudian. Akhirnya, sekitar tujuh tahun kemudian (622M), empayar Romawi berjaya mengalahkan bangsa Parsi. Peristiwa ini sekaligus menjadi bukti kemukjizatan Al-Quran yang menambah keimanan bagi mereka.

 

Pertembungan Ekonomi dan Budaya

 

Walaupun tidak terpengaruh secara politik, tidak bermakna Mekah dan Madinah sama sekali tidak berhubungan dengan peradaban Romawi dan Parsi. Sejak sekian lama, hubungan perdagangan sudah terjalin antara bangsa Arab termasuklah bangsa Quraisy di Mekah dan suku-suku Arab di Madinah dengan bangsa-bangsa yang ada di bawah kekuasaan Romawi dan Parsi, bahkan sehingga ke jantung kekuasaan mereka. Pedagang-pedagang dari wilayah Parsi dan Romawi juga kerap datang ke wilayah Arab termasuklah Mekah.

 

Hal ini adalah kerana, walaupun keadaan tanahnya yang gersang, tetapi wilayah Arab termasuklah kota Mekah terletak di daerah pertemuan antara jalur perdagangan dunia antara wilayah barat dan kawasan timur jauh sekaligus antara utara dan selatan. Seperti yang ditulis oleh Phillip K. Hitti dalam History of The Arabs halaman 58, semua semenanjung Arab dikenali sebagai negeri wangian. Untuk jalur darat, terdapat jalur perdagangan dari India melalui Asia Tengah menuju Iran, Irak dan Laut Tengah. Sementara untuk jalur laut, terdapat jalur dagang melalui teluk Arab dan sekitar Jazirah sehingga ke Laut Merah.

 

Mekah menjadi tempat persinggahan pada jalur dagang dari Ma’rib ke Gaza. Madinah pula menjadi persinggahan antara Yaman dan Syria dengan kurma sebagai komoditi utama. Wajarlah jika perdagangan menjadi sektor ekonomi utama untuk wilayah ini dari masa ke semasa. Bahkan, mata wang mereka, sistem administrasi dan teknologi mereka juga berpengaruh di wilayah Arab dan sekitarnya. Di masa awal negara Islam, mata wang dinar Romawi dan dirham Parsi digunakan sebagai alat tukar rasmi negara.

 

Terkait tradisi banhsa Quraisy, Allah SWT telah mengabdikannya di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman,

لِاِيۡلٰفِ قُرَيۡشٍ اٖلٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ الشِّتَآءِ وَالصَّيۡفِ‌ۚ

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam)”. [TMQ Al-Quraisy (106): 1-2]

 

Beberapa ahli tafsir menyebut perjalanan dagang musim sejuk dilakukan ke utara, sementara musim panas dilakukan ke selatan.

 

Dengan Islam, Madinah dan Jazirah Berjaya Menjadi Pusat Kekuasaan Negara Kuasa Besar

 

Dalam buku Sejarah Hidup Muhammad, Muhammad Husein Haikal (hal. XIII) dan kita sejarah lainnya menyebutkan bahawa tidak sampai 150 tahun sejak kepemimpinan Rasulullah SAW di Madinah, kemudian berganti dengan para Khalifah baik semasa Khalifah Rasyidah yang empat sehinggalah masa kekuasaan Bani Umaiyah dan Abbasiyah, bendera Islam sudah berkibaran luas di banyak wilayah seperti jazirah Arab, Syam (Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin), Irak, Parsi (Iran), Afghanistan, Mesir, Tunisia, Algeria, Moroko sehingga ke Andalusia di Eropah bahagian Barat. Kemudian ia berkibar di India, Turkistan sehingga ke Tiongkok di Asia Timur. Pada masa pemerintahan Bani Umaiyah (41-133 H/661-750M), perluasan wilayah kekuasaan Khilafah dilakukan ke wilayah timur, utara dan Barat. Perluasan wilayah ke utara dilakukan dengan menyerang wilayah Empayar Bizantium. Di bawah kepimpinan Panglima Thariq bin Ziyad, kota Cordoba, Granada dan Toledo yang merupakan ibu kota Visigoth di semenanjung Iberia (Andalusia atau Sepanyol) berjaya ditakluk.

 

Dalam buku Api Sejarah I halaman 65, sejarawan Mansyur Suryanegara ada menyebut, di masa dinasti ini pula penaklukan sudah sampai ke wilayah Savoya Italia, Swiss, Bordeuaux sehingga Poitiers di Perancis. Semasa kekuasaan Bani Abbasiyah (133-656H/750-1258M), penaklukan memang tidak sebanyak semasa dinasti Umaiyah walaupun misi-misi dakwah dan jihad tetap berjalan. Pada masa inilah pusat kekuasaan berpindah ke Cordoba dan memfokuskan untuk mengukuhkan penegakan sistem Islam di seluruh wilayah Khilafah Islam yang sudah sedemikian luas. Pada masa ini peradaban Islam begitu memancar sehingga Cordoba menjadi pusat peradaban dunia. Ketika kekuasaan politik Islam berpindah ke Dinastu Uthmaniyyah (1055-1924M), pusat kekuasaan Bizantium di Konstatinopel berjaya ditakluk pada tahun ke 1453M. Sejak masa inilah Islam semakin tersebar luas ke wilayah lainnya sehingga ke Balkan, Rusia dan Polandia. Aktiviti dakwah juga semakin galak dilakukan Khilafah ke wilayah Timur Jauh termasuklah wilayah Nusantara.

 

Tidak hairanlah jika agama fitrah ini mudah tersebar ke seantero dunia. Kekuasaan politik Khilafah pernah meliputi ⅔ dunia yang mana sebahagian besar penguasa wilayah menerima kekuasaan Islam dengan damai tanpa peperangan. Perkara ini sejalan dengan penerimaan mereka dan penduduknya terhadap dakwah Islam serta kian tampilnya kewibawaan Khilafah dalam percaturan politik antarabangsa.

 

Mengembalikan Peta Kekuatan Politik Umat Islam

 

Hari ini, peta demografi dunia memang didominasi oleh negara-negara yang penduduknya muslim. Tetapi, sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang disabdakan pada 14 abad yang lalu, kewujudan mereka bak buih di lautan. Berselerak, tetapi tidak mempunyai kekuatan. Sejak Khilafah Islam dijatuhkan pada tahun 1924, umat Islam tidak lagi memiliki kepimpinan politik. Jumlah penduduk yang besar, wilayah penyebaran atau negeri-negeri yang luas serta bermacam sumber kekayaan tidak mampu menjadi modal untuk membangun posisi politik dan strategi di hadapan kekuatan lawan.

 

Tidak hairan jika umat Islam hari ini dilihat sebagai pecundang, bahkan menjadi objek penjajahan. Kehormatan dan harta mereka diragut, bahkan agama mereka dihina. Melalui perang pemikiran dan budaya yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam, pemikiran Islam dijauhkan dari umatnya. Sedangkan, Islamlah yang dulu memuliakan mereka dan mengangkat martabat mereka sehingga menjadi sebaik-baik umat di kalangan manusia. Persoalannya, sehingga bila keadaan ini hendak dibiarkan? Sungguh, puak musuh (iaitu negara pengusung ideologi kapitalisme) tidak akan membiarkan umat Islam kembali bangkit.

 

Umat islam sendirilah yang perlu mengubah keadaan dengan mengembalikan Islam sebagai sumber kekuatan. Islam yang hari ini ada pada diri umat perlu dihidupkan semula sehingga difahami bahawa Islam bukan sekadar agama ritual yang tidak memberi erti bagi sebuah peradaban. Islam perlu dikembalikan pada jati dirinya sebagai sebuah ideologi kehidupan. Caranya adalah dengan menggencarkan dakwah Islam dengan gambaran konstruktif dalam menyelesaikan pelbagai masalah hidup yang mereka hadapi sehingga muncul kerinduan pada umat untuk hidup di bawah naungan hukum-hukum Islam.

Exit mobile version